Arkib Tag: BMW

BMW X5 xDrive50e M Sport buat kemunculan di Malaysia, harga anggaran RM530k

BMW Malaysia hari ini mempertontonkan BMW X5 generasi keempat versi facelift, yang akan ditawarkan dalam varian xDrive50e M Sport sebagai model pemasangan tempatan (CKD).

Dari segi penampilan, Sports Activity Vehicle (SAV) kini tampil lebih segak dengan lampu hadapan yang lebih langsing sebanyak 35 mm berbanding sebelum ini, serta signatur lampu nyalaan siang LED baharu. Turut disertakan adalah kit badan M Sport dan rim aloi M berukuran 21 inci.

Di dalam, terdapat BMW Curved Display 14.9 inci yang dikuasakan oleh BMW Operating System 8.5, BMW Live Cockpit Professional, iDrive Controller, Light Bar dengan struktur permukaan berhablur dan sistem audio Harman Kardon.

Konsol tengah X5 pula menampilan susun atur baharu, butang fungsi sentuh tambahan serta rocker switch untuk penukaran gear. Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk BMW Comfort Access, Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Professional.

Seperti varian xDrive45e sebelum ini, X5 xDrive50e masih dikuasakan oleh enjin 3.0-liter enam silinder sebaris yang digandingkan motor elektrik namun trenkuasa hibrid plug-in itu kini menghasilkan 489 PS dan 700 Nm, iaitu 95 PS dan 100 Nm lebih tinggi.

Selain kuasa, jarak pandu elektrik turut meningkat kepada 110 km (kitaran WLTP) manakala pengecasan kini boleh menyokong kapasiti sehingga 7.4 kW, membolehkan kenderaan ini dicas dari 0 hingga 100 peratus dalam tempoh 4.5 jam.

X5 xDrive50e M Sport akan ditawarkan dalam empat warna luaran iaitu Black Sapphire, Manhattan, Mineral White dan Skyscraper Grey. Ruang dalamannya dihiasi dengan upholsteri kulit Merino yang boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Black dan Tartufo.

Harga jualan rasmi masih belum diumumkan namun menurut BMW Malaysia, anggaran harga model ini adalah sekitar RM530,000.

PDRM bakal terima 20 unit BMW R 1250 RT untuk iringi PM, TPM

Menerusi satu hantaran yang dikongsikan oleh laman Facebook Armorblaze, pihak Polis Diraja Malaysia nampaknya akan menerima 20 unit motosikal jenis BMW R 1250 RT baharu.

Menurut Armorblaze, motosikal-motosikal itu akan digunakan sebagai kenderaan pengiring Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Armorblaze merupakan sebuah pusat perincian (detailing) kenderaan dari Ampang yang ditanggungjawabkan untuk menghasilkan livery untuk projek tersebut.

Seperti yang boleh dilihat, kesemua unit R 1250 RT ini menampilkan tema warna biru-putih yang sinonim dengan PDRM serta set pelekat pemantul cahaya yang dihasilkan oleh pusat perincian tersebut.

Bukan itu sahaja, motosikal-motosikal ini juga kelihatan mempunyai lampu tambahan berwarna biru pada bahagian depan dan belakang.

R 1250 RT dikuasakan oleh enjin boxer dua silinder bersesaran 1,249 cc yang mampu menghasilkan 136 hp dan 143 Nm, membolehkan ia memecut melebihi kelajuan 200 km/j.

Antara ciri utama motosikal ini termasuklah sistem suspensi Telelever dan Paralever, sistem ABS Pro, Adaptive Cruise Control, Dynamic Traction Control, tiga mod tunggangan dan skrin TFT 10.25 inci.

Toyota jenama automotif paling bernilai 2023, Mercedes kedua, BMW potong Tesla

TOYOTA merangkul gelaran jenama automotif paling bernilai di dunia 2023, untuk tahun kedua berturut-turut. Perkara ini disiarkan dalam laporan oleh Interbrand’s Best Global Brands 2023.

Pengeluar Jepun itu menduduki tangga keenam dari keseluruhan 100 jenama global. Hanya tiga jenama berada dalam kedudukan 10 teratas, dua lagi adalah Mercedes-Benz dan BMW.

Di luar kedudukan 10 teratas, jenama automotif yang turut tersenarai adalah Tesla, Honda, Hyundai, Audi, Porsche, Volkswagen, Ford, Nissan, Ferrari, dan Kia. Secara keseluruhan, 13 jenama automotif masuk dalam senarai bagi 2023, menurun berbanding 15 jenama pada 2022.

Menurut Interbrand, setiap jenama dinilai dari tiga perkara utama: prestasi kewangan produk atau perkhidmatan, peranan dalam keputusan pembelian, serta kekuatan jenama untuk membuatkan pelanggan kekal dengannya.

Dengan nilai jenama USD64.5 bilion (RM301.4 bilion), Toyota kekal di tangga teratas bagi segmen automotif. Ini diikuti dengan Mercedes-Benz (USD61.4 bilion bersamaan RM286.92 bilion).

Sementara itu, nilai jenama BMW sebanyak USD51.2 bilion (RM239.26 bilion) cukup untuk menempatkannya di tangga ketiga, dan juga memotong Tesla dengan nilai USD49.9 bilion (RM233.18 bilion).

Honda kekal di tangga kelima, diikuti dengan Hyundai dan Audi. Porsche merupakan satu lagi jenama Jerman yang mencatatkan penambahbaikan dalam nilai jenama dengan memotong Volkswagen dan Ford untuk duduk di tempat kelapan.

Auto Bavaria perkenal pakej servis khas untuk BMW, MINI berstatus klasik

AUTO Bavaria muncul sebagai pengedar pertama di Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan khas untuk kenderaan BMW dan MINI yang telah mencapai status klasik.

Perkhidmatan berkenaan disediakan di pusat pengedar Auto Bavaria Ara Damansara bermula 26 November 2023, khusus untuk memenuhi keperluan peminat kereta klasik.

Menurut syarikat itu, inisiatif ini membuktikan komitmennya untuk meneruskan legasi kenderaan-kenderaan yang tidak lenyap ditelan zaman.

Kumpulan BMW mentakrifkan kereta klasik sebagai kenderaan yang telah melebihi umur 15 tahun dari tarikh siri pengeluaran terakhir model, yang lazimnya berlaku selepas kitaran hayat tujuh tahun model tersebut.

Auto Bavaria menyediakan perkhidmatan secara menyeluruh dengan dua ruang servis dan pasukan khas yang terdiri daripada dua juruteknik, seorang penyelia dan dua penasihat servis diperuntuk khusus untuk kereta klasik BMW dan MINI.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk penyenggaraan servis, pembaikan komponen, baik pulih dan penggantian.

Untuk menjamin ketulenan dan kualiti perkhidmatan, Auto Bavaria membeli alat dan aksesori terus daripada BMW Jerman. Jika alat khusus tersebut tidak lagi dikeluarkan, pusat pengedar ini akan mencari sumber alternatif terus daripada pembekal OEM sambil mengekalkan piawaian kualiti yang ketat.

Semua rekod servis akan dicatatkan dengan teliti di dalam buku servis kereta klasik BMW, memastikan sejarah lengkap penyenggaraan dan pembaikan semuanya disimpan di dalam sistem Auto Bavaria.

Bagi membuat temu janji, pelanggan boleh mendapatkan slot menerusi saluran servis biasa Auto Bavaria. Mereka yang berminat boleh menghubungi Perkhidmatan Pelanggan Auto Bavaria di 1300-13-3338 atau kunjungi cawangan Ara Damansara untuk pertanyaan lanjut.

BMW i5 eDrive40 buat kemunculan di Malaysia, bermula RM419,800

BMW i5 telah membuat penampilan sulung di Malaysia baru-baru ini di acara Premium Auto Care Expo (PACE) 2023 di Setia Alam. i5 boleh dikatakan sebagai 5-Series G60 versi hibrid, dan ia hadir dengan varian eDrive40 dengan harga bermula RM419,800.

