Arkib Tag: BYD Malaysia

Sime Motors sambut ulang tahun ke-45 dengan persembahan Orkestra Filharmonik Malaysia

Sime Motors meraikan sambutan ulang tahun ke-45 baru-baru ini dengan persembahan Orkestra Filharmonik Malaysia bersama-sama pihak berkepentingan.

Majlis makan gala tersebut mempersembahkan muzik bertaraf dunia di bawah arahan konduktor terkenal Gerald Salonga, dengan kehadiran pemain piano Liu Muyu dan penyanyi terkemuka Aina Abdul.

Persembahan mereka menghiburkan penonton dan memeriahkan lagi malam sambutan yang diadakan sebagai penghormatan kepada kepimpinan dan sumbangan 45 tahun Sime Motors kepada industri automotif Malaysia.

Selain itu, Sime Motors turut mengiktiraf rakan kongsi jenama yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan kejayaan syarikat.

Penghargaan tersebut disampaikan sendiri oleh Andrew Basham selaku Pengarah Urusan Sime Motors bersama Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors kepada wakil BMW Group Malaysia, BYD, Denza, Ford Malaysia, Hyundai Malaysia, Jaguar Land Rover, Porsche Malaysia dan Volvo Cars Malaysia.

Malaysia negara pertama terima kehadiran BYD Seal 6 2025, harga dari RM100k

BYD Malaysia baru sahaja melancarkan sebuah lagi model sedan elektrik untuk pasaran tempatan, iaitu BYD Seal 6 2025.

Dengan pelancaran ini, Malaysia merupakan pasaran antarabangsa pertama yang menerima kehadiran Seal 6 selepas China.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Platform

BYD Seal 6 dibina berdasarkan pelantar e-Platform 3.0 yang sama digunakan pada model Sealion 7.

Ia menampilkan tetapan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang, dan nisbah agihan berat badan 48:52 yang menyumbang kepada pengendalian yang lebih sporti.

Tidak cukup dengan itu, Seal 6 dilengkapi dengan tetapan topang MacPherson dibantu dengan sistem multi-link di belakang.

 

2. Dimensi

Seal 6 dikategorikan sebagai sebuah sedan segmen C, berukuran sepanjang 4,720 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,495 mm dan jarak antara roda 2,820 mm.

Kapasiti kargo pula adalah sebesar 525 liter, terdiri daripada 460 liter di bahagian belakang dan frunk sebesar 65 liter.

Tidak cukup dengan itu, terdapat sehingga 24 ruang storan tersedia di dalam ruang kabin sedan ini.

 

3. Luaran

Dari segi rekaan, Seal 6 membawakan penampilan yang lebih elegan berbanding Seal yang lebih sporti.

Antara kelengkapan yang diberikan termasuklah unit lampu LED, pemegang pintu separa tersembunyi, lampu belakang LED, serta rim bersaiz 17 hingga 18 inci.

Rekaan badan yang aerodinamik menyumbang kepada angka pekali seretan serendah 0.28 Cd.

 

4. Dalaman

Ruang kabin Seal 6 turut menerapkan elemen yang lebih ringkas dan minimalis berbanding Seal sedia ada.

Terdapat skrin kluster digital 8.8 inci, skrin tengah sebesar 12.8 inci, sokongan arahan suara dalam empat bahasa (Inggeris, Melayu, Mandarin, Kantonis), sistem pendingin hawa automatik, penapis udara kabin CN95 dan PM2.5.

Konsol tengah pula menempatkan slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 15W.

 

5. Varian

Untuk pasaran tempatan, terdapat dua varian utama, iaitu Seal 6 Dynamic dan Seal 6 Premium.

Seal 6 Dynamic (RM100,000)

  • 127 hp, 220 Nm
  • 0-100 km/j dalam 10.9 saat
  • Kelajuan tertinggi 160 km/j
  • Tempat duduk pemandu boleh laras enam tahap
  • Tempat duduk penumpang depan larasan manual
  • Sistem audio enam pembesar suara

Seal 6 Premium (RM115,800)

  • 215 hp, 330 Nm
  • 0-100 km/j dalam 7.5 saat
  • Kelajuan tertinggi 180 km/j
  • Tempat duduk pemandu boleh laras lapan tahap
  • Tempat duduk penumpang depan boleh laras empat tahap
  • Fungsi pengudaraan kerusi baris hadapan
  • Bumbung panorama
  • Sistem audio lapan pembesar suara

 

6. Pengecasan

BYD Seal 6 hadir dengan pek bateri 56.64 kWh, membolehkan jarak gerak sejauh 485 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).

