Arkib Tag: BYD Flash Charging

BYD perkenal sistem pengecasan FLASH bersepadu, gabung tenaga solar dan robotik

BYD memperkenalkan sistem pengecasan bersepadu pertama dunia di gurun Abu Dhabi.

Sistem ini menggabungkan tenaga solar, penyimpanan tenaga, pengecasan pantas FLASH Charging dan teknologi pengecasan robotik.

Teknologi tersebut menyatukan tenaga boleh diperbaharui dengan pengecasan ultra pantas.

Ia turut menggunakan automasi kenderaan untuk menawarkan pengalaman pengecasan yang lebih mudah dan pintar.

FLASH Charging: 10-70 peratus dalam lima minit

Teknologi FLASH Charging BYD menawarkan masa pengecasan yang hampir menyamai tempoh mengisi bahan api kenderaan konvensional.

Sistem ini boleh mengecas bateri kenderaan daripada 10 hingga 70 peratus dalam masa lima minit.

Pengecasan daripada 10 hingga 97 peratus pula mengambil masa sembilan minit.

Kini, BYD menggabungkan FLASH Charging dengan penjanaan tenaga solar, penyimpanan tenaga dan pengecasan robotik.

Gabungan ini bukan sekadar meningkatkan kelajuan pengecasan. Ia turut mengubah cara tenaga dijana, disimpan dan disalurkan kepada kenderaan elektrik (EV).

Sistem SSC gabungkan tenaga solar dan pengecasan

BYD Solar mempunyai pengalaman lebih 16 tahun dalam industri solar. Portfolio BYD Solar merangkumi sel solar, modul dan sistem solar.

Syarikat itu kini menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di lebih 100 negara dan wilayah.

Pemasangan di Abu Dhabi menggunakan sistem Solar-Storage-Charging (SSC) BYD yang menggabungkan penjanaan tenaga solar, penyimpanan bateri dan FLASH Charging.

Teknologi tersebut membolehkan tenaga solar dikumpulkan dan disimpan dan boleh digunakan untuk mengecas kenderaan apabila diperlukan.

Sistem SSC juga boleh beroperasi tanpa bergantung kepada grid elektrik dan dicapai melalui gabungan penjanaan tenaga solar dan penyimpanan bateri.

Ia mengurangkan kebergantungan kepada infrastruktur bekalan elektrik sedia ada.

Pada masa sama, sistem ini boleh digunakan di lokasi yang mempunyai akses grid terhad.

Pemasangan di gurun Abu Dhabi turut menunjukkan keupayaan sistem dalam persekitaran cahaya matahari terik selain suhu tinggi dan taburan hujan yang rendah.

Pengecasan robotik digabungkan dengan Automated Valet Parking

Sistem ini turut dilengkapi lengan robotik yang menguruskan sambungan pengecasan kenderaan secara automatik.

Lengan tersebut boleh mengesan kedudukan port pengecasan, membuka penutupnya dan memasukkan penyambung pengecas.

Teknologi panduan visual dan maklum balas daya (force feedback) memastikan kedudukan penyambung yang tepat.

BYD turut menggabungkan pengecasan robotik dengan teknologi Automated Valet Parking.

Gabungan ini membolehkan automasi diperluaskan daripada proses pemanduan dan parkir kepada pengecasan.

Pemandu hanya perlu keluar dari kenderaan dan menguncinya. Kenderaan kemudian bergerak sendiri ke ruang pengecasan yang ditetapkan.

Selepas kenderaan diparkir, lengan robotik akan menyambungkan pengecas secara automatik dan pemandu tidak perlu mengendalikan kabel pengecas sendiri.

Teknologi ini menjadikan keseluruhan proses lebih mudah dan lancar. Ia juga berguna ketika cuaca luar terlalu panas atau pemandu sedang tergesa-gesa.

BYD sasar 6,000 stesen FLASH Charging menjelang 2027

Pemasangan di Abu Dhabi merupakan sebahagian daripada perancangan pengembangan rangkaian FLASH Charging BYD.