Di bawah kulitnya, BMW i5 diberikan motor tunggal di gandar belakang, menjadikan ia sebuah jentera pacuan belakang sejati. Output bagi motor itu adalah 313hp dan 400Nm tork, dan boleh ditingkatkan menjadi 340hp dan 430Nm dalam Sport Boost/Launch Control. 0-100 boleh dicapai dalam 6 saat.

Kuasa dibekalkan oleh bateri 83.9kWh, memberikan i5 ini jarak pemanduan sehingga 582km. Jika anda hampir kehabisan bateri, ia boleh menggunakan mod Max Range untuk meningkatkan jarak sehingga 25 peratus tambahan melalui beberapa had kawalan.

Untuk pengecasan, menggunakan AC 11kW akan mengambil masa lapan jam 15 minit sehingga 100 peratus, tetapi dengan DC sehingga 205kW, 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam hanya 34 minit.

BMW i5 eDrive40 untuk pasaran Malaysia hadir dengan kit M Sport, bermakna ia tampil lebih sporti. Kit ini merangkumi bampar lebih sporti, kit sisi, rim 21-inci BMW Individual 954 dwi-tona, selain lampu LED, suspensi Adaptive Suspension Pro, dan Integral Active Steering iaitu sistem stereng empat-roda.

Ciri di dalam kabin pula termasuklah BMW Operating System 8.5, bumbung kaca panoramik, kamera di bumbung, dan paparan BMW Curved Display yang menempatkan skrin instrumen (12.3-inci) dan infotainmen (14.9-inci).

BMW i5 eDrive40 juga dilengkapi sistem audi Bowers & Wilkins Surround Sound System berkuasa 655W dengan 18 pembesar suara, selain balutan kulit Leather Merino berwarna Black/Copper Brown.

Sedan premium EV ini boleh didapati dengan warna Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Brooklyn Grey Metallic, dan Phytonic Blue Metallic. Harga RM419,800 hadir bersama jaminan dan pakej servis lima-tahun.

SEMA: Jaguar E-Type ini dikacuk dengan komponen Amerika dan Eropah

JAGUAR E-Type dikira antara kereta paling cantik pernah dibuat, sama seperti Mercedes 300SL Gullwing dan Lamborghini Miura.

Tetapi apa yang anda dapat lihat ini sudah tentu bukanlah versi biasa E-Type. Untuk pameran SEMA 2023, ia telah melalui transformasi yang boleh mencetuskan kontroversi.

Ini kerana Jaguar E-Type ini telah disumbat dengan enjin 2JZ-GTE Toyota Supra berserta pengecas turbo Borg Warner. Kuasa pula disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear manual 5-kelajuan ZF dari BMW M3 E36.

Projek ini dibina oleh DevSpeed Motorsports dan dipamerkan di ruang pameran Eneos, iaitu jenama minyak dan pembekal cecair enjin serta transmisi dari Jepun.

Jaguar E-Type unik ini juga mendapat brek depan dari Chevrolet Corvette C5 2003, sementara brek belakang dari BMW 5-Series E60 2010. Subframe dan differential belakang juga dari BMW E60 ini.

Rim pula adalah Rotiform 17-inci yang dibaluti tayar Bridgestone Potenza 225/45/R17 di depan dan 255/40/R17 di belakang.

Untuk memuatkan tayar-tayar yang gemuk ini, fender telah dikembangkan dan direka dengan pencetak 3D sebelum gentian karbon ditambah untuk menguatkan panel badan.

Banyak lagi komponen kacuk yang ada pada Jaguar Frankenstein seperti suspensi depan kustom, spring Silvers, sangkar guling DevSpeed, stereng OMP, tempat duduk Tillett dengan tali pinggang Schroth, dan kotak pedal OBP.

BMW X7 xDrive40i 2023 dikemas kini – CKD, pakej M Sport, dari RM719k

ANDA mencari sebuah SUV premium saiz besar untuk tujuh dewasa? Anda mungkin boleh tengok ini, BMW X7. Ia dikemaskini untuk 2023, dengan penambahan beberapa ciri.

BMW X7 hadir dalam varian xDrive40i M Sport untuk pasaran Malaysia, dan ia masih dipasang secara tempatan (CKD) di Kulim, Kedah.

Nadi kepada SUV premium besar ini adalah enjin 3.0-liter 6-silinder sebaris turbo petrol, dengan output 375hp dan 520Nm tork. Output ini boleh ditambah kepada 540Nm melalui boost, kerana ia disokong oleh sistem mild hybrid 48-volt dengan bekalan kuasa 12hp/200Nm.

Transmisi ialah automatik 8-kelajuan Steptronic Sport, dan kuasa disalurkan ke semua roda melalui sistem xDrive. Ini membolehkan X7 xDrive40i memecut ke 100km/j dalam masa 5.8 saat, hingga ke kelajuan maksima 245km/j.

Dari segi kelengkapan bahagian luar, BMW X7 2023 didatangkan dengan pakej M Sport yang memberikannya bampar agresif, selain lampu LED matriks, dan kemasan ekzos lebih besar. Rim aloi 913 M bersaiz 22-inci pelengkap kepada gaya mewah SUV ini.

Di dalam, X7 xDrive40i dilengkapi kemasan kayu Fineline Black dengan kesan logam berkilat, dipadankan dengan balutan kulit Merino dari BMW Individual. Skrin melengkung lebar mendominasi papan pemuka, yang terdiri dari paparan instrumen 12.3-inci dan infotainment bersaiz 14.9-inci.

Untuk menjadikan SUV besar ini sedap dipandu, ia dilengkapi suspensi udara, Executive Drive Pro dengan penstabil olengan aktif, dan sistem stereng roda belakang.

Ciri keselamatan juga dipertingkat, dimana ia kini mendapat Driving Assistant Professional yang merangkumi Active Cruise Control dengan fungsi stop and go serta bantuan stereng, dan Lane Control Assistant.

Terdapat juga barisan sistem keselamatan aktif lain seperti Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan bantuan brek, Rear Crossing Traffic Warning, Speed Limit Info, dan Reversing Assistant Professional.

BMW X7 xDrive40i M Sport boleh menjadi milik anda pada harga bermula RM718,800, ia hadir dengan jaminan dan pakej servis lima-tahun.

iX3 sebuah EV BMW ‘tradisional’ kerana ia RWD – Pandu uji

BMW merupakan antara pengeluar di Malaysia yang banyak menawarkan model elektrik (EV), antaranya i4, i7, iX1, iX3, dan iX. Kali ini, Engear diberi peluang oleh BMW Malaysia untuk meluangkan hujung minggu bersama iX3.

Ada satu rahsia, walaupun iX3 ialah model EV yang boleh dikatakan sebagai baharu, futuristik dan terkini, ia mempunyai sifat sebuah BMW tradisional. Kenapa? Kerana ianya sebuah jentera RWD sejati.

Ya, BMW M3 pun kini sudah pacuan semua-roda dengan sistem xDrive, tetapi iX3 sebuah SUV EV pula RWD. Memang dunia yang pelik kita hidup sekarang.

Konfigurasi RWD

BMW iX3 mempunyai konfigurasi RWD kerana ia dipacu motor elektrik tunggal yang dipasang di gandar belakang, dengan output 282hp dan 400Nm tork. Motor ini mendapat kuasanya dari bateri 73.8kWh yang mampu memberikan iX3 jarak pemanduan sehingga 453km.

 

Kami beriya-iya cakap mengenai RWD, apa yang penting sangat? Mungkin kebanyakan pemandu tidak kisah pun. Ia satu fakta menarik kerana apabila tayar depan tidak perlu menghantar kuasa dan hanya menggalas tugas membelok, ia akan menyebabkan stereng rasa begitu telus dan tepat.

