Arkib Tag: enjin V8

Inilah dia supercar pertama GWM dengan enjin V8 PHEV, bakal saingi Yangwang U9

Segmen supercar dunia bakal dimeriahkan dengan kehadiran pendatang baharu daripada sebuah lagi pengeluar China, iaitu Great Wall Motor (GWM).

Sekeping gambar acah dimuat naik sendiri oleh pengerusi GWM, Wei Jianjun menerusi akaun media sosial Weibo pada sambutan ulang tahun Great Wall Motor yang ke-35.

Supercar tersebut masih lagi dibaluti kain hitam, namun kita dapat melihat ia adalah sebuah supercar yang sebenar berdasarkan dimensinya yang panjang, rendah dan lebar.

Pada bahagian depan, anda boleh melihat garis-garis yang merujuk kepada posisi lampu utama pada bahagian fender, serta bukaan bampar yang agresif.

Bahagian sisi pula menampilkan bukaan liang penyejukan tambahan, sekaligus mengesahkan supercar ini membawakan konfigurasi enjin tengah.

Spesifikasi rasmi jentera ini masih lagi dirahsiakan, namun GWM dijangka akan memadankan supercar ini dengan nadi bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar dengan sistem plug-in hybrid (PHEV).

Unit enjin baharu ini telah pun debut di Shanghai Auto Show 2025 tempoh hari, dan dibangunkan sepenuhnya oleh GWM secara dalaman.

Menurut Ketua Pegawai Teknologi GWM, Wu Huixiao berkata, supercar pertama ini telah menjalani program pembangunan selama lima tahun.

Jelasnya lagi, mereka menggunakan pendekatan prestasi tinggi dan dalam masa yang sama menawarkan tanda harga yang lebih rendah berbanding pesaing.

Huixiao juga mendedahkan supercar ini akan dibina berdasarkan casis monocoque gentian karbon, dan dikatakan “jauh lebih baik berbanding model Ferrari SF90”.

Supercar pertama GWM ini akan didedahkan secara rasmi menjelang akhir tahun ini, dengan tanda harga bawah 1 juta yuan (RM590 ribu).

Lotus Emira bakal dapat nadi V8 ganti enjin V6

Lotus Emira kini merupakan satu-satunya kereta sports berenjin pembakaran dalaman tulen yang masih lagi ditawarkan oleh Lotus untuk para peminatnya.

Sebelum produksi model ini ditamatkan pada tahun 2027, Lotus dilapor mempunyai perancangan untuk menambah baik penawaran model ini, khususnya untuk pasaran Amerika Syarikat.

Berdasarkan laporan terkini daripada Autocar, Lotus sedang mempertimbangkan nadi bentangan V8 untuk dimuatkan pada Emira.

CEO-nya, Feng Qingfeng berkata jenama itu sedang meneroka kebolehlaksanaan nadi V8 bagi menggantikan enjin bentangan V6 yang diguna pakai pada ketika ini.

Lotus Emira boleh didapati dengan nadi V6 pengecas lampau 3.5 liter yang disumberkan daripada Toyota, atau pilihan enjin 2.0 liter daripada Mercedes-AMG.

Feng menolak cadangan untuk menaikkan kuasa nadi V6 tersebut kerana enjin Toyota itu dikatakan tidak lagi mampu untuk memenuhi piawaian Euro 7 yang lebih ketat.

Lotus sebelum ini berhasrat untuk menghentikan penawaran model V6 secara beransur-ansur bagi memberikan ruang kepada model bernadikan AMG.

Namun dengan permintaan yang agak memberangsangkan untuk model enam silinder di Amerika Syarikat, ia mendorong Lotus untuk mempertimbangkan cadangan memasang enjin yang lebih besar.

CEO Lotus Eropah, Matt Windle memberitahu Autocar, “Amerika Syarikat merupakan pasaran terpenting kami. Jadi kami sedang meneliti permintaan pasaran supaya produk tersebut dapat diteruskan pada masa depan.

Jelasnya lagi, pihaknya sedang meneliti beberapa pilihan yang dapat diguna pakai untuk memastikan potensi penuh Emira dapat diteroka, termasuklah memadankan enjin daripada pembekal sedia ada – besar kemungkinan Mercedes-AMG.

Toyota Australia bangunkan nadi V8 untuk jentera lumba GR Supra menentang Mustang, Camaro

Bergantung kepada pasaran, Toyota GR Supra boleh didapati dengan pilihan enjin BMW, sama ada nadi empat silinder sebaris 2.0 liter (258 PS/400 Nm) atau enjin enam silinder sebaris 3.0 liter dengan kuasa mencecah 387 PS/500 Nm.

Namun untuk tujuan perlumbaan, Toyota bakal mengenepikan khidmat nadi buatan Jerman itu dan mengutamakan enjin bentangan V8 untuk dimuatkan dalam perut GR Supra.

Jentera lumba GR Supra bernadi V8 itu akan bertempur di dalam acara Supercars Championship di Australia bermula tahun 2026, di mana Toyota menjadi pengeluar ketiga yang menyertai perlumbaan tersebut menentang jentera lumba Ford Mustang dan Chevrolet Camaro.

Menurut laporan, jentera lumba GR Supra itu dibangun secara dalaman oleh Toyota Australia di Altona untuk memenuhi peraturan GEN3 Supercars Championship.

Enjin V8 yang dimaksudkan itu sebenarnya telah pun wujud dalam jentera berprestasi tinggi Lexus, seperti IS F, GS F, LC 500 dan RC-F.