Ia juga boleh menyokong pengecasan AC 7 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 100 kW.

Kedua-dua varian turut menyokong fungsi vehicle-to-load (V2L) sehingga 6 kW.

 

7. Keselamatan

Secara standard, Seal 6 dilengkapi dengan enam beg udara, sistem peringatan tali pinggang keledar, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), fungsi Auto Hold, sistem pemantauan keliling 360 darjah, serta bantuan mula mendaki.

Ciri keselamatan aktif pula termasuklah brek kecemasan automatik (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW), amaran keluar lorong (LDW) dan bantuan suluhan tinggi (AHB).

 

8. Promosi pelancaran

Sempena pelancaran Seal 6, BYD Malaysia menawarkan pakej jaminan seperti berikut:

  • Jaminan pengeluar enam tahun atau 150,000 km
  • Jaminan unit pacuan selama lapan tahun atau 160,000 km
  • Jaminan bateri bervoltan tinggi lapan tahun atau 160,000 km.

Selain itu, aksesori penyesuai V2L dan kabel pengecasan Type-2 turut ditawarkan secara percuma.

Pembeli varian Dynamic akan mendapat pakej pengecas dinding bernilai RM3,288, manakala pembeli varian Premium pula diberikan pilihan berikut:

  • Pengecas dinding percuma bernilai RM3,288 dan rebat eksklusif RM3,000, atau
  • Pakej pengecasan Sime Platinum 4+ selama 12 bulan bernilai RM5,000 dan rebat eksklusif RM1,000

BYD Malaysia lancar Seal yang dinaik taraf, umum program CKD di Tanjung Malim

BYD Sime Motors mengumumkan pelancaran model Seal 2025 yang dinaik taraf untuk pasaran tempatan.

Sedan elektrik Seal versi naik taraf ini ditawarkan dalam dua varian, iaitu varian Premium dan Performance.

Varian Premium didatangkan dengan motor elektrik pacuan belakang menghasilkan 313 PS dan 360 Nm, serta pek bateri 82.56 kWh untuk jarak pandu sejauh 650 km (data NEDC).

Sementara varian Performance pula mendapat tetapan dua motor elektrik menghasilkan output 530 PS/670 Nm, membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat.

Pek bateri berkapasiti serupa membenarkan jarak pandu sejauh 580 km.

Secara standard, BYD Seal dilengkapi tetapan suspensi jenis double wishbone di depan, dibantu dengan multi-link di belakang.

Untuk varian Premium, ia menampilkan penyerap hentak Frequency Selective Damping (FSD) untuk keseimbangan kawalan dan keselesaan, sementara varian Performance pula mendapat sistem kawalan pintar DiSus-C.

Kedua-dua varian mendapat rim aloi rekaan baharu saiz 19 inci, diikuti dengan akses tanpa kunci, tirai bumbung suria berkuasa elektrik, dan pemegang kaca mata hitam.

Sementara varian Performance pula mendapat angkup brek berwarna merah untuk penampilan yang lebih sporti.

Untuk pasaran Malaysia, BYD Seal 2025 ini ditawarkan dalam pilihan warna Aurora White, Atlantis Grey, Cosmos Black dan warna baharu Shark Grey.

Harga jualan bermula dari RM171,800 untuk varian Premium, dan RM191,800 untuk varian Performance.

300 orang pemilik terawal BYD Seal akan mendapat pakej promosi bernilai RM10,888 merangkumi pengecas dinding percuma, pakej servis dan rebat khas.

 

Pengumuman program CKD dan pelancaran pusat 3S terbesar

Dalam acara yang sama, BYD Malaysia mengumumkan program CKD serta perancangan untuk mendirikan kilang pemasangan baharu di Tanjung Malim.

Fasiliti seluas 600,000 meter persegi itu akan mula beroperasi pada tahun 2026.

