Arkib Tag: BYD Atto 3

Proton e.MAS 7 vs BYD Atto 3: Yang mana satu pilihan hati?

Minggu lalu, Proton telah pun selesai melancarkan SUV elektrik pertama jenama itu, Proton e.MAS 7 2025 dengan pakej harga dan rupa paras yang cukup mencuri tumpuan.

Terdapat dua varian yang diumumkan, iaitu Prime dan juga Premium, namun dalam artikel ini kami akan memfokuskan kepada varian Premium yang mempunyai kelengkapan yang jauh lebih baik.

Sekiranya anda berdepan dengan persimpangan untuk memilih antara e.MAS 7 dan sebuah lagi SUV elektrik popular BYD Atto 3 Extended Range, boleh cuba baca perbandingan yang kami buat di bawah ini:

 

1. Dimensi

Dari segi saiz, Proton e.MAS 7 memiliki ukuran dimensi yang lebih besar, dengan panjang 4,615 mm kali lebar 1,901 mm kali tinggi 1,670 mm, berbanding BYD Atto 3 (4,455 x 1,875 x 1,615 mm).

Jarak antara roda e.MAS 7 juga 30 mm lebih panjang (2,750 mm) berbanding Atto 3 (2,720 mm), menyumbang kepada ruang kabin yang lebih lapang.

Selain itu, e.MAS 7 juga mempunyai kelebihan ruang kargo yang lebih besar, iaitu 461 liter sementara Atto 3 pula sekitar 440 liter sahaja.

 

2. Kuasa

Kedua-dua SUV ini dibekalkan dengan motor elektrik tunggal secara standard.

Namun, hamburan kuasa agak berbeza, di mana e.MAS 7 mampu menjana kuasa setinggi 215 hp dan daya kilas 320 Nm, berbanding Atto 3 berkuasa 201 hp dan 310 Nm.

Perbezaan itu menjadikan prestasi pecutan e.MAS 7 lebih pantas (6.9 saat) berbanding Atto 3 (7.3 saat).

 

3. Jarak pandu

BYD Atto 3 yang telah dikemaskini beberapa bulan lepas didatangkan dengan pek bateri LFP berkapasiti 60.48 kWh, menawarkan jarak gerak sejauh 420 km.

Pengecasan DC dipertingkatkan kepada 88 kW, membolehkan bateri dicas 10-80 peratus dalam tempoh 40 minit.

Bagi e.MAS 7, ia menawarkan jarak pandu 410 km, terima kasih kepada pek bateri berkapasiti 60.22 kWh.

Namun, dengan pengecasan pantas DC sehingga 100 kW, pek bateri e.MAS 7 boleh dicas 30-80 peratus dalam tempoh 20 minit sahaja.

 

4. Luaran

Untuk bahagian luar, kedua-dua SUV ini dilengkapi dengan unit pencahayaan projektor LED, lampu belakang LED, serta cermin sisi yang dilengkapi dengan lampu indikasi membelok.

Tatkala Atto 3 hanya datang dengan rim bersaiz 18 inci dibaluti tayar Continental EcoContact 6, e.MAS 7 pula hadir dengan rim 19 inci dibaluti getah Goodyear Efficient Grip Performance SUV.

Dari segi estetika, Proton e.MAS 7 nyata ada kelebihan yang tersendiri, dimana rekaannya lebih malar segar berbanding Atto 3 yang sudah berusia dua tahun sejak diperkenalkan di pasaran global.

Namun, kecantikan sesebuah model itu tertakluk kepada pandangan mata masing-masing.

 

5. Kabin

Tidak banyak perubahan dibawakan pada susun atur papan pemuka Atto 3, melainkan skrin infohibur tengah kini bersaiz 15.6 inci yang boleh diubah orientasinya, diikuti skrin kluster lima inci, sistem audio sembilan pembesar suara serta kemasan warna dua tona.

Satu kelebihan yang wujud pada Atto 3 ialah sokongan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Proton e.MAS 7 pula membawakan susun atur yang lebih minimalis, namun dengan skrin kluster sebesar 10.2 inci, skrin tengah 15.4 inci, sistem audio enam pembesar suara serta fungsi ventilasi pada tempat duduk hadapan.

Terdapat persamaan kelengkapan antara kedua-dua model ini, seperti contoh sistem pendingin hawa zon tunggal, bumbung kaca panorama, tempat duduk belakang boleh lipat dengan nisbah 60:40, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, slot pengecasan jenis USB, dan kamera keliling 360 darjah.

 

6. Keselamatan

Kedua-dua Proton e.MAS 7 dan BYD Atto 3 mempunyai sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi fungsi penting seperti brek kecemasan autonomi (AEB), kawalan jelajah adaptif (ACC) dengan fungsi berhenti & mula, bantuan pengekalan tengah lorong (LCA), sistem pemantauan titik buta (BSD), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran pelanggaran dan peringatan tali pinggang keledar.

