Arkib Tag: EV2

Kia EV2 didedahkan – SUV EV mampu milik dengan jarak sehingga 448 km

Kia secara rasmi mendedahkan EV2, SUV elektrik paling kecil dalam barisannya setakat ini serta model paling mampu milik dalam portfolio EV jenama tersebut.

Diposisikan dalam segmen SUV-B, model ini memainkan peranan penting dalam usaha Kia untuk menjadikan EV lebih mudah diakses, khususnya dalam pasaran yang didominasi oleh SUV kompak.

Dari segi reka bentuk, EV2 menggunakan falsafah ‘Opposites United’ yang sinonim dengan model EV Kia yang lebih besar.

Walaupun panjang keseluruhannya sekitar empat meter, model ini tampil dengan rupa SUV yang tegap, digabung dengan elemen-elemen seperti garis bahu dan gerbang roda yang menonjol, serta lampu siang LED menegak dengan corak Star Map terkini.

Rim didatangkan dalam pelbagai saiz dari 16 hingga 19 inci, manakala pilihan warna badan merangkumi kemasan solid, metalik, pearl dan matte. Varian GT-line pula tampil lebih sporty dengan kemasan badan sama warna serta perincian berkilat pada bampar dan gril bawah.

Menurut Kia, ruang kabin EV2 direka dengan berdasarkan konsep ‘Picnic Box’ yang diterjemahkan melalui penggunaan fabrik dan susun atur yang ringkas serta intuitif.

Papan pemuka berbentuk melengkung membuatkan ruang kabin terasa lebih luas, manakala pencahayaan ambien dan bahan mesra alam menyerlahkan identiti EV moden.

Untuk sistem infotainmen, terdapat paparan yang terdiri daripada tiga skrin iaitu kluster digital 12.3 inci, skrin sentuh 12.3 inci dan skrin kawalan pendingin hawa 5.3 inci.

EV2 turut memperkenalkan sistem ccNC (Connected Car Navigation Cockpit) Lite yang dikatakan lebih mampu milik, namun mempunyai paparan dan sokongan kemas kini Over-the-Air yang sama seperti ccNC.

Dibina atas platform E-GMP 400 volt, EV2 mempunyai jarak roda 2,565 mm untuk memaksimumkan ruang dalaman. Ia boleh didapati dalam konfigurasi lima tempat duduk atau empat tempat duduk dengan kerusi belakang boleh digelongsor dan direbahkan.

Ruang kaki belakang berukuran antara 885 mm hingga 958 mm, manakala ruang but mencecah 403 liter. Tidak cukup dengan itu, terdapat frunk yang menawarkan ruang storan tambahan sebesar 15 liter.

Untuk trenkuasa, EV2 hadir dengan dua pilihan bateri iaitu 42.2 kWj yang menawarkan jarak pemanduan WLTP sehingga 317 km, dan 61.0 kWj dengan jarak 448 km.

Kedua-duanya menyokong pengecasan pantas DC yang memerlukan 29 hingga 30 minit untuk pengecasan penuh, serta pengecasan AC 11 kW dan 22 kW.

Selain itu, EV2 juga menyokong V2L (Vehicle-to-Load) dan V2G (Vehicle-to-Grid), serta sistem bantuan pemandu canggih (ADAS) dengan ciri-ciri seperti Highway Driving Assist, Smart Cruise Control dan Front Collision Avoidance Assist.

EV2 akan dipasang di kilang Kia di Zilina, Slovakia bermula Februari tahun ini.