Menurut Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik berkata, “Malaysia telah menjadi salah satu pasaran terpenting BYD di Asia Tenggara.

“Dengan sokongan kuat daripada Sime Motors, kami yakin untuk mengukuhkan kedudukan kami di Malaysia dan membawa bersama teknologi EV bertaraf dunia untuk pelanggan tempatan.

BYD Sime Motors turut merasmikan pembukaan pusat 3S BYD Balakong yang dikendalikan oleh Wing Hin Ventures Sdn Bhd.

Dengan pembukaan pusat 3S ini, BYD Malaysia kini mempunyai sebanyak 36 outlet di seluruh Malaysia.

Pusat 3S BYD yang terbesar di Malaysia ini mempunyai keluasan sekitar 3,360 meter persegi dengan dua tingkat untuk ruang pameran, 10 ruang servis, dan 1,514 meter persegi yang dikhususkan untuk perkhidmatan selepas jualan.

Kapal pengangkut BYD tiba di Pelabuhan Klang, kapasiti 7,000 unit

Sebuah kapal pengangkut BYD Zhengzhou tiba di Pelabuhan Klang pada 5 Ogos yang lepas.

Kapal roll-on/roll-off (RORO) tersebut mempunyai kapasiti sehingga 7,000 unit kenderaan, dan telah memulakan pelayaran sulungnya menuju ke destinasi di Asia Tenggara seperti Filipina, Indonesia dan Singapura.

Selepas Pelabuhan Klang, kapal tersebut meneruskan perjalanan ke hentian terakhir di Thailand sebelum kembali semula ke China.

BYD Zhengzhou merupakan kapal ketujuh dalam armada kapal pengangkut khas milik BYD, membuktikan keupayaan rantaian bekalan dan logistik syarikat yang kukuh dalam usaha memenuhi permintaan terhadap EV yang semakin meningkat.

Kenderaan yang siap dipasang akan dipandu masuk dan keluar dari kapal, menawarkan manfaat dari segi masa dan kos berbanding penghantaran menggunakan kontena secara tradisional.

Dengan mengendalikan armada penghantarannya sendiri, BYD mempunyai kawalan yang lebih besar terhadap aspek penting dalam rantaian bekalan EV.

Menurut Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia berkata, “kapal pengangkut ini memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi global BYD dan mengukuhkan lagi hubungan kami dengan Malaysia, yang kamilihat sebagai pasaran utama bagi pertumbuhan kami di Asia Pasifik.

“BYD Zhengzhou membolehkan penghantaran yang lebih pantas dan boleh dipercayai terus kepada pelanggan kami di sini.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors bagi Asia Tenggara berkata, “Dengan pengkukuhan rantaian bekalan serantau melalui kapal pengangkut BYD, kami dapat menjamin masa penghantaran yang lebih singkat, sekaligus mempertingkatkan keupayaan kami untuk memberikan kepuasan pelanggan yang lebih baik.”

BYD Malaysia dan Sime Motors terus memperkukuh kerjasama mereka untuk menyediakan EV kepada rakyat Malaysia dengan lebih pantas dan boleh dipercayai.

Inisiatif ini disokong oleh lebih 35 pusat jualan BYD di seluruh negara, dengan sasaran untuk mencapai 60 pusat jualan menjelang akhir tahun 2026.

BYD Atto 2 2025 kini di Malaysia – harga dari RM100,000

Ucapkan selamat datang kepada ahli keluarga EV BYD serba baharu, iaitu BYD Atto 2 2025 yang baru sahaja dilancarkan untuk pasaran Malaysia.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Dimensi

Secara standard, Atto 2 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,310 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,675 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,620 mm.

Jika dibandingkan dengan Dolphin, Atto 2 jauh lebih besar dimensinya namun jarak antara roda 80 mm lebih pendek.

Berbanding Atto 3, Atto 2 lebih pendek 145 mm dengan jarak antara roda 100 mm lebih pendek, namun sedikit tinggi (+60 mm).

 

2. Kuasa

Atto 2 dipacu oleh motor elektrik tunggal pacuan roda hadapan berkuasa 174 hp dan 290 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.9 saat.

