Denza Malaysia mengumumkan pembukaan pendaftaran minat bagi model SUV baharu Denza B8 yang bakal tiba tidak lama lagi.
Ini merupakan model ketiga Denza Malaysia selepas MPV Denza D9 serta Denza Z9GT yang juga bakal dilancarkan kelak.
Spesifikasi Denza B8
SUV ini dikuasakan oleh unit rangkaian kuasa PHEV Dual Mode Off-Road (DMO), terdiri daripada:
enjin 2.0L turbo
dua motor elektrik
pek bateri LFP 36.8 kWh
Sistem ini mampu menjana kuasa keseluruhan sehingga 738 hp dan 760 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 4.8 saat.
Jarak pergerakan sifar emisi adalah sejauh 115 km (data NEDC), sementara jarak untuk setangki penuh (dan bateri penuh) boleh mencecah sehingga 1,200 km (data CLTC).
Casis body-on-frame B8 ini disokong dengan sistem suspensi udara DiSus-P.
Untuk info, Denza B8 merupakan SUV saiz penuh yang membawakan ukuran sepanjang 5,195 mm, lebar 1,994 mm, dan tinggi 1,905 mm.
Jarak antara roda pula sepanjang 2,920 mm.
Menurut Denza Malaysia, terdapat tiga pilihan warna iaitu Dawn Gold, Eclipse Black dan Nebula Silver.
Sementara ruang kabin pula mendapat dua pilihan warna iaitu Jasper Brown dan Onyx Black.
Di pasaran China, ia lebih dikenali sebagai Fangchengbao 8.
Denza Malaysia mengumumkan harga jualan bagi MPV mewah elektrik Denza D9 akan terus dikekalkan pada harga RM259,000 bagi varian FWD dan RM309,000 bagi varian AWD.
Harga jualan yang disebutkan tadi itu hanya sah untuk model tahun 2025 sahaja.
Sejak dilancarkan pada Februari 2025, Denza D9 telah terjual sebanyak lebih 1,200 unit, menjadikannya MPV mewah nombor satu di Malaysia.
Bersempena ulang tahun pertama, Denza Malaysia terus menawarkan ganjaran bernilai sehingga RM15,000 merangkumi perkara berikut:
pengecas dinding 22 kW percuma
pakej servis percuma 6-tahun atau 120,000 km
jaminan kenderaan 6-tahun
Pelanggan Denza juga berpeluang untuk menikmati pengalaman gaya hidup eksklusif termasuklah acara jemputan Denza Golf Cup, pengalaman kulinari premium, serta keistimewaan perjalanan khas yang akan diperkenalkan secara berperingkat.
Menurut Eagle Zhao, Pengarah Urusan Denza Malaysia berkata, “ketika Malaysia melangkah ke fasa seterusnya dalam penggunaan kenderaan elektrik, kami ingin memastikan pelanggan terus merasa yakin dan dihargai sepanjang pengalaman pemilikan mereka.
“Tahun pertama telah meletakkan asas kepercayaan dan tahun-tahun berikutnya akan menumpukan kepada pengalaman yang lebih bermakna dan mencerminkan gaya hidup premium Denza,” ujarnya.
Sime Motors meraikan sambutan ulang tahun ke-45 baru-baru ini dengan persembahan Orkestra Filharmonik Malaysia bersama-sama pihak berkepentingan.
Majlis makan gala tersebut mempersembahkan muzik bertaraf dunia di bawah arahan konduktor terkenal Gerald Salonga, dengan kehadiran pemain piano Liu Muyu dan penyanyi terkemuka Aina Abdul.
Persembahan mereka menghiburkan penonton dan memeriahkan lagi malam sambutan yang diadakan sebagai penghormatan kepada kepimpinan dan sumbangan 45 tahun Sime Motors kepada industri automotif Malaysia.
Selain itu, Sime Motors turut mengiktiraf rakan kongsi jenama yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan kejayaan syarikat.
Penghargaan tersebut disampaikan sendiri oleh Andrew Basham selaku Pengarah Urusan Sime Motors bersama Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors kepada wakil BMW Group Malaysia, BYD, Denza, Ford Malaysia, Hyundai Malaysia, Jaguar Land Rover, Porsche Malaysia dan Volvo Cars Malaysia.
Sisma Auto melancarkan bilik pameran Denza serba baharu yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.
Fasiliti dua tingkat bernilai RM25 juta ini memiliki keluasan sebesar 20,000 kaki persegi dan menampilkan identiti terkini jenama Denza yang mewah dan canggih.
