Carro selaku platform kereta terpakai dalam talian terbesar di Asia Pasifik telah membuka dua bilik pameran jenama Zeekr serba baharu yang terletak di Bangsa, Kuala Lumpur dan Juru Autocity, Pulau Pinang.
Difahamkan, dua lagi bilik pameran Zeekr dijangka akan dibuka menjelang akhir tahun ini.
Dengan keluasan lebih 12,000 kaki persegi, Zeekr House yang terletak di Juru Autocity menawarkan perkhidmatan 3S (jualan, servis, dan alat ganti) kepada pelanggan di sekitar kawasan tersebut.
Ini adalah susulan kepada perkembangan terbaharu di mana Carro telah dilantik oleh Zeekr sebagai pengedar sah baharunya di Malaysia.
Dalam perjanjian Memorandum Persefahaman yang ditandatangani Jun lalu, Carro akan membuka empat bilik pameran Zeekr serta tiga bengkel Carro Care untuk menyokong usaha runcit dan penyelenggaraan bagi jenama EV tersebut.
Ekosistem kereta terpakai iaitu myTukar Powered by Carro telah dijenamakan semula dan kini dikenali sebagai Carro.
Langkah ini menyaksikan ‘Carro’ diimplementasikan dalam rangkaian produk dan perkhidmatan myTukar, bahan pemasaran serta papan tanda fizikal di seluruh Malaysia – satu proses yang akan memakan masa beberapa bulan.
“Usaha menjenamakan semula myTukar menandakan satu kejayaan besar dalam penyepaduan jenama kami, dan kami lebih bersemangat untuk terus mencapai semua matlamat seterusnya dalam pelan hala tuju kami,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carro Aaron Tan.
“Kami mencapai keuntungan sebagai sebuah kumpulan syarikat and bersedia untuk Tawaran Awam Permulaan (IPO) untuk menyenaraikan syarikat kami sebaik sahaja mendapat peluang untuk melakukannya,” katanya.
Carro merupakan platform kereta terpakai dalam talian yang kini beroperasi di Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Jepun dan Taiwan.
Syarikat startup Singapura ini berada di landasan yang tepat untuk mencapai EBITDA tahun kewangan 2024 terbaik setakat ini iaitu sebanyak hampir AS$40 juta, lebih 10 kali ganda daripada apa yang dicapai untuk keseluruhan tahun kewangan 2023.
Sejak penubuhan myTukar pada 2017, syarikat ini telah mencatatkan pelaburan AS$30 juta daripada Carro untuk merevolusikan dan mendigitalkan industri kereta terpakai yang berpotensi tinggi di Malaysia.
Jenama ini telah berkembang menjadi ekosistem kereta terpakai dalam talian yang pertama dan terbesar di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan jual beli, insurans, pembiayaan dan selepas jualan.
Setakat ini, Carro telah menubuhkan 11 pusat jualan, 27 pusat pemeriksaan, lima bengkel dan dua pusat baik pulih di negara ini.
Pada Januari 2024, segmen jualan myTukar merekodkan prestasi terbaiknya dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 55% dan turut mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 40% pada suku lepas.
myTukar sebelum ini memulakan fasa pertama penjenamaan semula pada Jun 2022 apabila ia menukar penampilan korporatnya dengan beralih daripada skema warna biru kehijauan dan kelabu kepada warna utama Carro iaitu jingga untuk papan tanda dan bahan pemasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Carro Malaysia Derrick Eng berkata, “Sebagai sebahagian daripada jenama global, fokus utama kami adalah untuk memacu pertumbuhan yang mampan untuk Kumpulan sambil terus menyediakan kereta terpakai berkualiti Sebaik Yang Baru kepada rakyat Malaysia. Saya teruja untuk mengukuhkan Carro sebagai sebuah jenama di negara ini.”
SYARIKAT induk myTukar iaitu Carro telah memperkenalkan proses pemeriksaan 160 poin mereka dan teknologi sokongan yang telah dipatenkan, di pusat baik pulih utama mereka di USJ.
Kemudahan berkeluasan 95,832 kaki persegi itu merupakan salah satu di antara banyak lagi pusat baik pulih dan bengkel Carro di Singapura, Malaysia, Indonesia yang akan dijenamakan semula kepada Carro Care dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Penjenamaan semula ini merupakan satu langkah kerjasama strategik bersama Jardine Cycle & Carriage bagi mengembangkan dan mempertingkatkan lagi perkhidmatan teknikal Carro dan myTukar.
Setiap kenderaan yang telah diperiksa dan dibaik pulih dengan teliti menerusi pemeriksaan 160 poin tersebut akan beri pengiktirafan Carro Certified dan myTukar Certified.
Selain pemeriksaan 160 poin tersebut, hanya kereta yang tidak mempunyai manipulasi meter perbatuan atau kerosakan serius akibat kemalangan, kebakaran dan banjir sahaja yang layak menerima pengiktirafan Carro dan myTukar Certified.
Pemeriksaan berkenaan merangkumi kerja cat dan badan yang diselia oleh pakar, pembaikan mekanikal (termasuk pada enjin, stereng, suspension, gear, brek dan tayar), pembaikan dalaman (termasuk pembaikan elektronik, baik pulih papan pemuka, jahitan kulit, dan pembaikan pelapik bumbung), dan pemeriksaan akhir serta pandu uji.
Apa yang menarik, pusat baik pulih myTukar menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menjalankan Kejuruteraan Akustik (Acoustic Engineering) dan Penglihatan Berkomputer (Computer Visioning).
Kedua-duanya merupakan teknologi inovatif dipatenkan yang menjadi standard piawaian Carro dan myTukar di seluruh rantau Asia Tenggara.
Teknologi Kejuruteraan Akustik ini ditempatkan dalam sebuah aplikasi dalaman yang mempunyai simpanan unik bunyi-bunyi enjin kereta daripada pelbagai jenama dan model yang digunakan untuk mengesan sebarang masalah enjin.
Sementara itu,Penglihatan Berkomputer dapat mengesan sebarang kesan lekuk, calar dan anomali sedia ada lain pada badan kereta, serta meningkatkan keupayaan dan kecekapan semua pakar dan pemeriksa.
Setakat ini, Carro mempunyai 14 pusat baik pulih dan bengkel di Asia Tenggara (yang akan dijenamakan semula kepada Carro Care secara berfasa) dengan kapasiti maksimum sebanyak 2,800 kereta yang boleh diservis dan dibaik pulih setiap bulan.