Arkib Tag: DAMD

Mitsubishi Delica Mini berubah menjadi Pajero versi mini

Kei car kebiasaannya mempunyai rekaan yang lebih comel, sesuai dengan fizikalnya yang kecil.

Namun syarikat pengeluar kit badan terkemuka DAMD mempunyai idea untuk menjadikan penampilan kei car yang lebih agresif, lasak dan bergaya.

Seperti contoh, kit badan “Dali” (yang dipendekkan daripada Dakar Rally) berjaya mengubah rupa sebenar Mitsubishi Delica Mini yang comel menjadi sebuah jentera retro yang diinspirasikan daripada model Pajero era 80-an.

Jika anda perasan, lampu depan serba baharu itu lebih mirip kepada rekaan lampu yang wujud pada model Pajero generasi pertama.

Selain itu, ia turut hadir dengan struktur jeriji bersegi, lengkap dengan emblem asli Mitsubishi yang turut menempatkan pelbagai penderia ADAS disediakan.

Struktur bampar depan asal Delica Mini masih dikekalkan termasuklah perkataan “DELICA” dan liang pengudaraan asal, namun diperkemaskan dengan tambahan hiasan istimewa yang diakhiri dengan kemasan hitam berkilat.

Apa yang penting, segala penambahan tersebut tidak menjejaskan ukuran asal Delica Mini dan masih lagi mematuhi peraturan kei car yang ditetapkan oleh kerajaan Jepun.

DAMD turut menawarkan set decal sisi kustom, rim aloi Cantabile 15 inci yang dibaluti tayar Toyo Tires Open Country R/T, serta tidak ketinggalan rak bumbung.

Aksesori untuk ruang kabin pula masih lagi dalam peringkat fasa pembangunan. Harga pakej lengkap juga akan diumumkan kelak.

Model ini akan dipamerkan secara rasmi di reruai DAMD di Tokyo Auto Salon 2026 berlangsung pada bulan ini.

 

DAMD Dali

Mitsubishi Delica Mini

Tiga kit badan DAMD untuk Suzuki Jimny Nomade, inspirasi daripada Defender, G-wagen

Bersempena dengan pelancaran Suzuki Jimny Nomade (5-pintu) untuk pasaran Jepun, syarikat penala DAMD menyediakan sehingga tiga pakej kit badan untuk dipadankan pada SUV off-road tersebut.

Pemilik Suzuki Jimny 5-pintu di Jepun boleh memilih untuk memadankan kit badan “little D”, “little G. ADVANCE” dan “little G. TRADITIONAL”.

“little D” membawakan bampar hadapan dan belakang baharu, serta unit lampu yang sememangnya mengambil inspirasi daripada Land Rover Defender klasik.

Bagi mereka yang inginkan imej G-wagen, terdapat dua pilihan kit badan.

“little G. TRADITIONAL” membawakan imej luaran seakan sebuah Mercedes-Benz G-Wagen generasi terawal, lengkap dengan struktur jeriji hadapan baharu dan plastik fender yang lebih lebar.

Pemilik yang mahukan imej G-wagen moden dan lebih sporti pula boleh mendapatkan “little G. ADVANCED”, dengan padanan tayar yang lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar, muka depan mirip G63 AMG, lampu membelok yang bertenggek atas hud enjin, dan penutup tayar simpanan belakang yang lebih kemas.

Menurut laporan Response.jp, pihak DAMD sudah pun memulakan projek pembangunan bagi ketiga-tiga kit badan Suzuki Jimny Nomade dan menyasarkan pelancarannya dalam tahun ini.


SUZUKI JIMNY NOMADE 2025 (Jepun)

 

DAMD Reverb bikin krisis identiti pada Honda WR-V

Bosan dengan rupa paras standard Honda WR-V?

Jika krisis identiti merupakan jawapan yang anda cari, usah risau kerana syarikat penala dari Jepun yang satu ini sememangnya pakar dalam mengubah rupa paras model standard menjadi sesuatu yang lebih berbeza.

DAMD bakal membawakan beberapa model yang menarik pada acara pameran Tokyo Auto Salon 2025.

Salah satu daripadanya ialah Reverb, sebuah Honda WR-V (atau nama lainnya Honda Elevate) yang telah diberikan rupa paras seakan Jeep Cherokee XJ.

Bahagian hadapan Honda WR-V telah diubah sepenuhnya menampilkan unit lampu berbentuk segi empat serta jeriji enam-slot yang mengingatkan kita pada model klasik Cherokee.

Selain itu, bahagian sisi SUV ini telah diberikan decal seakan panel kayu yang wujud pada model station wagon vintaj Amerika, diikuti dengan panel plastik gerbang roda yang tidak bercat.

Melengkapi imej yang ranggi itu ialah set rim keluli berwarna hitam yang dibaluti tayar mud-terrain BFGoodrich.

Selain daripada WR-V, DAMD turut membawakan model-model berikut:

1. Stuart – Toyota Sienta dengan imej hadapan Mini Cooper
2. Rodney – Honda N-Box Custom yang tampil lebih sporti
3. Lucy – Daihatsu Taft dengan imej Daihatsu Rocky F300 90-an

 

 

 

 

DAMD tawar kit badan 80’s Side Kick untuk Daihatsu Taft

Firma penala Jepun, DAMD sangat terkenal dengan pelbagai jenis aksesori dan kit badan untuk dipadankan pada kereta-kereta moden, terutama kei-car.

Tinggal sediakan duit sahaja, dan anda boleh memandu sebuah kereta yang sangat cool di atas jalan raya.

DAMD kini mengumumkan variasi baharu kit badan gaya klasik 80’s yang sebelum ini pernah ditawarkan untuk kei-car Daihatsu Taft, dikenali sebagai 80’s Side Kick.

 

 

Pakej ini masih lagi mengekalkan grafik badan klasik yang diinspirasikan daripada Toyota Land Cruiser 60 Series, namun dengan penawaran rim DAMD Cantabile berwarna hitam, serta jeriji hadapan gunmetal grey dengan aksen hitam.

Untuk imej yang lebih ranggi, pemilik boleh memadankan tayar off-road Toyo Open Country seperti yang dipaparkan pada imej promosi.

Selain daripada gaya luaran, DAMD turut menawarkan sarung tempat duduk dengan dua pilihan corak, sama ada corak houndstooth berwarna kuning hitam, atau corak kotak-kotak kelabu merah.

 

 

Harga jualan untuk pakej lengkap yang tidak bercat bermula dari 319,000 yen (RM9,461).

Anda juga boleh mendapatkan barangan tersebut secara berasingan, di mana kit ubah muka dijual pada harga 173,800 yen (RM5,154) sementara jalur vintaj 80-an itu pula berharga 52,800 yen (RM1,566).

 

 

Kit badan 80’s DAMD (2021)