Arkib Tag: enjin hibrid

Enjin hibrid baharu Horse Powertrain guna bahan api kurang 3.3 liter/100 km

Horse Powertrain mengumumkan enjin hibrid baharu yang direka lebih cekap tenaga dan menggunakan bahan api petrol 100 peratus boleh diperbaharui.

Kenderaan demonstrasi pertama dijangka akan dipertontonkan pada tahun ini.

 

Enjin hibrid yang lebih jimat minyak

Sistem baharu ini direka berasaskan konsep enjin hibrid Horse H12 yang dibangunkan bersama syarikat tenaga Sepanyol, iaitu Repsol.

Enjin H12 tersebut menawarkan ciri dan manfaat berikut:

  • kadar kecekapan terma brek maksimum 44.2 peratus
  • bacaan penggunaan bahan api kurang 3.3 liter untuk setiap 100 km (ujian WLTP)
  • nisbah mampatan tinggi 17:1
  • sistem pengawalaturan gas ekzos (EGR) generasi baharu
  • sistem pencucuhan bertenaga tinggi
  • pengecas turbo yang dioptimumkan
  • talaan transmisi khusus hibrid
  • pelincir baharu Repsol yang dapat mengurangkan kesan geseran dalaman

Dengan sistem hibrid baharu ini, enjin tersebut menawarkan penjimatan lebih 40 peratus berbanding purata kenderaan penumpang baharu di Eropah pada tahun 2023.

Menurut kedua-dua pihak, sebuah kereta saiz pertengahan yang dipacu enjin hibrid ini mampu mengurangkan pelepasan CO2 sebanyak 1.77 tan setahun berdasarkan pemanduan 12,500 km jika dibandingkan dengan kenderaan petrol biasa.

 

Siapa Horse Powertrain?

Horse Powertrain merupakan syarikat usaha sama global yang dimiliki oleh Geely (45 peratus), Renault Group (45 peratus) dan Aramco (10 peratus).

Syarikat ini membekalkan enjin serta sistem hibrid kepada jenama-jenama automotif terkenal seperti:

  • Renault
  • Geely Auto
  • Volvo Cars
  • Nissan
  • Mitsubishi Motors
  • Proton

Honda bangunkan enjin hibrid generasi baharu, lebih kompak, lebih cekap

Disebabkan permintaan terhadap EV di peringkat global yang semakin perlahan, Honda membuat keputusan untuk menumpukan kembali perhatian terhadap penghasilan enjin hibrid.

Terbaharu, Honda mendedahkan butiran tentang beberapa teknologi e:HEV generasi baharu untuk diguna pakai pada kenderaan hibrid elektrik akan datang.

 

1. Enjin 1.5L & 2.0L baharu

Kedua-dua enjin kitaran Atkinson 1.5 liter dan 2.0 liter serba baharu itu akan digandingkan dengan unit pacuan hadapan dan sistem penyejukan terbina dalam satu pakej yang lebih kompak.

Honda menyasarkan kadar penggunaan bahan api enjin baharu ini 10 peratus lebih jimat pabila digandingkan dengan platform saiz pertengahan generasi baharu yang sedang dibangunkan.

Dengan memanjangkan julat RPM di mana operasi enjin sangat cekap, enjin 1.5 liter serba baharu itu mampu mencapai kadar penjimatan bahan api 40 peratus lebih baik berbanding enjin 1.5L sedia ada.

Kedua-dua enjin tersebut akan berkongsi komponen hibrid yang sama bagi mengurangkan kos pembuatan.

 

2. Platform saiz pertengahan generasi baharu

Selain sistem e:HEV, Honda juga akan memperbaharui platform saiz pertengahan untuk kenderaan hibrid elektrik mereka.

Platform modular ini menjanjikan kestabilan casis yang tinggi, pemanduan dan pengendalian yang sporti, dan berat badan keseluruhan 10 peratus lebih ringan berbanding model e:HEV sedia ada.

Selain itu, Honda juga menyasarkan untuk membangunkan platform yang paling ringan di dalam kelasnya, dengan mengurangkan berat sebanyak 90 kg berbanding pelantar sedia ada menerusi pendekatan rekaan baharu.

Dengan mencapai nisbah kesamaan lebih 60 peratus untuk semua model saiz pertengahan, ia akan menyumbang kepada produksi pelbagai model dengan lebih cekap dan lebih kos efektif.

 

3. Honda S+ Shift

Honda S+ Shift merupakan fungsi baharu yang diperkenalkan untuk menawarkan keseronokan pemanduan yang dapat menguatkan pengalaman terhubung antara pemandu dan kenderaan.

Menurut Honda, S+ Shift ini mengawal putaran enjin dengan tepat sewaktu pecutan/nyahpecutan untuk merealisasikan tindak balas pemanduan secara langsung dan penukaran gear yang tepat.

Bunyi enjin yang terhasil akan disegerakkan dengan sistem Active Sound Control (ASC), di mana bunyi tersebut akan dipertingkatkan kualitinya menerusi sistem pembesar suara bagi melengkapkan lagi pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan.

 

4. Sistem AWD elektrik

Bermula dengan model e:HEV generasi baharu, Honda akan menggunakan sistem pacuan semua roda (AWD) elektrik (E-AWD).

Berbanding sistem AWD mekanikal, E-AWD ini dapat meningkatkan daya gerak maksimum dan menyumbang kepada prestasi pecutan permulaan yang lebih berkuasa.

Sistem E-AWD ini juga dapat mengoptimumkan kadar pengagihan tenaga penggerak depan-belakang berdasarkan perubahan sentuhan tayar dengan tanah semasa pecutan/nyahpecutan, serta semasa membelok.

Menariknya, sistem e-AWD ini juga boleh dikongsi dengan mana-mana EV.

Dengan teknologi baharu ini, Honda berazam untuk mengurangkan kos produksi bagi setiap model hibrid elektrik sehingga 50 peratus untuk model tahun 2027 berbanding model sama yang dilancarkan pada tahun 2018.