Tatkala e.MAS 7 hanya dilengkapi dengan enam beg udara, BYD Atto 3 menawarkan sehingga tujuh beg udara secara standard.

 

7. Harga

Proton e.MAS 7 dijual pada harga bermula dari RM123,800 manakala BYD Atto 3 Extended Range pula berharga dari RM149,800.

BYD Atto 3 didatangkan dengan jaminan kenderaan selama enam tahun/150,000 km, jaminan bateri bervoltan tinggi sehingga lapan tahun/160,000 km, serta jaminan unit pacuan selama lapan tahun atau 150,000 km.

Sementara Proton e.MAS 7 pula hadir dengan jaminan pengeluar selama enam tahun tanpa had perbatuan, serta jaminan untuk komponen bateri bervoltan tinggi sehingga lapan tahun atau had perbatuan 160,000 km.

Yang mana satu lebih berbaloi? Terpulang kepada tuan empunya diri untuk menilai.

BYD Atto 3 dikemas kini untuk 2024 – Logo belakang baharu, RM149,800

BYD Atto 3 boleh dikatakan sebuah model elektrik (EV) yang masih baharu dalam pasaran. Tetapi Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi telah memperkenalkan BYD Atto 3 2024 yang dikemas kini.

Antara pembaharuan bagi Atto 3 ini adalah dari segi rupa luarannya. SUV EV ini mendapat grafik hitam baharu pada tiang-D, dan logo BYD di belakang yang menggantikan tulisan “BUILD YOUR DREAMS” sebelum ini.

Kemudian, bahagian kabinnya boleh dipilih dengan dua tema warna iaitu Black-Dark Blue atau Dark Blue-Light Grey, mengikut selera anda. Terdapat juga tambahan warna badan Cosmos Black baharu, selain warna sedia ada.

Untuk aspek teknologi pula, BYD Atto 3 2024 dilengkapi pengecas tanpa-wayar dan skrin lebih besar 15.6-inci (sebelum ini 12.8-inci) yang masih boleh diputar. Sambungan Android Auto dan Apple Carplay masih ditawarkan seperti biasa.

Tiada perubahan untuk sistem janaan kuasa. Bermakna Atto 3 masih dipacu motor elektrik di depan dengan output 201hp dan 310Nm, cukup untuk pecutan 0-100km/j dalam 7.9 saat.

Motor elektrik ini mendapat kuasanya dari bateri LFP (lithiup iron phosphate) yang memberikannya jarak pemanduan 345km (kitaran WLTP).

BYD Atto 3 menyokong pengecasan AC 7kW dan DC sehingga 70kW, selain fungsi V2L.

EV ini ditawarkan hanya dalam satu varian untuk 2024, dengan harga RM149,800. Anda juga boleh memilih tiga pakej jaminan antara 6-tahun/150,000km hingga 8-tahun/150,000km.

Wanita guna BYD Atto 3 hidupkan mesin dialisis anak ketika gangguan bekalan elektrik

SEORANG wanita Australia mendakwa BYD Atto 3 miliknya telah membantunya menyelamatkan nyawa anaknya dalam satu kejadian banjir kilat pada Krismas lalu.

Menurut Kristy Holmes, gangguan bekalan elektrik yang diakibatkan oleh banjir itu menyebabkan mesin dialisis yang digunakan anak lelakinya Levi, 11 tahun, tidak dapat dihidupkan.

Menyedari kejadian itu boleh mengancam nyawa anaknya, Holmes menyambungkan mesin dialisis itu ke Atto 3 dan menggunakan kuasa elektrik dari bateri kereta itu untuk menghidupkan mesin tersebut.

Atto 3 dilengkapi dengan ciri Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan pengguna menyambungkan perkakasan elektrik kepada kereta.

Secara ringkasnya, ia adalah ciri pengecasan dua hala yang menjadikan Atto 3 sebagai sebuah powerbank atau penjana beroda yang sangat berguna ketika melakukan aktiviti riadah atau dalam situasi kecemasan.

Bercakap kepada The Guardian, Holmes berkata anaknya mungkin berhadapan dengan situasi mengancam nyawa jika tidak kerana ciri V2L yang terdapat pada keretanya.

“Ia adalah kereta paling menakjubkan yang pernah saya miliki. Sekarang ia dah dapat selamatkan anak saya semasa ribut, saya rasa saya tak akan balik ke kereta petrol lagi,” katanya.

Selain Atto 3, satu lagi EV jenama BYD iaitu Dolphin turut didatangkan standard dengan V2L. Model-model EV lain yang mempunyai ciri ini termasuk Kia Niro EV, Kia EV6, Hyundai Ioniq 5 dan Hyundai Ioniq 6.