Jadi adakah ia bermakna kereta ini laju? Tidak semestinya. Ini cuma bermakna iX3 mempunyai ‘feel’ atau rasa seperti kereta sports sejati; kuasa 100 peratus di tayar belakang, stereng 100 peratus oleh tayar depan. Bila kali terakhir anda pandu kereta sebegini?

Tetapi nak kata BMW iX3 ini perlahan, tidak juga. Prestasi masih mantap. Walaupun mempunyai berat 2,200kg, ia masih mampu memecut ke 100km/j dalam masa 6.8 saat, lebih pantas dari kebanyakan kereta. Cuma kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j ‘sahaja’, biasalah EV.

Tetapi memang benar, sepanjang penulis pandu BMW iX3 ini, pengendalian di selekoh cukup seimbang dan memuaskan. Beratnya tertumpu di tengah, stereng yang banyak maklum balas, dan tork 400Nm boleh diakses kebanyakan masa.

Pemanduan waktu malam ditemani dengan lampu BMW Laser Light yang bukan sahaja nampak canggih, tetapi memberikan penglihatan mantap untuk pemandu. Secara tidak langsung, ini juga menambahkan aspek keselamatan.

Mewah dan praktikal untuk kegunaan seharian

 

BMW iX3 yang kami pandu merupakan varian M Sport Impressive, jadi ia mendapat kemasan badan yang sporti walaupun terdapat klu EV dari elemen-elemen biru.

Elemen biru dapat dilihat pada gril bertutup, kemasukan udara di bampar depan, dan diffuser belakang. Tetapi elemen sporti mendominasi rekaan luar iX3 M Sport ini, seperti rim 20-inci, bampar sisi yang agresif, dan rekaan diffuser belakang yang menyerlah, selain spoiler bumbung.

Profil sisi BMW iX3 ini masih klasik SUV, dan mirip X3. Menunjukkan aspek kekeluargaannya dengan model-model lain. Harus diketahui juga lantai bawah iX3 ini hampir rata seperti kereta sports, dan ia berfungsi bersama diffuser belakang.

Cuma bahagian kabin secara keseluruhan terasa biasa dan tidak terlalu istimewa. Papan pemukanya menampilkan rekaan yang sudah kita kenali, tidaklah buruk, cuma mungkin agak berusia.

Walaubagaimanapun, jika anda rajin ‘mengorek’ ke dalam skrin tengahnya, terdapat banyak kandungan yang khas pada model elektrik. Antarnya adalah menu-menu agihan kuasa, mod regenerative, dan perancangan untuk mengecas.

Penulis cukup suka dengan sistem audio Harman Kardon 464 watt pada iX3 ini yang mampu membuatkan anda rajin memandu kereta ini kerana dapat memainkan lagu kegemaran dengan alunan cukup enak. Isteri suruh beli gula sepaket pun anda akan rajin memandu BMW iX3 ini walaupun jarak dekat.

Keluasan tiada masalah untuk iX3, cukup lapang dengan kelegaan kaki dan kepala yang lebih dari mencukupi untuk lima orang dewasa.

Data perjalanan

Baik, sekarang kita jangan lupa hakikat bahawa BMW iX3 ini sebuah EV, jadi macam mana prestasi dan praktikaliti penggunaan hariannya? Cukup 453km? Sebenarnya, jujur cakap, semasa kami dapat kereta ini, baterinya pada tahap 95 peratus dengan hanya 313km jarak pemanduan. Aduh! Macam mana tu?

Harus diketahui bacaan jarak kereta EV dikira berdasarkan cara pemanduan sebelumnya. Mungkin pemandu sebelum itu melenjan iX3 ini tidak ingat dunia, seronok dengan tork 400Nm yang dibekalkan.

Dari pengalaman penulis pula, walaupun jarak dipaparkan 313km, penulis dapat pandu lebih dari 350km dengan baki 25km semasa memulangkan iX3 ini. Bagaimana?

Penulis banyak memandu dalam bandar dengan kelajuan kurang 120km/j, banyak melakukan stop and go. Jadi berat kereta 2.2 tan itu memberikan momentum untuk sistem regenerative mengembalikan semula tenaga ke dalam bateri setiap kali penulis memperlahankan kereta.

Boleh dikatakan 90 peratus situasi pemanduan penulis tidak menekan pedal brek, cukup sekadar mengangkat kaki dari pedal ‘minyak’, dan iX3 menggunakan regen untuk berhenti, bukannya brek cakera.

Sistem regen padanya juga boleh dilaras pada beberapa tahap, mengikut keadaan dan kesesuaian. Dari pengalaman penulis, anda boleh gunakan regen maksima dalam bandar dan pemanduan perlahan, manakala regen minima untuk pemanduan lebih laju seperti di lebuh raya.

Jadi, penulis tidak sempat menghabiskan bateri sepanjang beberapa hari memandu iX3 di sekitar Kuala Lumpur, satu perkara yang bagus juga lah kan?

Tetapi untuk pengetahuan anda, iX3 akan memerlukan tujuh jam setengah untuk cas penuh jika menggunakan AC. Jika menggunakan pengecasan pantas DC, ia menyokong sehingga 150kW, bermakna 80 peratus bateri dapat dicapai dalam hanya 32 minit.

Boleh beli?

Pasaran EV di Malaysia sememangnya ‘dikacau’ oleh kehadiran Tesla yang menawarkan model dengan jarak pemanduan lebih 500km pada harga bawah RM200,000.

Jadi, bagaimana dengan BMW iX3? Varian M Sport Inspiring bermula pada RM307,160 manakala varian M Sport Impressive yang kami uji ini berharga RM328,160.

Pada pendapat penulis, peminat kereta sejati tidak kisah akan semua itu, terutamanya peminat BMW. iX3 sesuai untuk pemilik BMW yang mahu teknologi EV setelah mereka ada sebuah 5-Series atau X3 di rumah.

iX3 akan menjadi EV yang praktikal untuk kegunaan bandar, di samping mengekalkan imej sporti dan ‘petrolhead’. Malah, ia juga tidak terus nampak seperti sebuah EV sekali lihat, jika itu yang anda gemarkan.

@engear.tv 3 Rahsia Pasal SUV BMW iX3 #engeartv #rahsia #bmw #ix3 #bmwix3 #suv #tiktokmalaysia #malaysia #review #fyp #reels ♬ original sound – Engear TV

Spesifikasi BMW iX3 M Sport Impressive

Harga: RM328,160
Bateri: 73.8kWh
Kuasa: 282hp
Tork: 400Nm

BMX X1 generasi baharu kini di Malaysia – sDrive20i xLine, 204hp, RM239k

BMW X1 generasi baharu U11 kini dilancarkan di Malaysia, ditawarkan dalam satu varian petrol sDrive20i xLine, dengan harga RM238,900 atas jalan tanpa insurans.

Ini juga termasuk dengan jaminan dua-tahun, tetapi anda ada pilihan jaminan dan pakej servis tambahan lima-tahun, pada harga RM259,800.

X1 generasi ketiga ini juga dipasang secara tempatan (CKD) di fasiliti BMW di Kulim, Kedah, sama seperti generasi sebelumnya F48. Jadi, apa yang ada dalam pakej X1 2023 kali ini?

Pertamanya untuk dimensi, BMW X1 ini lebih besar secara keseluruhan berbanding model sebelumnya. Ia 53mm lebih panajng, 24mm lebih lebar, 44mm lebih tinggi, dan jarak roda bertambah 22mm.

X1 dipacu enjin petrol 2.0-liter 4-silinder turbo yang menghasilkan 204hp dan 300Nm tork, dan ia digandingkan dengan kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan Steptronic. Ini membolehkan ia memecut ke 100km/j dalam 7.6 saat, dengan kelajuan maksima 236km/j.

