Chery Malaysia telah pun melancarkan model SUV plug-in hybrid terbaharunya Tiggo 7 PHEV dua bulan lepas, dengan harga jualan dari RM129,800.
Ini menjadikan Tiggo 7 PHEV sebagai salah satu pilihan yang cukup berbaloi untuk dipertimbangkan, terutama bagi mereka yang terkesan dengan pelaksanaan subsidi Budi95 dan tidak mahu menjadikan kereta elektrik (EV) sebagai kenderaan utama.
Atas kertas, Chery Tiggo 7 PHEV dibekalkan dengan enjin 1.5 liter turbo (143 PS/215 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik (204 PS/310 Nm), dengan kuasa keseluruhan 279 PS dan 365 Nm.
Dengan gandingan pek bateri 18.3 kWh (jarak gerak elektrik 90 km) dan tangki bahan api 60 liter, Tiggo 7 PHEV boleh mencapai jarak perjalanan sejauh 1,200 km.
Persoalannya sekarang: mampukah Tiggo 7 PHEV mencapai jarak perjalanan yang didakwa itu?
Baru-baru ini Chery Malaysia menganjurkan sesi pandu uji media yang dinamakan sebagai Endless Horizon Challenge.
Cabarannya mudah, buktikan Tiggo 7 PHEV mampu capai jarak pandu 1,200 km tanpa perlu membuat pengisian bahan api atau mengecas bateri.
Untuk mengelakkan sebarang penipuan, kedua-dua penutup tangki bahan api dan port pengecasan ditampal dengan pelekat, dan kami hanya perlu bergantung sepenuhnya dengan apa yang telah dibekalkan dari garis permulaan.
Hari Pertama: Kuala Lumpur-Kuala Terengganu
Perjalanan kami bermula di Bamboo Hills berbekalkan tangki minyak penuh 60 liter dan bateri 100 peratus.
Sementara bacaan di meter pula menunjukkan jarak perjalanan sejauh 862 km, itu pun sudah cukup untuk membuatkan mana-mana pemandu rasa berpeluh. “Boleh ke SUV ni cecah 1,200 km?”
Pemanduan meredah kesesakan trafik pagi di Kuala Lumpur bukanlah satu cabaran besar.
Ini kerana sistem Chery Super Hybrid (CSH) itu dengan pintarnya menentukan operasi yang bertepatan dengan input pendikit yang ditekan oleh kaki kanan pemandu.
Sepanjang masa, ia hanya bergantung kepada operasi motor elektrik, manakala enjin pula hanya masuk campur apabila keadaan memerlukan terutama ketika mendaki laluan bercerun di Lebuhraya KL-Karak.
Dalam mod Tandem, pemandu langsung tidak perasan bila masa enjin diaktifkan lantaran operasinya yang terlalu lancar dan tidak menyalurkan sebarang gegaran kepada penumpang dalam ruang kabin.
Masuk sahaja kawasan Pantai Timur, hujan turun dan keadaan itu memaksa kami untuk memandu pada kelajuan yang lebih perlahan – bukan satu masalah pun kerana kami memang mahu capai misi 1,200 km yang telah ditetapkan.
Ruang kabin juga dirasakan luas, di mana ruang kaki dan kepala yang cukup besar dan boleh mengurangkan rasa penat ketika membuat perjalanan jauh.
Kami tiba di Kuala Terengganu pada jam 8 lebih malam dengan jumlah jarak perjalanan keseluruhan sekitar 471 km, manakala baki jarak perjalanan pula sekitar 721 km.
Kadar penggunaan bahan api pula dicatatkan 3.5 liter untuk setiap 100 km.
Hari Kedua: Kuala Terengganu-Royal Belum-Pulau Pinang
Hujan yang turun sejak tengah malam menjadikan hari kedua nampaknya lebih mencabar.
Kami bermula dari Hotel Raia Kuala Terengganu dalam keadaan hujan lebat, menjadikan kelajuan purata lebih rendah berbanding semalam.
Selain itu, kami juga perlu menempuh keadaan jalan biasa yang mempunyai pelbagai jenis kualiti tar dan beberapa kawasan yang dinaiki air.
