Arkib Tag: Fast & Furious

Pelakon lagak ngeri Fast and Furious 9 nyaris terkorban, pengarah disaman RM4.66 juta

Seorang pelakon lagak ngeri (stuntman), Joe Watts telah mengalami kecederaan “yang mengubah hidupnya” selepas terjatuh kira-kira 25 kaki dari tali keselamatan di studio Warner Bros. di Leavesden, United Kingdom (UK).

Eksekutif kesihatan dan keselamatan (HSE) kerajaan UK mendapati pasukan penggambaran Fast and Furious 9 (FF9) tidak menilai risiko secukupnya seperti tali putus, rosak, pemeriksaan keadaan, atau regangan di antara babak.

Ini bermakna mereka bertanggungjawab terhadap insiden Watts, dimana beliau jatuh dan mengalami keretakan tengkorak, trauma kecederaan otak, dan mengakibatkan pelakon itu mempunyai kecacatan dan kurang upaya kekal.

Laporan juga mengatakan tali keselamatan yang menyokong Watts tidak diperiksa dalam tempoh enam bulan dan penerbit FF9 tidak menyediakan sebarang alas sekiranya berlaku sebarang insiden tidak diingini.

FF9 Pictures Limited didapati bersalah dan disaman kira-kira USD1.05 juta (RM4.66 juta). Pegawai HSE, Roxanne Barker berkata, “Kecederaan Watts mengubah hidupnya dan dia boleh terkorban.

“Dalam kerja-kerja aksi lagak ngeri, ia bukan berkenaan mengelakkan terjatuh tetapi meminimakan risiko kecederaan,” katanya.

HSE sebelum itu menyiasat penerbit Squid Game: The Challenge, selepas laporan peserta-peserta mengalami kecederaan saraf dan hipotermia.

Watts kini mengumpulkan sekitar USD1.2 juta untuk kecederaan peribadi, menyatakan dia tahu tidak akan dapat bekerja lagi. Dia juga menggesa industri filem untuk membuatkan set mereka lebih selamat.

“Saya tidak mahu apa yang terjadi kepada saya berlaku kepada orang lain,” ujar Watts.

Nissan Skyline GT-R R34 Paul Walker bakal dilelong

KITA semua tahu bahawa Nissan Skyline GT-R R34 adalah kereta sport JDM yang istimewa namun unit yang ditampilkan ini lebih istimewa berbanding yang lain kerana ia dispesifikasikan dan pernah dipandu oleh mendiang Paul Walker.

Dan buat pertama kalinya, peminat francais Fast & Furious berpeluang untuk memiliki kereta penuh sejarah ini kerana ia akan dilelong oleh Bonhams pada satu acara lelongan yang akan diadakan dari 28 April hingga 5 Mei depan.

Harga pembukaan tidak dinyatakan namun ia sudah pasti mencecah enam atau tujuh angka memandangkan kereta ini telah diubah suai mengikut cita rasa Walker sendiri.

Bukan itu sahaja, unit berwarna TV2 Bayside Blue ini juga merupakan satu-satunya GT-R R34 asli yang muncul dalam filem Fast & Furious 4 yang dikeluarkan pada 2009. Nombor casisnya adalah BNR34-400109.

Menurut Bonhams, beberapa buah Skyline lain yang digunakan untuk penggambaran filem tersebut sebenarnya adalah model GT-T yang telah diubah suai dengan kit badan.

Tambah syarikat itu lagi, kereta ini dibeli di Jepun dan dibawa masuk ke Amerika Syarikat tanpa enjin oleh Kaizo Industries. Syarikat itu berjaya mendapatkan sebuah enjin RB26 dan kereta ini kemudiannya didaftarkan dengan pihak berkuasa.

Modifikasi yang telah dilakukan pada GT-R R34 ini memang bukan calang-calang. Antara ‘barang’ yang telah dimasukkan adalah intercooler Turbonetics, set spring Nismo, strut titanium ARC, rim Volk Racing RE30 19 inci, brek Rotora dan sistem ekzos Nismo NE-1. Boost juga telah dinaikkan bagi membolehkan enjin menjana 550 hp.

Di dalam, anda akan menemui roll cage kustom, stereng Momo dengan balutan Alcantara, pedal Nismo V-Spec, paparan head-up kustom dan kerusi OMP dengan tali pinggang keledar lima poin. Tempat duduk belakang telah dikeluarkan.

Apa yang menarik, setelah penggambaran selesai, kereta ini disita oleh pihak berkuasa kerana ia tidak pernah diimport secara rasmi ke Amerika Syarikat. Pada 2012, ia telah dilepaskan dan kemudiannya dieksport ke Jerman dan berada di sana sehingga ke hari ini.

Kereta ini jarang dipandu dan hanya menjadi bahan pameran di Munich Motorworld. Menurut Bonhams, ia masih boleh dipandu namun bakal pemilik baharunya dinasihatkan untuk membuat servis terlebih dahulu sebelum ‘melenjan’.