Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) Sdn Bhd mengumumkan ketibaan produk tayar premium baharu Turanza 6 yang direka untuk segmen kenderaan penumpang.
Menurut Michael Chung, Pengarah Urusan Bridgestone Malaysia berkata, “tayar mercu baharu ini menggandingkan prestasi luar biasa dengan fokus kepada kemampanan, mempamerkan dedikasi Bridgestone terhadap keselamatan, inovasi dan tanggungjawab alam sekitar dalam segmen tayar premium.”
Turanza 6 menawarkan teknologi ENLITEN™ yang mengutamakan kesenyapan, keselesaan dan cengkaman di laluan yang basah sebagai kunci utama penambahbaikan daripada tayar Turanza T005A sedia ada.
Menurut Bridgestone, Turanza 6 mampu mengurangkan kebisingan sebanyak 8 peratus serta keselesaan meningkat 8 peratus untuk pemanduan yang lebih senyap dan selesa.
Prestasi cengkaman di jalan basah juga meningkat 14 peratus, menyumbang kepada keyakinan pengendalian dalam keadaan yang mencabar.
Selain kereta konvensional, tayar Turanza 6 ini juga sesuai untuk kebanyakan kereta elektrik (EV).
Ciri rintangan golekan tayar yang rendah ini mampu memanjangkan hayat bateri dan mengurangkan kadar kebimbangan jarak di kalangan pemilik EV.
Dalam masa yang sama, ia juga lebih tahan terhadap beban dan daya kilas EV yang rata-ratanya jauh lebih tinggi berbanding kereta konvensional.
Sesuai dengan tema kelestarian, Bridgestone mengurangkan penggunaan bahan mentah baharu dalam binaan Turanza 6, sekaligus menurunkan kadar penghasilan CO2 semasa peringkat bahan mentah.
Dengan rintangan golekan yang lebih rendah mengurangkan penggunaan tenaga sewaktu memandu menyumbang kepada pengurangan emisi CO2 sebanyak 13 peratus untuk setiap kilometer.
Produk tayar Bridgestone Turanza 6 ini sudah berada di pasaran sejak 1 Ogos 2025, dengan pilihan saiz bermula dari 14 hingga 21 inci.
Bermula 1 hingga 31 Ogos 2025, pelanggan yang membuat pembelian empat tayar Turanza 6 dalam satu resit akan menerima hadiah edisi terhad bantal selimut 2-dalam-1 (tertakluk kepada stok).
Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.bridgestonetyre.com.my