Namun, ia bukanlah satu masalah besar kerana Chery Tiggo 7 PHEV ini mempunyai keupayaan untuk meredah air sedalam 500 mm.
Cabaran yang lebih besar menanti kami di laluan Lebuhraya Timur-Barat yang biasanya sinonim dengan lori-lori besar dan haiwan liar.
Ketika menempuh jalan mendaki dan bilangan selekoh yang tidak terhingga, bacaan meter minyak dilihat turun agak pantas berbanding kebiasaan.
Namun disebabkan keadaan jalan yang masih basah, kami memandu Tiggo 7 PHEV dengan lebih berhati-hati untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
Setibanya di kawasan Rehat & Rawat Titiwangsa di Gerik, Perak, meter minyak mencatatkan jarak gerak sekitar 470 km sahaja.
Itu pun sudah cukup untuk membuatkan kami bimbang kerana masih jauh perjalanan yang perlu ditempuh.
Namun, kelebihan CSH terserlah apabila Tiggo 7 PHEV mula menurun cerun di mana sistem mengambil kesempatan untuk mengecas semula bateri menggunakan sistem janaan semula (regenerative).
Kami hanya menggunakan tetapan brek yang paling rendah untuk memastikan pemanduan yang lebih lancar.
Selepas makan tengah hari di Royal Belum, kami meneruskan perjalanan menuju ke Pulau Pinang, dan perlu mengambil jalan alternatif disebabkan terdapat laluan yang ditenggelami air sebelum sampai ke Sungai Petani.
Setelah menempuh jarak sejauh 433 km, kami tiba di Hotel Crowne Plaza dengan meter minyak mencatatkan jarak 368 km.
Di sepanjang laluan Timur-Barat ini, kami perasan satu perkara: Tiggo 7 PHEV menawarkan tahap pengendalian dan pemanduan yang jauh lebih baik berbanding model ICE.
Kami sempat bertanya tentang hal ini, dan pihak Chery Malaysia mengakui ada talaan khusus diberikan oleh unit R&D tempatan pada Chery Tiggo 7 PHEV untuk menjadikan pengendalian yang lebih baik serta pemanduan yang lebih selesa.
Hal ini akan kami ulas dengan lebih lanjut sekiranya diberikan peluang kelak.
Hari Ketiga: Pulau Pinang-Ipoh-Kuala Lumpur
Hari terakhir tiba untuk kami menyelesaikan misi 1,200 km tanpa perlu mengisi minyak dan mengecas bateri.
Dari hotel bermalam di Pulau Pinang, kami meneruskan perjalanan ke arah Ipoh dan Kuala Lumpur merentasi Lebuhraya Utara Selatan.
Selain kesesakan trafik yang biasa berlaku di kawasan Terowong Menora, hujan yang turun sepanjang perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur ‘memaksa’ kami memandu dengan lebih berhemah pada kelajuan yang sopan.
Semua ini demi memastikan Tiggo 7 PHEV ini tidak terkandas di tengah jalan.
Saat meter perjalanan memaparkan angka 1,200 km di kawasan Bestari Jaya, kami bertiga bersorak keriangan kerana berjaya mencapai misi yang telah ditetapkan oleh Chery Malaysia.
Setibanya di Bamboo Hills, Tiggo 7 PHEV ini mencatatkan jarak pemanduan keseluruhan sejauh 1,248 km dengan meter kluster memaparkan jarak gerak tersisa sekitar 93 km dan bateri yang boleh membenarkan SUV ini bergerak sejauh 16 km tanpa setitik petrol.
Kadar penggunaan bahan api secara keseluruhan pula adalah sekitar 4.5 liter per 100 km, jauh lebih rendah berbanding angka rasmi 5 liter/100 km.
Siapa sangka, kenderaan PHEV yang paling murah di Malaysia ini masih mampu menunjukkan prestasi yang setanding dengan model PHEV lain dalam pasaran yang jauh lebih mahal harganya.
Mahukan imej yang sporti? Pengendalian yang meyakinkan? Kabin yang selesa, luas dan senyap? Jimat bahan api? Chery Tiggo 7 PHEV ini dapat memenuhi apa yang anda harapkan.