Dari segi penampilan, pakej xLine memberikan bampar lebih rugged berbanding M Sport yang biasanya sporti. Ia juga dilengkapi dengan gril kidney dihiasi Pearl Chrome serta kemasan luaran satin aluminium.

Ciri lain termasuklah lampu LED adaptif dengan bantuan lampu tinggi, rim aloi 19-inci Style 867, kluster instrument 10.25-inci, skrin infotainmen 10.7-inci, tempat duduk berkuasa, sistem penghawa dingin dwi-zon, paddle-shifters, dan My Modes.

BMW X1 juga mendapat BMW Operating System 8 dengan sambungan Android Auto dan Apple Carplay tanpa-wayar, serta servis ConnectedDrive. Teknologi lain pula terdiri dari pad pengecas tanpa-wayar, dan Comfort Access dengan Digital Key.

BMW X1 2023 boleh didapat dengan lima warna, iaitu Black Sapphire, Alpine White, Cape York Green, Phytonic Blue dan Space Silver. Semua warn aini dipadankan dengan balutan kulit sintetik Sensatec.

BMW R 1300 GS 2024 bawa banyak perubahan dan inovasi, enjin boxer lebih berkuasa

BMW telah mendedahkan motosikal yang ditunggu ramai, iaitu R 1300 GS 2024. Ia membawakan banyak teknologi dan inovasi untuk jentera adventure yang ikonik itu.

Pertamanya, casis R 1300 GS telah melalui transformasi dimana bingkai besi padanya telah berubah kepada aluminium ringan, tetapi masih kukuh. Ia juga mendapat komponen EVO Telelever di suspensi depan dan EVO Paralever di belakang untuk ketepatan dan kestabilan tunggangan.

Pemilik juga boleh memilih Dynamic Suspension Adjustment (DSA) yang mengawal penyerap hentak secara adaptif bagi keselesaan di pelbagai bentuk muka bumi. Sistem ini juga mengimbangi suspensi jika terdapat muatan yang dibawa.

Kawalan ketinggian juga dilaras secara adaptif, dan suspensinya adalah 20mm lebih tinggi, direka khas untuk GS. Terdapat empat mod tunggangan termasuklah mod Enduro baharu.

Nadi kepada BMW R 1300 GS 2024 ini ialah enjin boxer dua-silinder, kini lebih kompak dan berkuasa. Dengan sesaran 1,300cc, ia mampu menjana 145hp pada 7,750rpm dan 149Nm pada 6,500rpm.

Lampu bukan sahaja untuk menyuluh, tetapi juga memberikan identiti. Untuk GS 2024, BMW telah memberikan lampu Matrix LED sebagai standard dengan DRL berbetuk X unik. Jika anda pilih Headlight Pro, ia menambah ciri lampu isyarat diintegrasi pada pelindung tangan.

Ciri keselamatan pula termasuklah pilihan Riding Assistant merangkumi Active Cruise Control (ACC), Front Collision Warning (FCW), dan Lane Change Warning (LCW).

Pelbagai varian model ditawarkan untuk BMW GS kali ini, seperti Triple Black, GS Trophy, dan Option 719 Tramuntana. Setiap satunya dengan kombinasi warna dan gaya tersendiri.

Ada yang teruja untuk motosikal ini tiba ke pasaran Malaysia?

BMW Group Malaysia jual lebih 1,600 unit EV dalam tempoh 8 bulan

BMW Group Malaysia mengumumkan pencapaian mereka sebagai pembekal kenderaan elektrik (EV) premium nombor satu di Malaysia dengan penyerahan kenderaan EV jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad melebihi 1,600 unit dalam tempoh lapan bulan.

Menurut syarikat itu, angka tersebut melangkaui 1,557 unit jualan EV BMW dan MINI yang dicapai pada keseluruhan tahun 2022.

Pencapaian itu mencerminkan komitmen BMW Group Malaysia ke atas “Sheer Electric Driving Pleasure” serta memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai pengeluar kenderaan premium nombor satu di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Dalam sebuah era yang berada di ambang transformasi, kami teruja untuk mengetuai usaha anjakan elektrifikasi di Malaysia – dibantu dengan dukungan daripada para pelanggan, wakil pengedar, dan rakan-rakan kongsi kami.”

Tambah de Visser lagi, pencapaian itu juga mengiktiraf kedudukan BMW Group Malaysia dalam segmen EV premium dan seluruh ekosistem EV di negara ini.

Dalam usahanya untuk memacu peralihan kepada mobiliti elektrik, BMW Group Malaysia meluaskan lagi usaha sama strategik dengan Gentari melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Gentari Green Mobility Sdn Bhd, bagi memudahkan dan meluaskan akses kepada pengecasan EV.

Kedua-dua organisasi ini kini memberi nafas kepada Charge Go, sebuah perkhidmatan pengecasan EV mudah alih yang dapat membekalkan kemudahan pengecasan pantas DC pada bila-bila masa, di mana-mana jua.

Bagi meraikan pencapaiannya, BMW Group Malaysia turut berkerjasama dengan ChargEV di samping JomCharge dan Gentari untuk menawarkan pakej-pakej pengecasan tanpa had kepada pemilik EV BMW dan MINI.

Bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2023, 200 pemilik EV BMW dan MINI terawal yang membuat pendaftaran berpeluang membeli pakej-pakej berkenaan pada harga RM2,400 dan RM1,800 daripada mana-mana pembekal solusi pengecasan tersebut.

Pakej ini menawarkan pengecasan tanpa had di semua fasiliti ChargEV atau JomCharge dan Gentari di seluruh negara selama 12 bulan setelah diaktifkan dan hanya boleh digunakan bagi kenderaan elektrik yang didaftarkan.

BMW iX5 Hydrogen selesai jalan ujian cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu

UNTUK emisi sifar, BMW percaya ada beberapa cara lain lagi selain elektrik (EV), salah satunya adalah dengan tenaga hidrogen.

BMW iX5 Hydrogen merupakan sebuah platform untuk cara ini, dan baru-baru ini beberapa unit SUV itu telah selesai ujian cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu (EAB).

Walaupun berdepan dengan suhu sehingga 45-darjah Celsius serta mengharungi pasir, debu, dan pelbagai permukaan jalan, SUV hidrogen ini tetap cemerlang dan lulus.

Dari sistem bahan api sel, motor elektrik, hingga tangki hidrogen, segala perkakasan berfungsi dengan cara sepatutnya di samping pasukan pembangun terbang dari Munich untuk menjalankan analisis.

Timur Tengah bukan satu-satunya lokasi ujian BMW iX5, kerana terdapat sekumpulan prorotaip sedang diuji di Jepun, China, Korea Selatan, Eropah, dan Amerika Syarikat.

Sebenarnya, belum ada perancangan untuk menjual SUV ini, tetapi pihak atasan BMW ada menyebut untuk menawarkan model hidrogen sebelum penghujung dekad ini (2030).

Untuk spesifikasi, BMW iX5 Hydrogen mempunyai output keseluruhan sebanyak 401hp (295kW) dan menampilkan dua tangki CFRP yang mampu menampung kira-kira 6kg.

Ini memberikan iX5 Hydrogen jarak pemanduan sehingga 504km (menurut kitaran WLTP), iaitu serupa dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman. Hanya tiga hingga lima minit masa diperlukan untuk mengisi tangki hidrogen, juga sama dengan mengisi petrol pada kereta biasa.

Walaupun menekankan bab kecekapan, BMW menyebut bahawa iX5 tidaklah perlahan juga. Ia mampu memecut ke 100km/j dalam masa kurang enam saat. Ia juga dilengkapi mod Sport yang akan mengeraskan suspensi dan memberikan kuasa penuh.