 

3. Jarak gerak

Dengan pek bateri berkapasiti 51.13 kWh, Atto 2 boleh bergerak sejauh 410 km untuk sekali cas penuh (data NEDC)

Ia menyokong pengecasan AC 7 kW serta pengecasan pantas DC 82 kW membolehkan pengecasan 30-80 peratus dalam tempoh 30 minit.

 

4. Kelengkapan

Untuk bahagian luaran, Atto 2 mendapat kelengkapan seperti unit lampu LED depan dan belakang, rim sebesar 17 inci, bampar depan sporti, spoiler bumbung belakang dan pilihan warna dua tona sebagai opsyen.

Masuk ke dalam ruang kabin, terdapat skrin kluster digital 8.8 inci, skrin tengah boleh berputar 12.8 inci, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta tempat duduk hadapan berventilasi yang boleh dilaras.

Ruang kargo boleh mencapai kapasiti sehingga 1,320 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Ciri keselamatan pula termasuklah enam beg udara, sistem pemantauan keliling 360 darjah, serta kelengkapan sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS).

 

5. Harga

Untuk pasaran Malaysia, BYD Atto 2 ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Ski White, Breeze Green dan Harbour Grey. Harga pula bermula dari RM100,000.

Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama enam tahun atau had perbatuan 160,000 km, jaminan bateri bervoltan tinggi hingga tahun ke-8 atau had perbatuan 160,000 km, serta jaminan unit pacuan hingga tahun ke-8 atau had perbatuan sehingga 150,000 km.

Untuk 800 orang pelanggan pertama, BYD Malaysia menawarkan pakej pemilikan mudah bernilai RM13,500 berupa ansuran bulanan RM0 untuk enam bulan pertama menerusi pakej pembiayaan Bank Panel Sime Motors.

Selain itu, terdapat pilihan pakej pengecasan seperti berikut:

– pengecas dinding percuma untuk penghuni rumah bertanah
– Sime Platinum 4+ oleh Power Up untuk penghuni kediaman bertingkat merangkumi program langganan 12 bulan, 4x pengecasan mudah alih setiap bulan, 2x cucian kereta setiap bulan, serta 2x perkhidmatan tunda percuma setahun.

800 unit Denza D9 dijual dalam tempoh seminggu

BYD Malaysia mengumumkan bahawa ia berjaya menjual 800 unit Denza D9 dalam tempoh seminggu sahaja selepas pelancarannya.

D9 dilancarkan ke pasaran tempatan pada 20 Februari lalu pada harga RM259,000 untuk varian Advanced FWD dan RM309,000 untuk Premium AWD.

Ia didatangkan dengan waranti sehingga lapan tahun/160,000 km untuk bateri (SOH melebihi 70%) serta waranti sehingga lapan tahun/150,000 km untuk motor pacuan dan pengawal motornya. Waranti kenderaan sehingga 6 tahun/150,000 km turut disertakan.

Varian Advanced FWD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 308 hp dan 360 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.

Dengan dua motor elektrik, Premium AWD pula mempunyai 369 hp dan 470 Nm yang menyaksikan masa pecutan 0-100 km/j dikurangkan kepada 6.9 saat sahaja.

Kedua-dua varian menggunakan bateri Blade LFP berkapasiti 103 kWj, dengan jarak gerak NEDC sehingga 600 km bagi Advanced FWD dan 580 km bagi Premium AWD.

BYD Sealion 7 2025, dua varian, jarak gerak cecah 567 km, dari RM184k

Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi BYD di Malaysia melancarkan sebuah lagi kenderaan elektrik, BYD Sealion 7 2025.

Boleh didapati dalam dua varian utama, BYD Sealion 7 dijual pada harga bermula dari RM183,800 untuk varian Premium, dan bermula dari RM199,800 untuk varian Performance.

BYD Sealion 7 Premium didatangkan dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang (RWD), berkuasa 308 hp/380 Nm dan menawarkan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 6.7 saat.

Sementara varian Performance pula dibekalkan dengan motor elektrik berkembar pacuan semua roda (AWD), berkuasa 523 hp/690 Nm, dan pecutan 0-100 km/j sepantas 4.5 saat.

Kedua-dua hadir dengan pek bateri berkapasiti 82.56 kWh, di mana jarak gerak untuk varian Premium adalah sejauh 567 km, atau sehingga 542 km untuk varian Performance.