Syarikat itu menyasarkan pembinaan 6,000 stesen FLASH Charging di seluruh dunia menjelang akhir 2027.

Pengembangan ini turut melibatkan integrasi pengecasan dengan penyimpanan tenaga, tenaga boleh diperbaharui dan automasi pintar.

Gabungan teknologi tersebut akan menyokong pembangunan ekosistem pengecasan yang lebih fleksibel.

BYD dan Gentari teroka FLASH Charging di Malaysia

Di Malaysia, BYD sebelum ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Gentari di ibu pejabat BYD di Shenzhen, China.

Kedua-dua pihak akan meneroka peluang membangunkan infrastruktur BYD FLASH Charging di Malaysia.

Pelaksanaan awal akan memberi tumpuan kepada bilik pameran Denza terpilih.

BYD dan Gentari juga akan meneroka lokasi serta infrastruktur bersesuaian, termasuk stesen Petronas dan laluan antara bandar utama.

Kedua-dua pihak turut mengkaji peluang memperkenalkan FLASH Charging di kawasan rehat dan rawat (R&R) lebuh raya terpilih.

Inisiatif ini akan memberikan lebih banyak pilihan pengecasan kepada pemilik EV, khususnya ketika melakukan perjalanan jarak jauh.

BYD Flash Charging bakal hadir di Malaysia, DENZA Z9GT tambah warna Fjord Green

BYD Malaysia merancang untuk memperkenalkan teknologi pengecasan ultra pantas BYD Flash Charging di Malaysia dengan pelaksanaan awal tertumpu kepada bilik pameran DENZA terpilih.

Susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), BYD Malaysia dan Gentari akan meneroka lokasi serta keperluan infrastruktur sokongan, termasuk di stesen PETRONAS dan laluan utama antara bandar.

Pemasangan di R&R lebuh raya terpilih turut akan diteroka apabila rangkaian semakin berkembang.

Cas 10–70% dalam lima minit

Antara model yang menyokong teknologi ini ialah DENZA Z9GT, yang dilengkapi Bateri Blade Generasi Kedua berkapasiti 122.49 kWh dan seni bina 1,000 V.

Menurut BYD, model tersebut boleh dicas:

  • 10–70% dalam lima minit.
  • 10–97% dalam sembilan minit.

Model BYD sedia ada juga boleh menggunakan infrastruktur berkenaan, namun kelajuan pengecasan bergantung pada keupayaan setiap kenderaan.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, pihaknya sedang berusaha memperkenalkan BYD Flash Charging dalam masa terdekat. Tarikh operasi dan senarai lokasi awal belum diumumkan.

DENZA Z9GT kini dengan warna Fjord Green

DENZA Malaysia turut memperkenalkan warna baharu Fjord Green untuk Z9GT, melengkapkan pilihan Rime Gold dan Obsidian Black.

Warna baharu ini boleh dilihat di semua bilik pameran DENZA di Malaysia, dengan pilihan dalaman Perg Beige, Red Velvet atau hitam dengan tempat duduk suede dan jahitan kuning.

Berharga RM358,800, Z9GT dibina berasaskan Platform e3 dengan kuasa 1,156 PS dan pecutan 0–100 km/j dalam 2.7 saat. Ia turut dilengkapi fungsi Compass Turn dan Crab Walk.

Sejak dilancarkan, sebanyak lebih 100 unit DENZA Z9GT telah diserahkan kepada pemilik masing-masing di Malaysia.

Gentari dan BYD Malaysia jalin kerjasama teroka pembangunan Flash Charging di Malaysia

Gentari dan BYD Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan infrastruktur pengecasan EV berkuasa tinggi di Malaysia.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gentari, Sushil Purohit dan Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma.

Teknologi pengecasan ultra pantas

Kerjasama itu merangkumi teknologi BYD Flash Charging serta sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) untuk menyokong pengecasan lebih pantas dan mudah.

Dengan pengecasan sepantas lima minit, BYD Flash Charging boleh menambah jarak pemanduan kira-kira 400 km.