Peluang tipis untuk anda menjumpai iX5 ini di jalan raya kerana kurang dari 100 unit sahaja dihasilkan. Kesemuanya dikeluarkan di kilang Spartanburg iaitu di fasiliti pemasangan BMW X5 biasa tetapi perubahan teknikal lain dibuat di Munich.

BMW M 1000 RR kini dengan M Competition Package – RM289,500

BMW Motorrad Malaysia telah melancarkan BMW M 1000 RR dengan M Competition Package, kira-kira dua tahun selepas jentera itu diperkenalkan buat pertama kali di negara ini.

Dengan penambahan M Competition Package, M 1000 RR bukan sahaja tampil lebih agresif dengan komponen-komponen aerodinamik baharu, malah bersifat lebih sporty dengan adanya pelbagai kelengkapan terkini.

M Competition Package merangkumi lengan ayun aluminium beranod yang lebih ringan (-220 g), sistem brek M, tuil klac, pelindung tuil brek, rantai M (M Endurance Chain) dan juga tempat letak kaki M.

Turut disertakan bersama pakej berkenaan adalah set roda M Carbon dan komponen-komponen karbon termasuk pelitup roda hadapan dan belakang, pelindung gegancu, pelitup sisi dan tangki.

Kuasa masih dibekalkan oleh enjin empat silinder sebaris bersesaran 999 cc yang dilengkapi dengan sistem penyejukan air dan teknologi BMW ShiftCam bagi kawalan aci sesondol berciri boleh ubah pada saluran masuk.

Kini dengan M Engine Protector, enjin berkenaan menghasilkan 212 hp pada 15,000 rpm dan 113 Nm pada 11,000 rpm. Menurut BMW, superbike ini boleh mencapai kelajuan maksimum 314 km/j.

Kelengkapan lain yang tersedia termasuk paparan TFT berukuran 6.5 inci yang dikuasakan oleh pengantara OBD bagi M GPS-Laptrigger serta pelindung tempat duduk penumpang (Passenger Carbon Cover) yang merupakan sebahagian daripada Passenger Package.

Jika ini tidak mencukupi, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai aksesori tambahan lain seperti penghadang angin (versi bertinta, gelembung atau gelembung bertinta), M Datalogger dan M Cover Kit.

Seperti sebelum ini, M 1000 RR boleh didapati dalam tiga kombinasi warna menarik iaitu Light White, Racing Blue Metallic dan Racing Red.

Harga jualan M 1000 RR dengan M Competition Package bermula dari RM289,500, iaitu RM40,000 lebih tinggi berbanding versi tanpa pakej tersebut yang dilancarkan pada 2021.

BMW 330i M Sport untuk mereka yang gemar memandu – Pandu Uji

SETIAP kali berbual tentang kereta jenis sport sedan, rasanya tiada model lain yang sering menjadi sebutan melainkan BMW 3 Series. Sudah tentu, orang akan bercakap tentang versi yang paling berkuasa dan yang paling popular iaitu M3 namun ketahuilah tidak semua mahu memandu kereta yang hardcore setiap hari.

Untuk golongan ini, varian pertengahan iaitu 330i M Sport adalah yang paling sesuai. Ia masih mempunyai sisi agresifnya tetapi pada masa yang sama, ia masih selesa untuk dijadikan sebagai kereta harian dan boleh juga digunakan untuk membawa seisi keluarga. Pendek kata, ia sebuah kereta all-rounder.

Model yang saya berpeluang pandu uji tempoh hari merupakan model facelift atau LCI (Life Cycle Impulse) dalam bahasa BMW. Dilancarkan ke pasaran Malaysia awal tahun ini, ia tampil dengan rekaan yang lebih segar dan kemas kini dari segi kelengkapan.

Untuk model ini, BMW tidak memberikan 3 Series ‘lubang hidung’ yang terlebih besar seperti M3 dan M4 namun jika diperhatikan dengan teliti, anda akan perasan yang bentuknya lain sedikit berbanding sebelum ini.

Selain itu, rekaan lampu hadapan telah diperkemaskan – ia bukan sahaja lebih tajam dan langsing, malah lekuk pada bahagian bawah juga telah dibuang. Untuk bampar, lampu kabus sudah tiada dan digantikan dengan trim berbentuk J berwarna hitam berkilat.

Dari sisi, tiada perubahan ketara melainkan penggunaan rim aloi lima jejari M Style 848 berukuran 18 inci, manakala di belakang, bahagian bampar didominasi oleh apron berwarna hitam yang menjadi perumah kepada paip ekzos berkembar.

Masuk ke dalam, perubahan paling besar terdapat pada papan pemuka iaitu paparan melengkung BMW Curved Display yang merangkumi kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci dan skrin sentuh sistem infohibur 14.9 inci.

Kedua-dua paparan menggunakan sistem operasi terkini iaitu BMW Operating System 8 yang memberikan kadar segar semula (refresh rate) yang pantas dan grafik yang menarik. Cuma, saya masih kurang berkenan dengan grafik pada kluster instrumen digital yang bagi saya agak berserabut.

Satu lagi perubahan adalah penggunaan suis penukar gear yang kecil molek bagi menggantikan tombol gear konvesional pada model pra-facelift. Tiada masalah pun cuma tombol gear tersebut lebih sedap digunakan berbanding suis baharu ini.

Dari segi kelengkapan, saya berpendapat 330i M Sport LCI mampu memenuhi keperluan pelanggannya. Antara ciri yang disertakan termasuk Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, paparan head-up, pengecas wayarles dan paddle shifter.

Di belakang, terdapat corong pendingin hawa dan dua port USB. Penumpang belakang tidak perlu gusar tentang keselesaan kerana tempat duduk tidak terlalu tegak dan menawarkan sokongan peha yang baik. Cuma, ruang kaki mungkin sedikit sempit untuk mereka yang tinggi.

Untuk sistem keselamatan pula, 330i M Sport didatangkan standard dengan pakej Driving Assistant yang merangkumi ciri-ciri seperti Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front & Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert, Speed Limit Info, Parking Assistant dengan Lateral Parking Aid.

Adaptive Cruise Control masih tidak ada namun tidak mengapa kerana saya rasakan kebanyakan daripada mereka yang membeli kereta ini lebih gemar menekan pedal pendikit sendiri daripada mengharapkan bantuan komputer.

Kenapa? Secara ringkasnya, 330i M Sport memang seronok dipandu. Penyumbang utama kepada keseronokan ini sudah tentulah enjinnya. Sama seperti model pra-facelift, 330i mempunyai ‘jantung’ 2.0-liter empat silinder turbo dengan 258 PS dan 400 Nm, serta transmisi Stepronic Sport lapan kelajuan.

Lupakan sebentar angka itu kerana kereta ini terasa seperti ia mempunyai kuasa yang lebih tinggi daripada yang dikatakan. Walaupun hanya dalam mod Comfort, gabungan enjin dan kotak gear tersebut memberikan prestasi yang sudah cukup untuk membuatkan bulu roma saya tegak berdiri kerana ia memecut bagai tiada hari esok.

Dalam mod Sport atau Sport Plus, karakter jentera ini bertukar menjadi lebih agresif dan secara jujurnya, sedikit menakutkan. Pedal pendikit lebih cepat bertindak balas terhadap input daripada kaki, manakala bunyi yang masuk ke dalam ruang kabin menjadi lebih jelas. Kereta ini seolah-olah menghasut saya untuk pergi lebih laju.

Namun apa yang betul-betul suka mengenai trenkuasa ini adalah sifatnya yang versatil. Ia cukup lancar untuk situasi pemanduan harian dan pada masa yang sama, ia juga cukup berkuasa serta boleh memuaskan nafsu serakah anda tanpa sebarang masalah.

Namun harus saya ingatkan bahawa kekuatan kereta ini tidak terletak pada kelajuan semata-mata. Satu  aspek yang telah menaikkan nama 3 Series sejak dahulu lagi adalah pengendalian.