Sealion 7 menyokong pengecasan AC 11 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 150 kW dimana bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam masa 32 minit sahaja.

Secara standard, Sealion 7 datang dengan rim aloi bersaiz 19 inci, sementara versi AWD pula mendapat rim bersaiz 20 inci serta angkup brek berwarna merah.

Kelengkapan ruang kabin pula termasuklah skrin kluster digital 10.25 inci, skrin tengah 15.6 inci dengan orientasi boleh ubah, skrin paparan head-up realiti terimbuh 50 inci, tempat duduk balutan kulit, kawalan iklim dua zon dan sistem penapisan udara PM2.5.

Selain itu, Sealion 7 turut menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pengecasan peranti pintar nirwayar 50W, serta tidak ketinggalan sistem bunyi Dynaudio dengan 12 pembesar suara.

Kedua-dua varian turut didatangkan standard dengan kelengkapan keselamatan termasuklah sembilan beg udara, penderia parkir depan dan belakang, kamera 360 darjah, serta fungsi ADAS yang merangkumi ciri seperti kawalan jelajah adaptif, brek kecemasan automatik, amaran lintasan trafik depan dan belakang, bantuan suluhan tinggi serta amaran tumpuan pemandu.

Dari segi praktikaliti, Sealion 7 menawarkan ruang kargo sebesar 500 liter, atau sehingga 1,769 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Tidak ketinggalan ruang kargo hadapan (frunk) sebesar 58 liter.

Terdapat empat pilihan warna termasuklah Cosmos Black, Aurora White, Atlantis Grey dan Shark Grey.

BYD Malaysia menawarkan pakej tempahan awal (sah sebelum 17 November) melayakkan pelanggan untuk mendapatkan pengecas rumah dan kredit pengecasan RM800 secara percuma, di mana mereka perlu mendaftarkan kenderaan mereka sebelum 31 Disember 2024.

Sime Darby Auto Imports dilantik sebagai pengimport Denza, BYD Malaysia jadi pengedar

Denza, sub-jenama premium di bawah naungan BYD, akan memasuki pasaran Malaysia menerusi Sime Darby Auto Imports sebagai pengimport rasmi dan BYD Malaysia yang menggalas tanggungjawab sebagai pengedar rasmi.

Satu majlis tandatangan perjanjian pengimportan dan pengedaran Denza telah diadakan semalam antara BYD Auto Industry dan kedua-dua syarikat berkenaan.

Perjanjian ini menandakan perjalanan baharu dan memperkukuh hubungan antara BYD dan Sime Darby sebagai satu kumpulan, mengembangkan kerjasama dengan Sime Darby sebagai pengimport rasmi.

Ia juga akan menjadi langkah pertama Denza untuk memasuki Malaysia, di mana jenama itu akan membawa dimensi baharu ke pasaran EV tempatan dengan teknologi, ciri serta pengalaman pemanduan yang premium.

Menerusi Denza, BYD mensasarkan untuk menyediakan pengalaman EV yang lebih meluas, inovatif dan premium kepada rakyat Malaysia.

Liu Xueliang, Pengarah Urusan Bahagian Jualan Auto Asia-Pasifik BYD berkata pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan Sime Darby Auto Imports untuk membawa Denza ke pasaran Malaysia, menandakan pencapaian penting BYD dalam usahanya untuk memperkembangkan penawaran EV di Asia Tenggara.

“Sebagai peneraju inovasi, kami bangga dapat membawa teknologi EV canggih kami ke Malaysia di mana permintaan untuk mobiliti mampan terus berkembang.

“Dengan Denza, kami boleh menawarkan pelanggan kami pengalaman yang lebih baik menerusi teknologi dan ciri premium di dalam industri EV. Kami percaya Denza akan mentakrifkan semula pengalaman premium EV dan menetapkan penanda aras baharu untuk pemandu Malaysia,” katanya.

Dennis Ho, Pengarah Urusan Pemasangan dan Perniagaan Strategik Sime Darby Motor menambah, “Kami komited untuk memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pertumbuhan kenderaan elektrik di Malaysia dan kami percaya membawa masuk Denza akan menjadi sebahagian besar daripada perjalanan ini,” katanya.

Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia pula berkata jenama itu komited dalam meningkatkan lanskap EV di Malaysia.

“Misi BYD sentiasa untuk menjadikan kenderaan elektrik mudah diakses oleh lebih ramai orang, dan dengan pengenalan Denza, kami menawarkan pemandu Malaysia pilihan premium yang merangkumi kemewahan dan kemampanan. Penerimaan pantas EV di Malaysia adalah bukti kemajuan negara dalam menerima masa depan yang lebih bersih dan hijau,” jelas beliau.

BYD Seal dapat sambutan, lebih 1,300 tempahan diterima dalam 4 hari

SIME Darby Motors (SDM) mengumumkan ia menerima lebih 1,300 tempahan untuk BYD Seal dalam tempoh empat hari selepas pelancaran.

Atas permintaan yang menggalakkan, SDM mengumumkan lanjutan kempen tempahan awalnya sehingga 3 Mac 2024.

Menerusi kempen ini, pelanggan yang membuat tempahan untuk Seal menerusi laman web atau di bilik pameran BYD di seluruh negara sebelum 3 Mac akan mendapat pengecas kediaman dan kredit pengecasan Gentari/ChargEV bernilai RM800 secara percuma.

Seal ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium dan Performance, dengan harga masing-masing bermula dari RM179,800 dan RM199,800.

Sebagai perbandingan, pesaing terdekatnya iaitu Tesla Model 3 dijual pada harga RM189,000 untuk Standard Range Rear Wheel Drive dan RM218,000 untuk Long Range All-Wheel Drive.

Seal versi Premium didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menghasilkan 313 PS dan 360 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.9 saat.

Sementara itu, versi Performance mempunyai konfigurasi motor elektrik berkembar yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 530 PS dan 670 Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.8 saat untuk mencapai 100 km/j.

Kedua-dua varian menggunakan bateri LFP Blade berkapasiti 82.56 kWh namun dengan jarak pandu yang berbeza iaitu 650 km untuk Premium dan 580 km untuk Performance.

Seal didatangkan dengan waranti kenderaan selama enam tahun/150,000 km, waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km dan waranti unit pacuan selama lapan tahun/150,000 km.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, Asia Tenggara, SDM berkata, “Maklum balas daripada rakyat Malaysia jelas menunjukkan kesediaan mereka untuk menerima kenderaan elektrik (EV) daripada BYD.”

BYD buka outlet baharu di Kuching dan Alor Setar

PENGELUAR kenderaan elektrik BYD terus memperkukuhkan kehadirannya di negara ini dengan pembukaan dua lagi outlet baharu, kali ini di Kuching dan Alor Setar.

Di Kuching, BYD telah melancarkan sebuah bilik pameran mall-concept dengan kerjasama pengedar rasmi BYD di Malaysia iaitu Sime Darby Motors dan Regas EV Auto Sdn Bhd selaku pengedar tempatan.

Terletak di tingkat bawah City One Megamall, bilik pameran berkeluasan 3,000 kaki persegi itu beroperasi sebagai pusat 1S (jualan) dengan mempamerkan model-model terbaru BYD. Ia dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam.

Pelanggan yang ingin mendapatkan sokongan selepas jualan boleh mengunjungi pusat servis BYD yang terletak di No.8  Jalan Tun Jugah. Dilengkapi dengan dua ruang servis, ia dibuka dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang pada Isnin hingga Jumaat, dan 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari pada Sabtu.

Sementara itu, outlet baharu yang dibuka di Alor Setar merupakan sebuah pusat 3S yang menawarkan perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti.

Dioperasikan oleh Hong Thai Motor Trading Sdn Bhd, ia dilengkapi dengan lima ruang servis dengan tiga pegawai perkhidmatan pelanggan bertauliah untuk menawarkan kemudahan kepada pemilik BYD di kawasan sekitar.

BYD Alor Setar beralamat di No 222, Lot 89, Phase II, Perusahaan Mergong, Jalan Gangsa, Kawasan Perusahaan Mergong Ii, 05150 Alor Setar, Kedah.

Bilik pamerannya dibuka setiap hari dari 8.30 pagi hingga 6.30 petang, manakala pusat servis dibuka dari 8.00 pagi hingga 5.30 petang pada Isnin hingga Sabut.