Arkib Tag: crossover mewah

Lexus LBX Morizo RR Original Edition – 100 unit sahaja khusus untuk pasaran Jepun

Lexus LBX merupakan antara produk mewah yang cukup unik – ia bukannya direka untuk memenuhi keperluan praktikaliti suri rumah.

Sebaliknya, ia direka sebagai ‘sepasang kasut kegemaran’ yang sangat sesuai untuk mereka yang mahu menikmati keseronokan pemanduan di hujung minggu.

Jika versi hibrid biasa pun sudah cukup mengujakan, mereka yang lebih berkemampuan pastinya mahukan ekstra – Lexus LBX Morizo RR yang dilengkapi dengan nadi 300 hp daripada GR Yaris.

Hasilnya, sebuah crossover yang cukup lincah, pantas dan bertenaga, apatah lagi bila dapat versi transmisi manual.

Tidak cukup dengan itu, Lexus kini memperkenalkan LBX Morizo RR Original Edition yang lebih mirip kepada spesifikasi model konsep LBX Morizo yang muncul pada Januari 2024.

Bahagian luar jentera ini dihiasi dengan kemasan cat Sonic Chrome, diikuti dengan warna kuning Morizo pada angkup brek serta kemasan pada bahagian atas jeriji.

Untuk ruang kabin pula terdapat tali pinggang keledar berwarna kuning, diikuti dengan kemasan Ochre yang sama digunakan pada Lexus LC 500.

Lexus LBX Morizo RR boleh didapati dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan, atau kotak gear automatik lapan-kelajuan – sama seperti GR Yaris dan GR Corolla.

Di Jepun, Lexus mengehadkan jualan model LBX Morizo RR Original Edition ini kepada 100 orang pembeli sahaja.