Pengunjung berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat model EV Denza D9 dan memandu uji sendiri kenderaan tersebut.
Selain ruang pameran yang cukup besar, terdapat juga pusat servis yang dilengkapi dengan kemudahan tercanggih bagi menyediakan perkhidmatan lepas jualan yang menyeluruh.
Selain itu, pengunjung Denza Sisma Auto Glenmarie boleh mendapatkan perkhidmatan mengambil dan menghantar kenderaan dari pintu ke pintu untuk diservis sama ada terus dari rumah atau pejabat pelanggan.
Pengarah Urusan Kumpulan SISMA Auto, Syed Khalil bin Syed Ibrahim menjelaskan beliau teruja untuk mengembangkan penawarannya dalam pasaran kenderaan mewah.
“Keyakinan global terhadap jenama BYD semakin meningkat, Denza sebagai sub-jenama BYD pula berada pada kedudukan terbaik untuk menarik perhatian pemilik kenderaan premium dan mewah.
“Dengan pelancaran Denza Sisma Auto, kami menjadikan pengalaman Denza yang dapat diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia.”
Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd, Eagle Zhao berkata, ” Dengan pembukaan rasmi lima pengedar baharu DENZA— ianya menjadi bukti atas komitmen kami dalam menyediakan pengalaman pelanggan yang luar biasa—baru-baru ini kami sedang memperluaskan akses kepada mobiliti elektrik premium yang lebih peribadi, dipercayai dan mudah dicapai.
“BYD Malaysia akan terus memperluaskan rangkaian pengedar dan pusat servis kami bagi memastikan kenderaan elektrik berkualiti tinggi – termasuk untuk pasaran umum dan premium – mudah didapati bagi memenuhi keperluan pengguna Malaysia yang semakin berkembang.”
Pusat pameran dan servis Denza Sisma Auto ini terletak di alamat No. 21, Jalan Perintis U1/52, Seksyen U1, Bandar Glenmarie, Shah Alam dan dibuka setiap hari mulai jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Bagi kebanyakan VIP, VVIP dan VVVIP di Malaysia, kenderaan lalai (default) yang selalu sangat digunakan atas jalan raya tidak lain dan tidak bukan MPV berkotak yang paling popular: Toyota Alphard/Vellfire.
Ia sudah menjadi satu pemandangan yang lazim sejak 23 tahun yang lalu, membuktikan betapa pentingnya kenderaan segmen sebegini untuk kegunaan golongan tersebut.
Namun keadaan tersebut mungkin akan berubah dengan kehadiran beberapa buah model minivan premium dalam pasaran sedia yang boleh didapati dengan pilihan rangkaian kuasa elektrik (EV) dan juga plug-in hybrid (PHEV).
Salah satu model yang sedia memberikan cabaran ialah minivan premium daripada cabang jenama mewah BYD, iaitu Denza D9.
Dilancarkan secara rasmi awal tahun yang lalu, Denza D9 merupakan sebuah MPV tiga baris tempat duduk premium yang membawakan tanda harga lebih murah berbanding duo Alphard/Vellfire – bermula dari RM259,000 hingga RM309,000 untuk varian yang paling tinggi.
Untuk sesi pandu uji ringkas selama dua hari satu malam kali ini, kami berpeluang untuk merasai sendiri pakej premium yang cuba ditawarkan oleh Denza D9, bermula dari bilik pameran Denza Jalan Klang Lama menuju ke Desaru, Johor.
Hari pertama: Pengalaman sebagai seorang bos
Buka sahaja pintu gelangsar, Denza D9 akan menyediakan baris kedua berupa tempat duduk kapten dengan pakej yang cukup lengkap: ada perehat kepala dan perehat kaki, fungsi pemanas, ventilasi, urut 10 titik dan tetapan sifar graviti yang boleh ditetapkan menerusi skrin berasingan pada perehat tangan.
Terdapat juga slot pengecas peranti pintar tanpa wayar serta port USB Type C untuk kedua-dua tempat duduk baris tengah.
Rasa haus setelah seharian bermesyuarat? Denza D9 ada menyediakan peti sejuk 6.8 liter yang boleh ditetapkan suhu antara negatif 6 hingga 50 darjah Celcius. Cukup untuk memuatkan beberapa botol air bersaiz kecil.
