Arkib Tag: enjin V12

Garagisti GP1 – raksasa V12 analog 800 hp!

Anda mungkin sekali sudah bosan dengan barisan kereta elektrik yang ada di pasaran.

Ya, biarpun dengan prestasi yang mampu mengalahkan mana-mana supercar, namun kebanyakannya tidak mempunyai jiwa, bunyi dan pengalaman mekanikal yang sebenar.

Disinilah wujudnya sebuah jentera analog yang dapat mengisi kekosongan tersebut yang dihasilkan oleh firma kejuruteraan Britain, Garagisti & Co, iaitu GP1.

GP1 didatangkan dengan nadi bentangan V12 6.6 liter aspirasi semula jadi (NA) yang dibina sepenuhnya dari kosong oleh syarikat Itali Italtecnica.

Secara keseluruhan, GP1 berupaya menjana kuasa setinggi 800 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 700 Nm yang dipadankan dengan kotak gear manual Xtrac dan sistem pacuan roda belakang.

Selain itu, GP1 menampilkan casis monocoque carbon, sistem gantungan Ohlins, dan sistem brek Brembo.

Rekaan luaran yang cukup berseni ini dihasilkan oleh bekas pereka Bugatti dan Rimac, Angel Guerra di mana beliau banyak mengambil inspirasi daripada model ikonik seperti Lancia Stratos Zero dan Lamborghini Countach.

Bersesuaian dengan tema analog, ruang kabin GP1 tidak dicemari dengan kehadiran skrin sentuh saiz gergasi.

Sebaliknya, ia hanya dibekalkan dengan roda stereng, tuil transmisi manual tradisional, beberapa butang kawalan fizikal, dan konsol tengah yang agak tinggi memisahkan antara pemandu dan penumpang.

Hanya 25 unit sahaja GP1 yang akan diproduksikan, setiap satu dianggarkan bernilai £2.45 juta (RM13.94 juta) tidak termasuk cukai, kos penghantaran dan kos penyesuaian.

12 pembeli terawal akan diberikan penghormatan untuk menyertai program Open Door Garagisti yang menawarkan peluang bertemu dengan para jurutera dan pereka di sebalik GP1.

 

Pagani Huayra Epitome, nadi V12 852 hp dan kotak gear manual!

Berita baik buat para pencinta transmisi manual.

Ini kerana Pagani baru sahaja melancarkan sebuah model Huayra versi istimewa yang akan muncul di acara Goodwood Festival of Speed tahun ini, dan ya, ia merupakan model Huayra pertama yang dilengkapi dengan kotak gear manual!

 

 

Pagani Huayra Epitome – melambangkan puncak bagi segala Pagani – dihasilkan untuk seorang pelanggan terlebih kaya yang memang mahukan sebuah Huayra dengan transmisi manual.

Kotak gear Xtrac tujuh nisbah kelajuan itu menggunakan sistem klac tiga cakera yang terkini untuk pemindahan tork daripada enjin bentangan V12 Mercedes-AMG 6.0 liter turbo berkembar berkuasa 852 hp dan 1,100 Nm dengan lebih berkesan.

Secara teknikalnya, Huayra Epitome memiliki kuasa yang hampir sama dengan Huayra Utopia, membolehkannya mencapai kelajuan tertinggi 350 km/j.

 

 

Para jurutera Pagani turut menala kembali aspek gantungan Huayra Epitome ini bagi menghasilkan kesan olengan dan pitch yang lebih rendah berbanding model standard Huayra.

Namun begitu, terdapat juga mod “Super Soft” bagi membolehkan pemilik menikmati pemanduan yang lebih menenangkan jiwa di jalanan dan akan dimatikan secara automatik pada kelajuan 150 km/j.

Bahagian luaran Epitome ini telah mendapat sedikit sentuhan rekaan terutama pada bahagian bampar depan dan belakang, sistem pencahayaan LED, serta struktur jeriji yang lebih besar untuk aliran udara yang lebih berkesan.

 

 

Di bahagian belakang pula terdapat sayap yang besar, diikuti dengan diffuser dan empat corong ekzos titanium yang mampu menghasilkan runut bunyi yang mengujakan.

Jika anda lihat dengan lebih dekat, warna biru yang digunakan pada panel badan Huayra Epitome ini sebenarnya merupakan anyaman gentian karbon yang sebenar.

Akhir sekali, Huayra Epitome ini dipadankan dengan set rim berwarna emas dan aksen berwarna serupa pada beberapa tempat.

 

 

Menurut Pagani, divisyen Grandi Complicazioni mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk menghasilkan rekaan Epitome, dan tambahan 10 bulan untuk disiapkan.

Sayang sekali, rekaan yang cantik ini hanya akan dihasilkan sekali sahaja, bermakna anda perlu mencari alternatif lain untuk menikmati sebuah Huayra Epitome – mungkin sekali mendapatkannya dalam bentuk diecast.

 

Pagani Huayra Epitome