Arkib Tag: Edaran Tan Chong Motors

Nissan Serena e-Power 2026 bakal lancar Mac ini, harga anggaran RM160k-RM180k

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd mengumumkan model MPV baharunya Nissan Serena e-Power bakal dilancarkan pada Mac 2026.

Model pemasangan tempatan (CKD) ini akan dijual dengan harga antara RM160,000 hingga RM180,000.

Dalam sesi pandu uji yang dianjurkan bersama para pengamal media, Christopher Tan selaku Naib Presiden Eksekutif ETCM mengumumkan setakat ini pihaknya telah menerima 400 tempahan untuk model MPV tersebut.

Nissan Serena e-Power 2026 bakal ditawarkan dalam spesifikasi tunggal Premium Highway Star.

 

Sistem e-Power

Ia dikuasakan oleh sistem e-Power terdiri daripada enjin 1.4 liter yang bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk menggerakkan motor elektrik (163 PS/315 Nm), serta dipadankan dengan pek bateri lithium-ion 1.769 kWh.

Dengan sistem transmisi automatik kelajuan tunggal, Serena e-Power menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 5.4 liter untuk setiap 100 km, atau jarak pemanduan sehingga 1,000 km.

Ia juga turut dilengkapi dengan fungsi pemanduan pedal tunggal atau e-Pedal.

Serena e-Power menggunakan tetapan topang MacPherson di depan dan torsion beam untuk gandar belakang.

 

Luaran

Dari segi luaran, Serena e-Power menampilkan rekaan jeriji hadapan V-Motion, lampu projektor LED tiga lapis dengan fungsi Auto Levelling, lampu belakang gaya boomerang LED, serta pintu gelangsar di bahagian kiri dan kanan bukaan automatik.

Secara standard, Serena hadir dengan rim bersaiz 16 inci yang dibaluti getah 205/65R16 yang nampak tebal, namun mementingkan aspek keselesaan.

Serena e-Power turut mewarisi ciri Dual Back Door yang ada pada Serena terdahulu.

 

Kabin

Kelengkapan untuk ruang kabin termasuklah tempat duduk dengan teknologi Zero Gravity, upholsteri kulit Nappa hitam, kerusi Kapten baris kedua lengkap dengan perehat tangan dan fungsi luncur empat arah, meja boleh lipat untuk penumpang baris kedua, serta skrin paparan tambahan 14 inci.

Terdapat juga skrin paparan TFT 12.3 inci, skrin infohibur sebesar 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, panel kawalan iklim dengan paparan digital, slot pengecasan tanpa wayar, dan enam port USB.

 

Keselamatan

Serena e-Power dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula mendaki (HSA), cagak ISOFIX, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) serta Kawalan Cengkaman (TCS).

Ciri keselamatan termaju termasuklah sistem semi-autonomi ProPilot, Sistem Pemantauan Keliling Pintar (IAVM), Pengesan Objek Bergerak Pintar (MOD), Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (IPFCW), Brek Kecemasan Pintar (IEB), Amaran Tumpuan Pemandu (IDA), Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Titik Buta (BSW), serta Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

 

Pilihan warna

Nissan Serena e-Power boleh didapati dalam empat pilihan warna dua tona, iaitu Turquoise Blue, Dark Metal Gray, Brilliant White serta Diamond Black di mana kesemua pilihan hadir dengan bumbung berwarna hitam.

ETCM lanjut tawaran Early Bird Nissan Kicks e-Power – kini untuk 1,000 tempahan pertama

Edaran Tan Chong Motors Sdn Bhd melanjutkan promosi Early Bird untuk Nissan Kicks e-Power serba baharu, di mana ia kini tersedia untuk 1,000 orang pelanggan pertama.

Promosi Early Bird itu menawarkan diskaun pengenalan sebanyak RM5,000 serta jaminan komponen EV selama 10 tahun atau had perbatuan 160,000 km.

Dengan rebat tersebut, harga jualan Kicks e-Power kini bermula dari RM108,800 untuk varian VL, RM116,800 untuk varian VLT dan RM120,800 untuk varian VLT dua tona.

Nissan Kicks e-Power dilancarkan secara rasmi pada bulan ini, dikuasakan oleh sistem e-Power generasi kedua, menggandingkan enjin tiga silinder sebaris 1.2 liter yang hanya bertindak sebagai unit penjana kuasa, motor elektrik dan bateri lithium-ion 2.1 kWh.

Secara keseluruhan, Kicks e-Power mampu menjana kuasa setinggi 129 PS dan 280 Nm yang menjanjikan tindak balas tork segera dan pecutan lancar.

Untuk setangki penuh, Kicks e-Power boleh bergerak sejauh 900 km dengan bacaan penggunaan bahan api sekitar 21.7 km/liter.

Nissan Kicks e-Power dilancarkan – dua varian, harga dari RM113,800