Arkib Tag: CSR

Auto ConneXion-Ford anjur CSR salur bantuan kepada golongan yang memerlukan

Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion-Ford) menjalankan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuantan.

Dalam kempen selama 11 hari, seramai lebih 600 penerima bantuan termasuklah keluarga B40, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, asnaf fakir dan miskin serta masyarakat Orang Asli menerima bantuan berbentuk makanan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan asas.

Bantuan yang diberikan adalah seperti berikut:
·      Lembah Klang: 200 penerima (Kumpulan B40, Asnaf, dan OKU di Pangsapuri Putra Ria & Abdullah Hukum).
·      Pulau Pinang: 100 penerima (Komuniti B40 dan Asnaf di George Town & Jalan Patani).
·      Ipoh: 150 penerima (Ibu tunggal, kumpulan B40, dan Asnaf di Sungai Rokam).
·      Kuantan: 150 penerima (masyarakat Orang Asli di Kampung Paya Bungor, Gambang).

Teras kepada kempen tempatan ini ialah penggunaan Klinik Bergerak Ford yang dilancarkan pada Februari tahun ini.

Dalam usaha sama melibatkan Auto ConneXion-Ford, Yayasan Sime Darby, Ford Philantrophy dan MyFundAction, Klinik Bergerak Ford menempatkan tenaga profesional penjagaan kesihatan ke empat lokasi tersebut untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan asas di kawasan luar bandar.

Aktiviti di Malaysia ini merupakan sebahagian daripada Bulan Keprihatinan Global Ford, iaitu program sukarelawan global tahunan di bawah inisiatif Ford Philantrophy.

Usaha tempatan ini menyumbang kepada penganjuran Kempen Derma Makanan Pengedar Automotif Terbesar Dunia di bawah inisiatif Membina Bersama Ford melibatkan lebih 1,600 pengedar Ford di 31 buah negara.

Program ini berjaya mengumpulkan lebih 907,000 kg bekalan makanan, melebihi sasaran asal sebanyak 500,000 kg.

Auto ConneXion-Ford sebelum ini pernah melaksanakan bantuan kemasyarakatan seperti Projek Air Bersih di Gerik dan Operasi Dunia Lebih Baik di Kuala Lumpur.

Proton, RCM turun padang bersihkan Pantai Morib

Proton bekerjasama dengan Reef Check Malaysia (RCM) dengan mengadakan kempen pembersihan Pantai Morib sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Usaha ini menandakan tahun kedua berturut-turut Proton kembali ke kawasan pesisir pantai yang terkenal dengan ekosistem marin dan bakau yang berharga.

Kempen terbaharu ini mengumpulkan seramai 157 orang sukarelawan terdiri daripada kakitangan Proton, vendor, pengedar dan pihak bank.

Fokus utama tertumpu kepada kawasan tumpuan pengunjung di mana sebanyak 468.27 kg sisa buangan telah berjaya dikumpulkan termasuklah tin/logam, plastik dan kaca

Aktiviti pembersihan turut menyingkirkan sisa penyedut minuman plastik dan puntung rokok yang memberikan kesan ketara kepada keindahan semula jadi pantai.

Selain meningkatkan kualiti pantai yang lebih baik, aktiviti ini dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan pesisir pantai serta peranan ekosistem bakau dalam pemuliharaan alam sekitar.

Ia juga dapat memberikan pendedahan kepada para peserta tentang tindakan peribadi yang boleh diambil untuk mengurangkan sisa buangan.

Ainol Azmil selaku Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “usaha kerjasama di Pantai Morib ini benar-benar mencerminkan semangat Proton.

“Dengan mengambil bahagian dalam kerja komuniti, kami bukan sahaja menyumbang kepada persekitaran yang lebih sihat, tetapi juga mengukuhkan semangat kerjasama dan tanggungjawab kami. Pada saat-saat seperti inilah nilai-nilai teras kami — Teamwork, Achiever, Respect, dan Integrity (TARI) menjadi nyata.”

Proton sumbang buku, RM10,000 dana zakat kepada SMK Proton City

Sempena bulan Ramadan, Proton menunjukkan komitmennya terhadap pendidikan dan kebajikan masyarakat dengan dua inisiatif yang memberikan impak positif.

Pengeluar kereta nasional itu telah menyumbangkan koleksi bahan bacaan kepada SMK Proton City di Tanjong Malim dan memperuntukkan dana Zakat sebanyak RM10,000 untuk menaik taraf kemudahan surau di dalam premis sekolah.

Sumbangan itu terdiri daripada pelbagai bahan bacaan pendidikan termasuk buku rujukan hingga kesusasteraan yang diperoleh melalui kempen derma buku antara syarikat dengan lebih daripada 500 buku-buku disumbangkan oleh kakitangan Proton.

Menurut Proton, ini sejajar dengan visinya untuk memperkasakan generasi muda melalui pengetahuan dan pembelajaran. Syarikat juga berhasrat kempen ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk cemerlang dalam akademik dan mengejar aspirasi mereka.

“Di Proton, kami percaya dalam transformatif pendidikan. Dengan memberikan akses rangkaian buku yang lebih luas kepada pelajar, kami yakin dapat memberi inspirasi kepada pelajar dan membolehkan perjalanan pendidikan mereka ke ara penemuan diri dan mengejar kerjaya masa depan mereka,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Pengetua SMK Proton City, Zalina Ahmad berkata pihak sekolah dan Proton mempunyai hubungan yang rapat dengan kira-kira 200 pelajar daripada keluarga pekerja Proton.