Terdapat juga meja piknik yang boleh dibuka dari belakang tempat duduk baris depan. Cuma pada pendapat kami, meja tersebut mungkin lebih praktikal jika posisinya lebih rapat dengan tempat duduk baris kedua. Barulah rasa macam penerbangan kelas perniagaan yang sebenar.
Mahu maksimumkan baris kedua dengan sebaik mungkin? Denza D9 tidak menyediakan fungsi ‘boss switch‘ pada tempat duduk penumpang hadapan. Sebaliknya, anda boleh akses menu ‘boss key‘ menerusi skrin kecil itu tadi.
Penggunaan bahan upholsteri premium Nappa menjadikan pengalaman perjalanan yang lebih selesa dan tidak memenatkan.
Selain daripada itu, tahap NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) kabin Denza D9 berada pada tahap yang baik.
Bunyi bising tayar tidak jelas kedengaran, malah penggunaan kaca jenis double glaze juga memastikan bunyi hentaman air hujan lebat tidak membuatkan tidur penumpang rasa terganggu.
Apa yang penting, dengan tetapan sistem suspensi adaptif pintar DiSus-C secara standard, Denza D9 berupaya menawarkan tahap keselesaan yang tersendiri sepanjang perjalanan.
Hari kedua: Bertugas sebagai drebar orang kenamaan
Setelah puas menikmati pengalaman sebagai seorang VIP, hari kedua penulis ‘bertukar kerjaya’ menjadi pemandu yang diberikan tanggungjawab membawa dua orang VIP pulang semula ke Kuala Lumpur.
Masuk sahaja ruang kokpit, perkara pertama yang penulis mahu puji ialah tetapan tempat duduk pemandu yang cukup sifat dan sempurna untuk tugasan pemanduan selama berjam-jam merentas empat negeri.
Ia menawarkan sokongan yang sangat diperlukan oleh pemandu, ada fungsi lapan tahap larasan, lengkap dengan sokongan untuk tulang belakang, fungsi ventilasi, serta headrest yang boleh diubah.
Konsol tengah masih lagi menempatkan tombol gear serta beberapa butang fizikal untuk fungsi utama seperti pilihan mod pemanduan, membuka pintu gelangsar sisi, pintu belakang, bahkan terdapat juga butang khas untuk membuka peti sejuk di tengah.
Skrin kluster sebesar 10.25 inci tu menawarkan grafik yang mudah untuk dibaca, cuma mungkin lebih baik jika ia didatangkan dengan pilihan tema analog yang lebih ringkas. Tidak semua pemandu sukakan paparan skrin yang penuh dengan bermacam-macam info.
Mujur juga ada skrin paparan head-up (HUD) yang disediakan, jadi segala info penting boleh dibaca tanpa memerlukan pergerakan mata yang ketara sewaktu pemanduan.
Skrin tengah sebesar 15.6 inci itu memang cukup besar, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, ditambah pula dengan paparan menu yang mudah untuk dicari serta mempunyai beberapa butang pintas (shortcut).
Sebagai seorang pemandu, susun atur sebegini sememangnya amat dihargai kerana penulis tidak perlu terkial-kial untuk mencari dan mengubah tetapan kenderaan untuk memastikan dua orang VIP di belakang kekal selesa tanpa gangguan.
Pemanduan
Dari segi dimensi, Denza D9 sememangnya jauh lebih besar berbanding duo Alphard/Vellfire yang sangat banyak di atas jalan raya pada ketika ini.
Namun, tidak sukar untuk penulis mengendalikan MPV premium ini disebabkan sudut pandang keluar yang cukup besar, dibantu pula dengan kamera keliling bagi memastikan tiada sebarang panel badan tercalar sewaktu memasuki kawasan yang sempit.
Anda boleh memilih untuk talaan stereng yang lebih lembut dan santai (mod Comfort) atau sedikit berat (mod Sport) bergantung kepada keadaan. Namun kebanyakan masa penulis lebih gemar menggunakan mod Sport untuk respons yang lebih natural.
Mod pemanduan yang disediakan pada Denza D9 ini tidaklah menawarkan tetapan menyeluruh.
Ini kerana jika mod Sport dipilih, ia hanya akan mengubah tetapan ECU semata-mata dan anda masih perlu untuk masuk ke dalam menu skrin utama untuk mengubah tetapan suspensi, stereng dan juga respons brek yang diperlukan.
Sebut pasal tetapan suspensi, berdasarkan pemanduan untuk tempoh dua hari ini kami mendapati Denza D9 lebih selesa jika menggunakan tetapan Sport.