Nadi aluminium 5.0 liter aspirasi semula jadi itu (kod 2UR-GSE) mampu menghamburkan kuasa setinggi 481 PS/535 Nm pada model RC-F, atau 477 PS dengan daya kilas 540 Nm pada model LC 500.

Berbalik semula kepada jentera lumba GR Supra V8, ia akan menampilkan liveri perlumbaan pasukan Walkinshaw Andretti United (WAU) dan dikendalikan oleh pelumba Chaz Mostert dan Ryan Wood.
Pasukan WAU sebelum ini berlumba dengan jenama Holdens dari 1987 hingga 2023, sebelum beralih kepada jenama Ford untuk tempoh tiga musim, dan akan bekerjasama dengan Toyota bermula tahun 2026.

Usah gembira terlalu awal, kerana GR Supra dengan enjin V8 ini hanya akan wujud dalam versi perlumbaan sahaja.

GR Supra versi jalanan masih lagi akan dikekalkan dengan penawaran enjin enam silinder sebaris sehinggalah produksinya ditamatkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Namun sebelum itu, Toyota dilapor akan melancarkan model Supra GRMN dengan enjin enam silinder yang telah ditala semula, casis yang lebih tegar serta aspek aerodinamik yang telah ditambah baik.

Lamborghini dedah enjin V8 turbo berkembar, jana 789 hp untuk pengganti Huracan V10

Bulan lepas, Lamborghini telah mengumumkan kehadiran model supercar baharu bagi menggantikan Huracan V10 yang akan ditamatkan produksinya kelak.

Buat masa ini, tiada sebarang perincian berkenaan model baharu yang diberikan kod nama ‘634’ itu.

 

 

Namun, apa yang pasti Lamborghini bakal menawarkan supercar pengganti Huracan itu dengan nadi serba baharu – enjin bentangan V8 turbo berkembar.

Nadi baharu itu merupakan sebuah enjin V8 flat-plane – pertama untuk sebuah Lamborghini – dalam konfigurasi “hot-vee” di mana unit pengecas turbo diposisikan antara bank silinder.

 

 

 

Nadi baharu bentangan V8 itu bersesaran 4.0 liter dengan output maksimum sekitar 789 hp @ 9,000-9,750 rpm, dan daya kilas 729 Nm @ 4,000-7,000 rpm.

Ia juga mempunyai garis merah putaran enjin setinggi 10,000 rpm!

 

 

Untuk membolehkan enjin beroperasi pada rpm yang tinggi, para jurutera Lamborghini menghasilkan beberapa komponen istimewa yang ringan, seperti rod penyambung titanium, serta sistem valvetrain ‘finger follower‘ yang biasanya digunakan dalam enjin perlumbaan.

Enjin baharu ini akan digandingkan dengan motor elektrik axial-flux berkuasa 147 hp dan 300 Nm, transmisi klac berkembar lapan nisbah kelajuan, serta dua lagi motor elektrik tambahan yang mungkin akan diletakkan pada gandar hadapan – sama macam Revuelto.

 

 

Menurut laporan, supercar hibrid Lamborghini 634 akan dilancarkan secara rasmi pada tahun ini, di mana lebih banyak info dan perincian bakal diketahui kelak.

Mercedes buat U-turn, nadi V8 muncul kembali untuk model berprestasi tinggi AMG

Tahun lepas Mercedes-Benz pernah berdepan kesukaran untuk menjual model sedan berprestasi tinggi plug-in hybrid (PHEV) Mercedes-AMG C 63 S E Performance di pasaran Eropah disebabkan oleh ketiadaan nadi V8.

Ini kerana kebanyakan pembeli tradisional AMG tidak begitu menggemari sistem rangkaian kuasa E Performance PHEV yang menggandingkan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter dan motor elektrik pada gandar belakang, walaupun atas kertas enjin tersebut jauh lebih bertenaga berbanding pesaingnya BMW M3.

 

Spyshot Mercedes-AMG CLE 63 oleh Autocar

 

Pengeluar itu nampaknya sudah mula sedar akan pentingnya nadi tersebut, di mana penawaran nadi V8 4.0 liter petrol M177 dengan teknologi hibrid ringan itu akan dikembalikan semula pada model Mercedes-AMG CLE 63 akan datang.

Menurut laporan Autocar lagi, model CLE 63 itu akan diposisikan sebagai model tertinggi di atas model CLE 53 Coupe & Cabriolet, di mana kedua-dua model itu dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris 3.0 liter berkuasa 442 hp.

 

Mercedes-AMG C 63 S E Performance PHEV

 

Sumber Mercedes-Benz memberitahu, keputusan untuk mengembalikan semula enjin V8 itu bukan sahaja disebabkan oleh respons pembeli terhadap model GLC 63 dan C 63 PHEV, akan tetapi ia juga berdasarkan maklum balas daripada jaringan pengedar di seluruh dunia.

Berdasarkan respons daripada pengedar, tindakan Mercedes memposisikan model AMG 63 dengan enjin empat silinder di atas model berenjin enam silinder dikatakan mampu untuk mengelirukan golongan pelanggan berpotensi pada masa akan datang.

Mengikut spesifikasi, Mercedes-AMG C 63 S E Performance (versi sedan dan wagon) dibekalkan dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo dan motor elektrik pada gandar belakang, dengan kuasa keseluruhan mencecah 671 hp dan 1,020 Nm. 

Cuma bezanya, nadi inline-4 itu tidak mempunyai karakteristik bunyi yang lebih mengujakan berbanding enjin V8.