Arkib Tag: CFMoto 250SR Lite

CFMoto 250SR Lite 2025 debut di Litar Sepang, harga RM9,988

Mforce Bike Holdings menerusi CFMoto Malaysia mengumumkan model terbaharu CFMoto 250SR Lite sudah pun mendarat di pasaran Malaysia.

Jentera tersebut dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc sejukan cecair DOHC menghasilkan 27.5 hp @ 9,750 rpm dan daya kilas 22 Nm pada 7,250 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan yang dibantu dengan klac slipper untuk penukaran gear yang lebih lancar.

Dari segi pengendalian, 250SR Lite ini dilengkapi dengan fork teleskopik di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.

Brek pula terdiri daripada angkup dua omboh dan rotor tunggal 292 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 220 mm di belakang yang dibantu dengan sistem ABS dua-saluran.

Ciri yang dibawakan termasuklah unit pencahayaan LED sepenuhnya, panel skrin LCD, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, rim 17 inci, serta ekzos gaya sporti.

Tangki bahan api adalah sebesar 12 liter sementara tinggi pelana pula 780 mm.

Untuk pasaran Malaysia, CFMoto 250SR Lite ditawarkan dengan tiga warna iaitu Nebula Black, Gem Black dan Zephyr Blue.

Harga jualan bermula dari RM9,988 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.