Arkib Tag: EcoBoost

Ford hasilkan Mustang EcoBoost yang lebih mesra kaki drift

Terdapat beberapa varian berprestasi tinggi telah pun dihasilkan oleh Ford menggunakan asas Mustang generasi ketujuh seperti Dark Horse dan GTD.

Kini, sebuah lagi varian dilancarkan untuk golongan peminat tanpa perlu risau akan kekangan bajet, iaitu Mustang EcoBoost RTR Package.

Dengan pakej naik taraf daripada RTR, Mustang EcoBoost kini lebih berkeupayaan sebagai sebuah jentera drift yang sebenar.

Antaranya ialah pakej brek Brembo daripada GT Performance Package yang terdiri daripada angkup enam omboh di depan dan empat omboh di belakang.

Selain itu, subrangka belakang daripada model Dark Horse turut diambil, diikuti dengan sway bar depan dan belakang untuk casis yang lebih tegar.

Ciri lain termasuklah gear stereng yang telah dioptimasikan, talaan baharu kepada sistem kawalan kesatbilan, peredam MagneRide, Electronic Drift Brake serta sistem ekzos berprestasi yang lengkap dengan empat tip.

Naik taraf visual pula merangkumi muncung bercahaya, jeriji serta logo RTR, muka hadapan daripada model GT, spoiler GT Performance Pack di belakang, serta kemasan Tarnished Dark Anodized.

Akhir sekali, terdapat pakej warna Hyper Lime yang dikhususkan untuk menggantikan warna hitam pada angkup brek Brembo, diikuti dengan kemasan jahitan pada ruang kabin.

Ford Mustang EcoBoost tidak didatangkan dengan naik taraf kuasa, bermakna ia masih kekal dengan enjin empat silinder sebaris 2.3 liter turbo menghasilkan 315 hp dan 475 Nm.

Walaupun hanya ditawarkan dengan transmisi automatik 10-kelajuan, ia tetap hadir dengan pakej sistem anti-lag RTR yang diambil daripada jentera lumba GT.

Harga jualan tidak didedahkan secara rasmi buat masa ini.