Kedua-dua pihak akan mengenal pasti lokasi sesuai, termasuk laluan utama antara bandar, selain menilai keperluan bekalan kuasa, BESS serta aspek teknikal, komersial dan operasi sebelum pelaksanaan lebih meluas.

Kerjasama tersebut turut membuka ruang penerokaan dalam penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan penyimpanan tenaga.

Sasar 30 ribu lokasi pengecasan

Malaysia merekodkan 53,537 pendaftaran EV baharu dalam sembilan bulan pertama 2026, meningkat 98.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kerajaan turut menyasarkan 30,000 lokasi pengecasan EV awam menjelang 2030.

Gentari kini mengendalikan lebih 600 lokasi pengecasan EV di Malaysia, selain menyediakan akses kepada kira-kira 18,000 lokasi di Malaysia, Singapura, Thailand dan India melalui Gentari Go Roaming Hub.

 

Flash Charging: pengecasan ultra pantas milik BYD, ini 5 perkara yang perlu anda tahu

Berita baik! BYD Malaysia bakal membawakan teknologi pengecasan ultra pantasnya, iaitu Flash Charging ke pasaran tempatan pada masa akan datang.

Pelaksanaan awal akan lebih tertumpu kepada pemasangan kemudahan tersebut di bilik pameran dan pusat servis terpilih, sebelum diperluaskan ke lokasi strategik untuk kegunaan awam.

Malaysia dijangka akan menjadi antara yang terawal di Asia Tenggara yang menerima teknologi pengecasan ultra pantas ini.

Pengecasan megawatt

Flash Charging ini mampu menyalurkan kuasa pengecasan sehingga 1,500 kW atau 1.5 megawatt.

Ia beroperasi menggunakan senibina elektrik 1,000V bersama arus pengecasan 1,000 ampere untuk mencapai kadar pengecasan 10C.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem storan tenaga bersepadu (BESS) untuk memastikan aliran tenaga yang lebih stabil tanpa membebankan sistem grid setempat.

Tiga angka ajaib

Berbanding teknologi pengecasan sedia ada, BYD menjanjikan tiga angka ‘ajaib’, iaitu 5, 9 dan 12.

Apa maknanya?

  • 5 – pengecasan 5 minit dari 10-70% State of Charging (SoC)
  • 9 – pengecasan 9 minit dari 10-97% SoC
  • 12 – pengecasan 12 minit dari 20-97% SoC dalam suhu sejuk ekstrem (-30°C)

Disebabkan julat suhu operasi yang agak besar, sistem Flash Charging ini mampu mengekalkan prestasi kepantasan pengecasan secara konsisten tanpa perlu membuatkan pemilik menunggu dengan lebih lama.

Kemudahan mesra pengguna

Flash Charging mudah untuk dikenali berdasarkan ciri berikut:

  • rekaan tiang berbentuk T
  • kabel pengecasan sejukan cecair yang tergantung atas kepala
  • nozel pengecasan 2 kg graviti sifar yang lebih kompak saiznya

Konfigurasi di atas membolehkan operasi pengecasan dilakukan dengan mudah tanpa perlu pemandu mengalihkan kedudukan kenderaan.

Serasi dengan bateri Blade generasi kedua

Pengecasan ultra pantas terbaharu ini serasi dengan sistem bateri Blade generasi kedua yang baru diperkenalkan oleh BYD.

Disamping menyokong pengecasan pantas, BYD turut meningkatkan kadar ketumpatan tenaga sebanyak 5% berbanding bateri generasi pertama.

Blade Battery 2.0 ini tersedia untuk beberapa model termasuklah daripada subjenama YangWang dan Denza, dengan jarak pemanduan mencecah 1,036 km.

Sasar 20,000 stesen menjelang akhir 2026

BYD merancang untuk mendirikan 20,000 stesen pengecasan Flash Charging ini di seluruh China menjelang akhir 2026.

Ia juga bakal diperluaskan ke peringkat global dan bakal muncul di pasaran Malaysia secara berperingkat.