Arkib Tag: dadah

Pemandu warga asing bawah pengaruh dadah rempuh Istana Besar Johor

Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh dadah dan melanggar dua kereta sebelum merempuh Istana Besar di Kilometer 2.3 Jalan Skudai, Pantai Lido pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat kejadian berlaku jam 5.28 pagi membabitkan kereta jenis Audi dipandu seorang lelaki warga asing.

Beliau berkata, pemandu berusia lingkungan 20-an dari pusat bandar menghala Skudai bersama dua penumpang dipercayai gagal mengawal kenderaan di kawasan selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Kereta warga asing itu kemudian melanggar sebuah teksi dan Perodua Aruz, sebelum merempuh pagar istana di bahu jalan.

Raub berkata, pemandu kereta cedera ringan, manakala pemandu dua lagi kenderaan yang dilanggarnya tidak cedera, dengan pagar istana mengalami kerosakan.

Sementara itu, hasil ujian air kencing mendapati pemandunya positif methamphetamine manakala kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Ulasan: Hanya hukuman keras ‘ajar’ pemandu tidak bertanggungjawab

KECUAIAN di jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan maut bukan suatu yang baharu di negara ini.

Terdapat pelbagai kes dicatatkan dengan terbaharu melibatkan kematian dua remaja dalam satu kemalangan di Lebuhraya Persekutuan pada 12 September lalu.

Pada penulis, insiden itu bukan sahaja menimbulkan rasa marah dan geram tetapi turut melahirkan emosi teramat sedih.

Berdasarkan laporan media, kemalangan berlaku susulan tindakan seorang lelaki memandu secara melawan arus kerana di bawah pengaruh dadah.

Mengapa masih ada manusia yang tidak bertanggungjawab seperti ini? Apakah yang ada dalam benak fikiran ketika itu?

Walau apa jua jawapan yang diberikan, nasi sudah menjadi bubur. Dua nyawa telah melayang angkara tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Kemalangan jalan raya boleh dielak jika semua pihak memandu dengan penuh rasa tanggungjawab. – Foto ihsan Unsplash/Krzysztof Kowalik

Hukuman berat jika bersalah

Hari ini, sebaik penulis membaca laporan akhbar bahawa tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Shah Alam membuktikan masih ada sinar keadilan di negara ini.

Berdasarkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh jika didapati bersalah berdepan hukuman mati.

Mungkin ada yang mempersoalkan tidakkah hukuman ini terlalu berat?

Jawapannya sampai bila kita mesti berdepan dengan sikap pemandu tidak bertanggungjawab di jalan raya?

Jika undang-undang keras tidak dilaksanakan maka, selagi itu akan wujud pemandu bersikap sambil lewa sehingga mengancam keselamatan nyawa orang ramai.

Sudah pasti kita tidak ingin lebih banyak kemalangan berlaku di masa depan angkara sikap lalai dan tidak bertanggungjawab pemandu.

Anggota keselamatan sedang melakukan pemeriksaan jalan raya. – Foto fail oleh Shafwan Zaidon

Fakta kes kemalangan

Tanggal 12 September lalu, dua remaja maut selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki secara melawan arus.

Insiden berlaku di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur sekitar jam 1.20 pagi.

Kemalangan menyebabkan Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, meninggal dunia.

Siasatan mendapati tertuduh iaitu K. Devaaswin, 24, dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Bagaimanapun, masih tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Majistret Nur Faizah Abdul Sani menetapkan 21 Oktober untuk sebutan semula kes.

Kes pecah masuk stesen minyak selesai, polis tahan suspek wanita

JENAYAH membawa padah.

Itu dapat disimpulkan terhadap nasib seorang wanita selepas dia ditahan polis bagi membantu siasatan kes pecah masuk stesen minyak sekitar Bandaraya Melaka.

Memetik laporan Bernama, suspek ditahan polis pada 11 Julai lalu di sebuah rumah dekat Taman Peringgit Ria.

Sebelum ini, polis percaya suspek bergerak secara sendirian malah, semakin aktif memecah masuk stesen minyak dan bangunan sejak Jun lalu.

“Suspek sering memakai ‘jacket hoodie’ ketika menjalankan aktiviti memecah masuk stesen minyak di bangunan lama antara 3 dan 7 pagi.

“Nilai kerugian keseluruhan kes adalah sebanyak RM5,000 termasuk wang tunai dan kerosakan cermin akibat dipecahkan, yang ditanggung pemilik stesen,” memetik kenyataan polis.

Sementara itu, ujian air kencing terhadap suspek mendapati dirinya positif dadah dan direman mulai 12 sehingga 17 Julai ini.

Polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan suspek bagi melakukan aktiviti pecah masuk bangunan.

Pada masa sama, polis percaya suspek telah menggunakan wang hasil curi untuk membeli dadah.

Lelaki positif dadah direman curi kenderaan, culik budak

TINDAKAN seorang lelaki melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak membawa padah apabila dia ditahan reman sehingga Isnin depan.

Suspek bukan sahaja berdepan kesalahan menculik malah turut didapati positif dadah, lapor Bernama.

Kejadian pada 11.30 pagi semalam, suspek dikatakan cuba melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak perempuan di Seri Manjung, Perak.

Menurut laporan media, kanak-kanak itu duduk berseorangan dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza sambil menunggu ibunya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebelum ini, kes kenderaan dilarikan individu tidak bertanggungjawab bukan satu kejadian baharu di Malaysia.

Pada September tahun lalu, seorang kanak-kanak lelaki nyaris menjadi mangsa culik apabila kereta dinaiki cuba dilarikan seorang tidak dikenali di Taman Kota Masai.

Peristiwa ngeri itu berlaku apabila kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu menumpang kereta jirannya untuk menunaikan solat Jumaat.

Justeru, orang ramai dinasihati untuk terus berhati-hati dan tidak mengabaikan keselamatan.

Antara kebanyakan kes cubaan curi kenderaan adalah disebabkan kecuaian termasuk enjin tidak dimatikan.

Apakah yang perlu dilakukan jika berdepan situasi ini?

Jika anda terlihat cubaan curi kenderaan perlu bersikap tenang dan tidak melulu.

Berikut langkah yang boleh diambil:

1. Hubungi polis dengan kadar segera dan cuba salurkan maklumat sebanyak mungkin termasuk lokasi kejadian, nombor pendaftaran kenderaan dan lain-lain.

2. Jangan mengejar suspek yang memiliki senjata berbahaya. Tindakan melulu dikhuatiri menyebabkan berlaku perkara tidak diingini.

3. Elak memukul suspek. Tindakan memukul suspek boleh menyebabkan anda dikenakan tindakan undang-undang. Serahkan kepada pihak berkuasa.

4. Gunakan kuasa viral. Sebarkan maklumat kenderaan curi agar orang ramai dapat membantu memberi maklumat.

5. Jika berjaya menangkap suspek, pastikan dia ditahan sebaik mungkin sebelum diserahkan kepada polis. Suspek yang tidak ‘melawan’ jangan diapa-apakan.

Walau apa pun pandangan anda mengenai kes kecurian kenderaan, perlu diingat sentiasalah mematuhi undang-undang.

Sikap melulu bukan sahaja memberi implikasi buruk kepada anda malah, memberi tempias kepada kaum keluarga.

Nasihat kami kepada si pencuri kenderaan, bawa berubah perangai keji itu. Jangan jadi seperti kambing menanduk bukit.

Oh ya! Pemilik kenderaan pun perlu beringat. Manusia rambut sama hitam, hati lain-lain.

#DoneNasihat