Arkib Tag: dakar rally

Land Rover Defender Dakar D7X-R bakal gegar Rali Dakar 2026 dengan enjin V8 twin-turbo

Land Rover telah memperkenalkan Defender Dakar D7X-R dalam usahanya untuk menawan Rali Dakar 2026 pada Januari nanti.

Setiap D7X-R bermula sebagai model produksi Defender Octa di kilang Jaguar Land Rover (JLR) di Nitra, Slovakia, dan dibina mengikut peraturan baharu FIA kategori Stock bagi kejohanan tahun depan.

Peraturan ini menetapkan bahawa elemen teras seperti rangka D7x, trenkuasa, dan enjin 4.4-liter V8 twin-turbo dari model asal mesti dikekalkan, digabungkan dengan modifikasi yang sesuai untuk rali itu. Ia juga akan menggunakan bahan api lestari yang patuh piawaian FIA.

D7X-R hadir dalam livery ‘Geopalette’ baharu, diinspirasikan daripada landskap padang pasir. Gabungan warna pasir, batu, dan bumi diserlahkan dengan sentuhan Aqua untuk imej yang lebih menonjol.

Antara ubahsuai yang telah dilakukan termasuk penambahan tangki bahan api 550 liter di bahagian belakang, suspensi lebih panjang dengan ukuran trek lebih lebar, casis lebih tinggi, dan tayar off-road 35-inci.

Badan kenderaan diubah bagi meningkatkan sudut pendekatan dan pelepasan, serta dilengkapi pelindung bawah casis, dan roll cage. Suspensi itu dibangunkan bersama Bilstein bagi menampung  tambahan berat tangki bahan api dan keadaan ekstrem padang pasir.

Sistem penyejukan, brek, dan elektronik juga ditambahbaik. Radiator bersaiz besar, penapis zarah, dan rekaan bonet baharu memastikan enjin kekal sejuk.

Bukan itu sahaja, jentera ini juga dilengkapi brek spesifikasi rali, unit kawalan motorsport, dan ‘Flight Mode’ baharu bagi menempuh lompatan dan permukaan kasar.

Ruang dalaman pula menampilkan kerusi FIA, sistem navigasi, head-up display dan dashboard motorsport.

Tugas akan digalas oleh tiga kru pemandu dan pembantu pemandu, yang bakal menempuh perjalanan sejauh 5,000 km dalam tempoh dua minggu.

Legend Dakar, Stéphane Peterhansel bergandingan dengan Mika Metge, Rokas Baciuška bersama Oriol Vidal, manakala Sara Price ditemani Sean Berriman. Mereka akan disokong pasukan jurutera dan mekanik berpengalaman di bawah pimpinan ketua pasukan baharu iaitu Ian James.

Audi Q8 e-tron edition Dakar tampil rugged

Audi akan menyahut cabaran Dakar Rally tahun ini dengan RS Q e-tron yang direka khusus untuk kejohanan itu. Sebagai tanda meraikan penyertaannya, syarikat itu telah memperkenalkan Q8 e-tron edition Dakar yang diinspirasikan daripada jentera rali itu.

Menurut Audi, hanya 99 unit edisi Dakar ini akan dihasilkan. Tempahan untuknya akan dibuka pada suku pertama tahun ini dengan harga bermula dari 120,000 euro (RM608,211) di Jerman.

Q8 e-tron edition Dakar diasaskan dari varian Q8 advanced 55 e-tron quattro. Ia dilengkapi dengan bateri 114 kWj yang menawarkan jarak pandu sehingga 487 km, dan sistem pacuan quattro dengan sepasang motor elektrik yang menghasilkan 402 hp (300 kW) dan 664 Nm.

Dengan tayar standard, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.8 saat. Bagaimanapun, dengan tayar all-terrain General Grabber AT3, Q8 e-tron edition Dakar mengambil masa 5.9 saat. Kelajuan maksimum dihadkan pada 200 km/j.

Biarpun penggunaan tayar berkenaan menjadikan SUV ini lebih perlahan, ia memberikannya ruang lega tanah yang lebih tinggi (+31 mm) dan cengkaman yang lebih baik di atas permukaan berbatu atau salji.

Ia juga didatangkan standard dengan rak bumbung yang boleh menampung berat sehingga 40 kg. Rak ini disertakan sekali dengan beg dan tali pengikat untuk aksesori.

Dalam tetapan standard, Q8 e-tron edition Dakar menawarkan ruang lega tanah 260 mm. Ketinggiannya akan dikurangkan secara berperingkat apabila ia bergerak pada kelajuan lebih tinggi – 15 mm pada 85 km/j, 17 mm pada 100 km/j dan 13 mm pada 120 km/j.

Sementara itu, sudut pendekatan, ramp dan ketibaan masing-masing adalah 20, 26 dan 19 darjah. Ia juga mampu meredah air dengan kedalaman sehingga 300 mm.

Pembeli boleh mendapatkan beberapa kelengkapan yang ditawarkan secara opsyen, seperti set pelekat Dakar Rally, pakej pencahayaan ambien, sistem audio Bang & Olufsen dan cermin sisi maya.

Menariknya, setiap unit Q8 e-tron edition Dakar didatangkan dengan set tayar musim panas bersama rim V-spoke berukuran 20 inci.

Ducati DesertX tiba di Malaysia dengan liveri khas RR22, dari RM113k

SEJAK pelancarannya awal tahun ini, Ducati DesertX telah dijangka menjadi pesaing utama dalam segmen adventure (ADV). Buat peminat Ducati di Malaysia, berita baik kerata DesertX kini bersedia menemui anda.

Ducati Malaysia telah mengumumkan pelancaran model itu, dan ditawarkan dengan liveri RR22 baharu yang direka khas dengan kerjasama Audi dan bekas penunggang MotoGP, Danilo Petrucci.

Mengambil inspirasi Audi RS Q e-tron iaitu kenderaan EV yang telah memenangi rali Dakar sebanyak 4 kali, liveri RR22 ini dihasilkan dengan teliti oleh pakar-pakar di Ducati Style Center. Ini merangkumi gandingan warna hitam, kelabu, dan merah yang cukup garang.

Ducati DesertX mengekalkan penggunaan enjin Testastretta V-Twin 937cc dengan kuasa 110hp dan 92Nm tork.

Dengan rim 21-inci depan dan 18-inci belakang serta suspensi tinggi (9.1-inci depan, 8.7-inci belakang), DesertX menawarkan jarak kelegaan tanah yang cukup bagi membolehkan menakluki permukaan off-road tidak rata.

Sebagai sebuah ADV moden juga, Ducati DesertX dilengkapi ciri terkini seperti Cornering ABS, Traction Control, Anti-Wheelie, Engine Braking Control, Quickshifter, Riding Modes, dan Power Modes.

DesertX boleh menjadi milik anda dengan harga RM112,900 untuk Star White Silk dan RM115,900 untuk RR22 Matt Saturn Grey.