“Selama ini, Proton, Kesatuan Sekerja dan kakitangannya telah menyokong sekolah dan hari ini, kami amat berterima kasih atas sumbangan buku yang begitu banyak sekali. Sumber-sumber ini akan memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar kami dan menyumbang kepada pertumbuhan akademik mereka,” kata beliau.

Sementara itu, dana zakat sebanyak RM10,000 yang disumbangkan kepada surau SMK Proton City akan digunakan untuk kerja-kerja penambahbaikan, termasuk pemasangan bumbung dan mozek lantai untuk bahagian solat wanita.

“Proton akan terus berdedikasi kepada aktiviti tanggungjawab sosial korporat dan misinya untuk memacu perubahan positif dalam komuniti yang kami beroperasi. Dengan melabur dalam pendidikan dan kebajikan masyarakat, kami berhasrat untuk memperkasakan individu, memartabatkan masyarakat, dan membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” tambah Roslan Abdullah.

Perodua hulur bantuan kepada rakan niaga di Sri Lanka

PERODUA telah menghantar bantuan kepada kakitangan wakil pengedarnya di Sri Lanka iaitu Unimo Enterprises Limited berikutan krisis kewangan yang menyaksikan pembekuan import sejak 2020.

Larangan import ini telah menghentikan penjualan kenderaan Perodua di Sri Lanka, yang sebelum ini merupakan pasaran eksport CBU terbesar pengeluar kereta kompak itu. Pada penghujung 2019, model terlaris Perodua di Sri Lanka ialah Bezza 1.0L.

“Krisis kewangan di Sri Lanka juga telah membawa kepada kesukaran hidup dan kami bersyukur kerana kami dapat menghulurkan bantuan kepada rakan kongsi kami di sana,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata.

Perodua telah menghadiahkan baucar kepada 171 pekerja Unimo sebagai bantuan dalam tempoh yang sukar ini. Unimo merupakan wakil pengedar Perodua di negara kepulauan itu sejak tahun 1995.

“Kami memilih baucar membeli-belah kerana ini adalah cara paling effektif untuk membantu kakitangan Unimo mendapatkan keperluan harian dan kami berharap keadaan di sana akan bertambah baik,” kata Dato’ Sri Zainal.

Lebuh raya CSR Bentong-Lebu dibuka hari ini

CENTRAL Spine Road (CSR) dari Bentong ke Lebu dibuka hari ini untuk pengguna jalan raya.

Laluan empat-lorong sepanjang 28.5km itu ialah bahagian Seksyen 5 (Kampung Asap – Kampung Sertik yang dikenali sebagai 5C dan Bentong yang dikenali sebagai 5D).

Sumber: Media sosial

Apabila dibuka, pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur atau Kuantan yang mahu ke Raub, Lipis dan Kelantan tidak perlu lagi melalui bandar Bentong.

Mereka yang melalui lebuh raya Karak boleh memasuki CSR berdekatan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong sebelum keluar di Lebu untuk menyambung perjalanan ke jalan lama sedia ada.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dijangka hadir untuk membuka laluan itu hari ini.

Wan Rosdy – yang memeriksa laluan itu di Mempaga minggu lepas – berkata sub-pakej 5C dan 5D itu adalah sebahagian dari laluan penuh sepanjang 350km yang merentasi dari Kuala Krai, Kelantan dan Bentong.

“Seperti disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan RMK-12, projek RM8.7 bilion itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025.

“Apabila siap, CSR akan mengurangkan masa perjalanan dan memberikan lebih keselesaan kepada pengguna jalan raya. Ia juga akan membantu meningkatkan status sosio-ekonomi rakyat dengan menyediakan infrastruktur berkualiti pada kawasan-kawasan terlibat,” tulisnya di laman Facebook.

CSR dibina menggunakan teknik Continuously Reinforced Concrete Pavement (CRCPP). Ia mempunyai enam fasa: dari Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit, Kelantan (47km), Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang, Kelantan (60km), Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang (94km), Kampung Relong ke Raub, Pahang (45km), Raub ke Bentong (54km); dan Bentong ke Simpang Pelangai (47km).

Jurutera AMG Petronas F1 suntik semangat pelajar Kolej Despark

USAHA mengembangkan ilmu kejuruteraan kepada pelajar diteruskan pasukan AMG Petronas Formula One (F1) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Terbaharu, pasukan itu menampilkan jurutera bendalir En De Liow bagi berkongsi pengalaman bersama lebih 200 pelajar Kolej Despark, Petaling Jaya.

Menerusi program itu, pelajar didedahkan gambaran menyeluruh mengenai bidang automotif dari perspektif seorang jurutera bendalir.

De Liow merupakan antara sosok penting dalam memastikan aspek teknikal pasukan Mercedes AMG Petronas F1 berada dalam keadaan baik.

Antara peranan utama termasuk menganalisa bahan api Primax, minyak syntium dan bendalir fungsi Tutela yang digunakan dalam F1.

Terdahulu, Petronas Lubricants International berharap dapat terus melakukan program CSR bagi membantu pelajar menguasai bidang kejuruteraan automotif.

Pada masa sama, syarikat itu turut berharap lebih ramai bakat muda dapat diketengahkan di masa hadapan dalam memastikan kemajuan bidang automotif terus berkembang.