Untuk pengetahuan anda, unit yang dipandu ini dilengkapi dengan sistem suspensi M Sport. Pada Mac 2023, BMW Malaysia telah mengemas kini model dengan sistem suspensi adaptif dengan harga tambahan sebanyak RM2,000.

Anda mungkin sedia maklum bahawa suspensi M Sport agak keras dan tidak boleh dilaras seperti sistem suspensi adaptif. Ini membuatkan ia agak kurang selesa untuk pemanduan harian di kawasan bandar namun di jalan-jalan berselekoh, suspensi ini memang cemerlang.

Ini kerana ia mampu mengurangkan olengan badan walaupun dipandu pada kelajuan yang agak tinggi. Digandingkan pula dengan stereng yang responsif, bahagian hadapan kereta ini boleh dihalakan ke arah yang dikehendaki dengan mudah dan tepat, dan ini secara tidak langsung membuatkan saya lebih yakin sama ada ketika masuk atau keluar dari selekoh.

Soal cengkaman juga tidak menjadi isu kerana tidak ada sekali pun sedan Jerman ini terasa seperti ia akan hilang keseimbangannya. Jelas sekali ini adalah kelebihan menggunakan tayar Michelin Pilot Sport 4 dalam saiz berbeza iaitu 225/45 di hadapan dan 255/40 di belakang.

Sebagai konklusi, saya boleh katakan yang 330i M Sport masih sebuah sport sedan yang sejati dengan reka bentuk yang maskulin dan trenkuasa yang mengujakan. Untuk mereka yang gemar memandu tetapi masih mahukan sedikit kemewahan, praktikaliti dan keselesaan, ini mungkin pilihan yang paling tepat.

Spesifikasi BMW 330i M Sport

Harga: RM317,800
Enjin: 2.0-liter empat silinder turbo
Kotak gear: Steptronic Sport lapan kelajuan
Kuasa: 258 PS @ 5,000 rpm
Tork: 400 Nm @ 1,550 rpm

MINI Electric Resolute Edition yang terpaling go-kart – Pandu uji

TANYA sesiapa sahaja yang memiliki atau pernah memandu kereta MINI, pasti akan berkata pengendaliannya seperti go-kart. Atau go-kart dengan bumbung, cermin, pendingin hawa, lampu, dan nombor plat.

Walaupun MINI sekarang tidak begitu ‘mini’ lagi, jika kita tengok model Countryman atau Clubman pun sudah agak besar, sama saiz dengan BMW X1, Mercedes GLA atau Proton X50 sebagai perbandingan. Kita tak panggil Proton X50 sebagai kereta yang ‘mini’ atau kompak, bukan?

Tetapi talaan suspensi, stereng, dan cara penghantaran kuasa dapat menjadikan MINI yang besar ini masih mempunyai pengendalian lincah.

Untuk hari ini, kita akan lihatkan MINI Electric dan kami ingin katakan, inilah MINI yang terpaling go-kart, terpaling, bak kata budak-budak muda sekarang. Mengapa? Jom.

Elektrik, pantas, lincah

Baik, jadi jika anda buka hud depan, tiada enjin, sebaliknya di bawah penutup plastik itu terdapat motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri 28.9kWh. Motor elektrik ini memberikan 181hp dan 270Nm tork, angka yang okey untuk hatchback seberat 1,440kg ini.

Menariknya, pecutan dan pemanduan MINI Electric ini terasa seperti ia lebih berkuasa, mungkin seperti kereta petrol dengan output 250hp dan 350Nm. Boleh dibandingkan seperti MINI atau BMW dengan enjin 2.0-liter 4-silinder turbo.

Memandangkan ini sebuah EV, kuasa dan tork maksima dapat diakses sebaik kereta mula bergerak. Tekan sahaja pedal selepas lampu isyarat bertukar hijau, anda terus dapat kuasa penuh.

Anda ingat lagi kereta Tamiya atau kereta kawalan radio (RC)? Tekan ON sahaja, terus motor berpusing laju, begitulah pecutan MINI Electric ini. Dipadankan dengan respon stereng yang laju dan tepat serta suspensi sporti, inilah MINI yang terpaling go-kart.

Malah, penulis terfikir go-kart hari ini pun sudah banyak beralih dari enjin dua-lejang dan empat-lejang kepada go-kart jenis elektrik untuk litar indoor (dalaman), jadi ini menjadikan kedua-dua jenis jentera (MINI Electric dan go-kart elektrik) lebih serupa.

MINI Electric juga tiada gear, jadi motor terus sahaja memecut dan ‘menarik’ kereta ini ke kelajuan maksima dalam satu pecutan terus-menerus, hingga ke kelajuan maksima 150km/j. Tak cukup laju? Bergantung.

Dalam kebanyakan keadaan, pemanduan dalam bandar, anda mungkin tidak akan memandu melebihi 130km/j pun. Yang penting berapa cepat untuk sampai ke kelajuan tiga angka. 100km/j boleh dicapai dalam 7.3 saat sahaja, lebih pantas dari kebanyakan sedan atau SUV segmen-B.

Talaan suspensi juga cukup seimbang, tidak terlalu keras yang anda jangkakan. Ia berada dalam ‘sweet spot’ antara sporti dan keselesaan. Semasa penulis bawa penumpang di tempat duduk belakang juga, mereka tidak merungut kata tidak selesa, sebaliknya sama seronok dan teruja dengan pemanduan EV ini.

Serius, anda pasti tidak lekang dengan senyuman bila pandu MINI Electric ini. Penulis juga rasakan MINI Electric antara kereta paling menyeronokkan penulis pandu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Anda juga akan dahagakan selekoh. Selepas pecut, anda mahu cari selekoh untuk brek menggunakan regenerative braking, masuk selekoh dengan tepat dan lancar, ‘pegang’ di situ, kemudian berdesup tekan semula pedal kanan sebaik jalan mulai melurus. Dan ulang lagi di selekoh seterusnya.

150km je, cukup?

Tetapi masalah terbesar MINI Electric ini ialah jarak pemanduannya. Jika dilihat pada risalah rasmi, ia mempunyai jarak 232km setiap cas penuh, menurut kitaran WLTP. Ya betul, 232km sahaja.

Dalam dunia sebenar, ia jauh lebih rendah dari ini. Semasa kami ambil kereta ini dengan bateri melebihi 95 peratus, jarak pemanduannya hanya sekitar 160km. Masa untuk panik?

Jangan panik dulu. Sebenarnya ia tidak seteruk yang disangkakan. Jika anda tidak tekan pedal ‘minyak’ lebih dari separuh sepanjang masa – yang sebenarnya cara pemanduan harian – anda boleh dapat lebih dari 160km.

Tetapi jika anda ‘nakal’ dan nak berseronok, sebenarnya motor elektrik MINI ini masih agak cekap. Jaraknya tidak turun terlalu mendadak, melainkan anda pandu di lebuhraya pada kelajuan melebihi 130km/j secara berterusan.

Meluncur pada 110-120km/j, jaraknya berkurang dengan kadar yang sama dengan pergerakan anda.

MINI Electric ini juga sentiasa menggunakan regenerative braking, dengan dua tetapan; kuat atau sederhana. Jadi ini juga membantu mengembalikan sedikit tenaga kinetik kembali ke bateri semasa anda memperlahankan kereta.

Dalam pemanduan bandar pasti berpuluh kali anda membrek dan memperlahankan kereta sama ada untuk melalui bonggol, masuk simpang, atau berhenti di lampu isyarat. Bila tenaga disalurkan dan dikumpul ke bateri, anda boleh guna semula semasa memecut nanti.

Inilah situasi paling ideal untuk MINI Electric; ke sana ke sini dalam bandar melakukan tugas harian. Sudah tentu paling bagus adalah bila anda mempunyai pengecas di rumah, balik petang terus cas beberapa jam hingga malam. Esoknya bateri penuh, dengan jarak 150-160km.

