Arkib Tag: Emira V6 SE

Lotus Emira ditambah baik untuk 2026 – lebih selesa, penukaran gear lebih tepat

Lotus telah memperkenalkan barisan model Emira untuk tahun 2026, yang menampilkan varian V6 SE sebagai varian flagship dan Turbo sebagai varian entry level, diposisikan di bawah varian Turbo SE yang sedia ada.

Kedua-dua model baharu ini menerima penambahbaikan teknikal yang meningkatkan prestasi serta keselesaan pemanduan harian.

Emira V6 SE mengekalkan enjin 3.5 liter V6 supercaj dengan kuasa mencecah 400 hp dan 430 Nm tork. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.3 saat.

Kotak gear manual enam kelajuan dengan cagak mampatan baharu disediakan secara standard, memberikan penukaran gear yang lebih tepat, manakala transmisi automatik ditawarkan sebagai pilihan.

Sistem suspensi turut ditala semula dengan penyelarasan peredam dan penjajaran roda yang lebih baik bagi meningkatkan kestabilan dan keselesaan. Bergantung kepada keperluan, pemandu boleh memilih antara tetapan casis Tour atau Sport.

Dari segi penampilan, Emira V6 SE didatangkan dengan rim aloi tempa bersaiz 20 inci bersama angkup brek berwarna merah, kemasan Black Pack dan lencana V6 SE eksklusif. Bahagian dalamnya menggunakan kemasan Alcantara dengan pedal sukan.

Pembeli boleh memilih daripada 15 pilihan warna luaran, termasuk dua warna baharu EOS Green dan Purple Haze metalik, serta tujuh tema dalaman. Harga bagi Emira V6 SE bermula dari £96,500 (RM552,590) di UK.

Varian Turbo pula menjadi model asas dalam barisan Emira, dilengkapi enjin 2.0 liter turbo empat silinder yang dibekalkan oleh AMG. Dengan 360 hp dan transmisi dwi-klac lapan kelajuan, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.4 saat.

Di UK, Emira Turbo boleh didapati pada harga permulaan £79,500 (RM455,240).

Secara amnya, kedua-dua varian Emira telah diberikan pelbagai penambahbaikan teknikal termasuk sistem penyejukan yang diubah suai untuk aliran lebih baik ke penyejuk minyak transmisi dan radiator utama.

Sistem penyaman udara ditala semula untuk prestasi lebih baik dalam suhu tinggi, manakala suhu operasi termostat enjin dinaikkan daripada 65°C kepada 75°C bagi meningkatkan pemanasan dan prestasi dalam keadaan ekstrem.

Selain itu, transmisi dwi-klac juga telah dikalibrasi semula untuk penukaran gear yang lebih pantas dan lancar.

Dari segi keselamatan, Emira didatangkan standard dengan sistem bantuan pemandu ADAS. Ia merangkumi ciri-ciri seperti Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning, Blind Spot Warning, Traffic Sign Recognition dan Fatigue Detection.

Pelanggan boleh mendapatkan Extended Co-Driver Pack yang menambah Adaptive Cruise Control (untuk transmisi automatik sahaja), Rear Cross Traffic Alert, Door Opening Warning dan High Beam Assist.

Emira 2026 akan dilancarkan secara rasmi di UK pada September tahun ini, namun tempahannya kini telah dibuka.