Dalam keadaan ini, olengan badan MPV premium ini berada pada tahap yang boleh diterima, tidak seperti mod Comfort dimana olengan badan dirasakan lebih ketara. Mungkin mod ini lebih sesuai untuk keadaan jalan raya yang lebih rata dan baik kualiti turapan tarnya.
EV VIP sesuai untuk jalan jauh
Denza D9 ini ada kelebihan dari segi sistem rangkaian kuasa yang cukup bertenaga.
Unit yang kami pandu sepanjang tempoh dua hari ini merupakan varian Premium AWD, didatangkan dengan tetapan dua motor elektrik, satu untuk setiap gandar.
Gandar depan dikuasakan oleh motor elektrik 308 hp dan 360 Nm, manakala gandar belakang pula mendapat motor elektrik 60 hp dan 110 Nm. Kuasa keseluruhan? 369 hp dan 470 Nm dengan prestasi pecutan sepantas 6.9 saat dari 0-100 km/j.
Berdasarkan pengalaman pemanduan tempoh hari, pecutan Denza D9 dirasakan cukup bertenaga, lancar dan linear. Untuk mencapai kelajuan melepasi had laju kebangsaan juga tidak memerlukan aksi tekan pendikit yang terlalu agresif.
Cukup sekadar menekan pendikit dengan lembut, MPV premium ini boleh mencapai kelajuan tiga angka dengan mudah, dan paling penting penumpang di belakang tidak terkesan langsung dengan tindakan pemandu itu tadi.
Adakah Denza D9 ini sesuai untuk perjalanan jauh? Ya!
Masalah kebimbangan jarak bukanlah satu isu yang perlu anda fikirkan, kerana MPV ini boleh bergerak sejauh 580 km (data NEDC) untuk sekali cas penuh, terima kasih kepada pek bateri berkapasiti 103.36 kWh yang dibekalkan secara standard.
Apatah lagi pada ketika ini sudah banyak kemudahan pengecasan pantas tersedia di sepanjang laluan utama di Semenanjung Malaysia, ia lebih memudahkan urusan anda untuk membawa VIP ke destinasi yang dituju tanpa perlu rasa risau.
Berhenti sahaja di mana-mana kemudahan pengecasan pantas seperti contoh di Johor Premium Outlet atau Hentian Rehat & Rawat (R&R) utama, anda boleh mengecas bateri Denza D9 ini dari 30 hingga 80 peratus SoC dalam tempoh masa 30 minit sahaja.
Ini kerana secara standard MPV Denza D9 ini boleh menyokong pengecasan pantas DC sehingga 166 kW.
Kesimpulan
Berdasarkan pemanduan ringkas yang dibuat tempoh hari, kami berpendapat Denza D9 ini mampu menjadi satu pilihan MPV premium yang boleh dipertimbangkan, terutama untuk mereka yang mahu lari daripada tipikal kenderaan VIP yang ada di pasaran.
Ia ada pakej pemanduan sifar emisi yang cukup bertenaga, ruang kabin yang cukup selesa, senyap dan sarat dengan bermacam-macam ciri premium, dan paling penting dengan tanda harga yang tidak terlalu mahal.
Bermula dengan harga serendah RM259,000, anda boleh dapatkan Denza D9 versi pacuan roda depan, atau pilih sahaja varian Premium AWD untuk menikmati kesemua ciri yang telah kami sebutkan tadi.
Paling menarik, Denza D9 ditawarkan dengan jaminan merentas sempadan tiga negara (Singapura, Malaysia dan Thailand).
Ini bermakna jika anda secara kebetulan berkelana di dua negara jiran tersebut, anda masih boleh menikmati bantuan tepi jalan dan khidmat selepas jualan yang sama seperti yang ditawarkan di Malaysia.
Spesifikasi Denza D9
Nadi penggerak: dua motor elektrik
Kuasa: 369 hp, 470 Nm
Pacuan: semua roda (AWD)
Pecutan: 6.9 saat (0-100 km/j)
Bateri: LFP Blade, kapasiti 103.36 kWh
Pengecasan AC: 11 kW
Pengecasan DC: 166 kW
Jarak gerak: 580 km (data NEDC)
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link, sistem adaptif DiSus-C
Dimensi: 5,250 mm x 1,960 mm, 1,920 mm
Jarak antara roda: 3,110 mm
Radius putaran: 5.95 m
Kargo: 410 liter – 2,310 liter