Kebanyakan kita tidak pandu melebihi 100km sehari, bukan?

Tak boleh dipandu jauh? Jujur kata, anda tak mahu cuba pandu ke luar negeri dengan MINI Electric ini. Ianya praktikal dan sempurna untuk pemanduan dalam bandar, tetapi lebih seronok dari kereta lain.

Boleh sahaja MINI sumbat bateri lebih besar pada kereta ini untuk berikan lebih jarak, tetapi ada faktor berat. Bila terlalu berat, kereta tidak akan seronok dipandu, defeat the purpose, bak kata orang putih.

Gaya mesti ada!

Sebagai sebuah MINI, gaya mesti ada! Ia masih mendapat bentuk ikonik hatchback British, bumbung putih untuk warna dwi-tona, lampu belakang LED dengan nyalaan grafik Union Jack, dan beberapa kemasan untuk menunjukkan ianya bukan MINI biasa.

Anda lihat rim empat-bilah, bentuk unik seperti soket elektrik pada penutup ‘tangki minyak’, dan warna kuning-hijau fluorescent pada tulisan-tulisan dan lencana sekeliling kereta, anda akan tahu ini sebuah MINI EV.

Dan dengan Resolute Edition, ia memberikan kemasan lebih unik pada kereta ini, seperti warna khas Resolute Bronze pada gril, lampu belakang, dan hendal pintu. Kemudian bingkai gril, logo dan lencana model pula berwarna hitam.

Paling penulis suka ialah tempat duduk dengan balutan fabrik/kulit Black Pearl Light Chequered, seperti tikar atau kain pelikat. Cukup cantik, trendy, dan sesuai dengan imej serta jiwa MINI ini. Kalau anda berusia 45 tahun, automatik terasa 10 tahun lebih muda dengan MINI Electric Resolute Edition ini.

Ciri lain adalah standard seperti kluster instrumen digital, sambungan Apple Carplay, pengecas tanpa-wayar, sistem audio Harman Kardon, dan paparan Head Up Display, kesemuanya anda dapat pada MINI lain yang terkini.

Secara keseluruhan, MINI Electric Resolute Edition ini sesuai untuk anda yang mencari kereta kedua atau ketiga dalam rumah.

Anda mahu sebuah EV untuk kegunaan harian, ada pengecas di rumah, dan mahukan sesuatu yang menyeronokkan untuk dipandu mengharungi trafik sesak atau selekoh lebuh raya DASH, ini kereta yang boleh dilihat. Paling penting, ia boleh menjadi sebahagian dari outfit anda sekiranya anda jenis yang mementingkan gaya.

Spesifikasi MINI Electric Resolute Edition

Harga: RM211,164
Bateri: 28.9kWh
Kuasa: 181hp
Tork: 250Nm

BMW X6 facelift 2023 tiba di Malaysia, kini dah hibrid, bermula RM720k

SELEPAS pelancaran global pada Februari lepas, BMW X6 facelift (LCI atau Life Cycle Impulse) kini di Malaysia. Kenderaan yang BMW gelarkan sebagai SAV (Sports Activity Coupe) itu ditawarkan dalam satu varian buat masa ini, iaitu X6 xDrive40i M Sport, dengan pengeras RM719,520.

Ia hadir dengan jaminan dua tahun, bantuan tepi jalan, dan BMW Service Online. Anda juga boleh tambah jaminan menjadi lima tahun bersama pakej servis, dan harganya meningkat sebanyak RM35,280, kepada RM754,800.

Apa yang baharu untuk X6 facelift ini? Pertamanya, ia mendapat lampu lebih nipis dengan DRL berbentuk baharu, bampar M Sport direka semula, dan ruang kemasukan udara lebih agresif.

Ciri standard termasuklah lampu LED dengan High Beam Assist, pakej M Sport, gril kidey Iconic Glow yang menyala, bumbung panoramik, dan rim m V-Spoke Style 747 bersaiz 22-inci.

Kabin X6 pula kini mendapat BMW Curved Display iaitu paparan memanjang melengkung sama seperti 3-Series LCI. Ia menempatkan skrin instrumen 12.3-inci dan infotainmen 14.9-inci, termasuk sistem Live Cockpit Professional System.

Enjin masih unit B58 3.0-liter enam silinder sebaris turbo, tetapi kini ia mendapat padanan sistem hibrid 48volt dengan motor elektrik berkuasa 12hp dan 200Nm.

Ini memberikan X6 xDrive40i output keseluruhan 375hp dan 540Nm. Dengan sistem pacuan semua-roda xDrive, X6 mampu mencapai 100km/j dalam hanya 5.4 saat, sebanyak 0.1 saat lebih pantas. Suspensi adaptif M dan brek M Sport juga standard, memastikan kawalan sentiasa optima.

Ciri lain termasuklah:

BMW Operating System 8
Connected Package Professional dengan Android Auto dan Apple CarPlay
ConnectedDrive Service
Remote Services
Pengecas tanpa-wayar
Lampu ambien
Comfort Access
BMW Digital Key
Sistem audio Harman Kardon
Kemasan kaca CraftedClarity
Balutan kulit BMW Individual Merino
Stereng kulit M
Driving Assistant Professional

BMW X6 facelift 2023 boleh didapati dalam tujuh warna iaitu M Carbon Black, Black Sapphire, Mineral White, Manhattan, M Brooklyn Grey, dan Skyscraper Grey. Warna kabin pula adalah Black atau Tartufo.

BMW M2 buat kemunculan di M4NTAP Festival – harga dari RM599k hingga RM643k

BMW M2 generasi G87 yang dilancarkan ke pasaran Malaysia pada Januari lalu telah membuat kemunculan sulungnya di acara M4NTAP Festival yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

Boleh didapati dalam versi standard atau bersama Pro Package, M2 tampil dengan lampu LED adaptif, gril kidney tidak berbingkai yang dihiasi bilah mendatar, salur masuk udara berbentuk seakan segi empat serta sayap aluminium pada bahagian hadapan.

Dari sisi, model ini memperlihatkan reka bentuk klasik three box yang diserlahkan lagi dengan gerbang roda yang lebar dan rim aloi 930 M Bicolour (atau 930 M Black untuk Pro Package) berukuran 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang.

Selain rim berwarna hitam, M2 dengan Pro Package juga mendapat sistem brek M Compound bersama angkup brek berwarna merah, bumbung karbon M, serta pakej Shadowline dan M Lights Shadowline.

Di dalam, anda akan menemui BMW Curved Display yang merangkumi paparan kawalan 14.9 inci dan panel instrumen digital 12.3 inci. Ia mempunyai paparan spesifik M yang memuatkan BMW M iDrive generasi terkini.

Selain itu, terdapat juga tempat duduk bucket M Sport, logo M yang bercahaya pada penyandar kepala tempat duduk hadapan, stereng M dengan balutan kulit, pedal penukar gear, butang mod M berwarna merah dan paparan head-up.

Eksklusif untuk M2 dengan Pro Package ialah tali pinggang keledar yang dihiasi dengan warna rasmi M dan trim gentian karbon pada papan pemuka dan konsol tengah, serta sistem audio Harman Kardon.

Untuk kuasa, enjin TwinPower Turbo 3.0 liter enam silinder sebaris membekalkan 460 PS dan 550 Nm, membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat. Kuasa dibekalkan ke roda belakang menerusi transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan.

Kelajuan maksimum adalah 250 km/j, namun pelanggan yang gilakan kelajuan boleh mendapatkan pakej M Driver’s Package yang akan meningkatkan kelajuan maksimum kepada 285 km/j. Pakej ini boleh dipasang di mana-mana wakil pengedar BMW di seluruh negara.

Pilihan warna luaran bagi M2 dan M2 Pro Package terdiri daripada Zandvoort Blue, Alpine White, Brooklyn Grey, Black Sapphire dan Toronto Red.

Untuk bahagian dalaman pula, pelanggan boleh mendapatkan Leather Vernasca berwarna hitam, Leather Vernasca hitam dengan sulaman biru atau Leather Vernasca berwarna cognac dengan sulaman dekor.

Harga jualan M2 bermula dari RM598,800 untuk versi standard dan RM642,800 dengan Pro Package.

BMW iX M60 kini di Malaysia – 0-100 km/j dalam 3.8s, harga RM630,800

SETELAH iX xDrive50 dilancarkan ke pasaran tempatan pada Januari lalu, kini BMW Malaysia memperkenalkan pula varian yang lebih berkuasa iaitu iX M60.

Merupakan model SAV elektrik yang sulung dalam portfolio BMW M, iX M60 dipacu oleh dua motor elektrik, satu diletakkan pada setiap gandar.

Setup ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 619 PS dan 1,015 Nm tork. Jika fungsi Launch Control diaktifkan, jumlah tork akan meningkat kepada 1,100 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Sebagai perbandingan, iX xDrive50 mempunyai 523 PS dan 765 Nm. Versi ini memerlukan 4.6 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Kelajuan maksimumnya lebih rendah iaitu 200 km/j.

iX M60 didatangkan dengan bateri litium-ion berkapasiti 105.2 kWj yang boleh memberikan jarak pandu sejauh 561 km, mengikut kitaran WLTP. Ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 195 kW yang membolehkan bateri dicas dari 0 hingga 80 peratus dalam hanya 35 minit.

Menurut BMW Malaysia, model ini merupakan jentera BMW pertama di negara ini yang dapat menerima suapan kuasa 22 kW daripada pengecas wallbox AC yang mampu mengurangkan waktu pengecasan 0-100 peratus kepada bawah 5.5 jam.

Untuk pengecasan AC 11 kW, pengecasan penuh dari 0 hingga 100 peratus mengambil masa kira-kira 11 jam.

Dari segi kelengkapan, iX M60 didatangkan dengan rim aerodinamik M BMW Individual berukuran 22 inci dalam warna dwi-tona 1023 dengan gilapan 3D gangsa titanium. Logo model ini pula didatangkan secara eksklusif dalam warna hitam berglos tinggi atau gangsa titanium.

Di dalam, terdapat sistem infohibur BMW Live Cockpit Professional yang merangkumi skrin melengkung 12.3 inci dan skrin tengah 14.9 inci, sistem audio Bower & Wilkins Diamond berkapasiti 1,615 watt dengan 30 pembesar suara dan sistem bunyi BMW M IconicSounds Electric yang digubah oleh Hans Zimmer.

Ruang kabin dihiasi dengan upholsteri Interior Design Suite Amido dan Interior Design Suite Castanea, serta material Sensatec pada konsol tengah dan ruang meletak tangan.

Turut disertakan adalah sistem penyaman udara automatik empat zon, pengecas tanpa wayar, serta ciri-ciri seperti Intelligent Emergency Call, Teleservices, ConnectedDrive Services, Connected Package Professional, BMW Natural Interaction dan Active Protection.

Untuk sistem bantuan pemandu, terdapat Driving Assistant Professional, Parking Assistant Professional dan ciri Launch Control baharu dengan fungsi pembrekan.

BMW i4 eDrive35 dilancarkan di Malaysia pada harga bermula dari RM258,210

BMW Malaysia telah mengumumkan ketibaan dua varian baharu BMW i4 iaitu eDrive35 dan eDrive35 M Sport yang dijual pada harga bermula dari RM258,210 hingga RM284,210.

Untuk makluman anda, harga-harga di atas merupakan harga on-the-road tanpa insurans dengan waranti standard selama dua tahun. Jika pelanggan memilih waranti dan pakej servis lanjutan, mereka perlu membayar RM273,800 untuk eDrive35 dan RM299,800 untuk versi M Sport.

Seperti varian eDrive40, i4 eDrive35 mempunyai motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Dalam versi ini, motor elektrik tersebut menjana 286 PS dan 400 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya enam saat.

Untuk jarak pemanduan, bateri litium-ion berkapasiti 70.2 kWj membolehkan sedan elektrik ini dipandu sejauh 483 km dengan satu cas penuh, berdasarkan kitaran WLTP. Ia boleh dicas menerusi pengecasan AC sehingga 11 kW dan pengecasan pantas DC pada kadar sehingga 180 kW.

Pemilik akan mempunyai akses kepada lebih 1,000 kemudahan pengecasan di seluruh negara yang disediakan oleh penyedia pengecasan EV tempatan utama yang bekerjasama dengan BMW Group Malaysia.

Dari segi kelengkapan, i4 eDrive35 didatangkan dengan lampu LED serta gril kidney yang dihiasi dengan bilah-bilah yang disusun secara mendatar. Versi asas menggunakan rim 18 inci 853 Bicolour manakala versi M Sport pula mendapat rim aerodinamik M berukuran 18 inci dengan kemasan 858 M Bicolour.

Di dalam, terdapat paparan melengkung BMW Curved Display yang merangkumi kluster instrumen berukuran 12.3 inci dan skrin sentuh sistem infohibur 14.9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk sistem pendingin hawa automatik tiga zon, sistem Comfort Access, pelarasan elektrik dengan fungsi memori untuk kerusi pemandu, pencahayaan ambien, tailgate elektrik dan pengecas wayarles.

eDrive35 M Sport mendapat beberapa kelengkapan tambahan seperti kemasan aluminium Rhombicle, stereng M dengan balutan kulit dan pelapik bumbung M.

Sistem bantuan pemandu sama bagi kedua-dua varian iaitu Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan Brake Intervention, Rear Cross Traffic Warning, Rear Collision Prevention, Speed Limit Info, Parking Assistant dan pelbagai lagi.

BMW i7 xDrive60 M Sport kini di Malaysia, harga bermula dari RM730k

SELEPAS melancarkan BMW 7 Series (G70) pada Mei lalu, BMW Malaysia hari ini mengumumkan pula ketibaan versi elektrik kepada sedan itu yang dikenali sebagai i7.

Untuk pasaran tempatan, i7 ditawarkan dalam varian xDrive60 M Sport pada harga bermula dari RM729,800 termasuk waranti lanjutan lima tahun tanpa had perbatuan dan pakej servis berjadual percuma.

i7 dalam varian ini dikuasakan oleh sepasang motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 544 PS dan 745 Nm. Dengan satu motor elektrik pada setiap gandar, sedan EV ini mempunyai sistem pacuan semua roda xDrive.

Dari segi prestasi, model ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.7 saat dan ia boleh mencapai kelajuan maksimum 240 km/j. Untuk jarak gerak pula, bateri berkapasiti 101.7 kWj membolehkan ia dipandu sejauh 625 km dengan satu cas penuh.

Pengecasan menggunakan pengecas AC 11 kW mengambil masa kira-kira 9.5 jam untuk cas penuh, manakala pengecas pantas DC 195 kW memerlukan 34 minit untuk pengecasan dari 10 hingga 80 peratus.

i7 xDrive60 M Sport merupakan model ketiga yang dilancarkan dalam barisan 7 Series G70, selepas 750e xDrive M Sport dan 750e xDrive Pure Excellence.

Selain waranti lanjutan dan pakej servis yang disebutkan tadi, pelanggan juga dapat menikmati pengalaman pemilikan premium yang merangkumi pakej bantuan tepi jalan dan talian kemalangan oleh BMW, aplikasi mudah alih BMW Group Loyalty+ berserta kad keistimewaan BMW, dan servis dalam talian.

Dengan pelan pembiayaan Straight Line yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, i7 xDrive60 M Sport boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan yang bermula dari RM8,401 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80 peratus bagi tempoh tujuh tahun).