Arkib Tag: BMW R 1300 GS Adventure

BMW R 1300 GS Adventure 2025 – harga jualan rasmi dari RM148,500

BMW Motorrad Malaysia mengumumkan harga jualan rasmi bagi jentera BMW R 1300 GS Adventure 2025 yang boleh didapati di semua pengedar sah di seluruh negara, bermula dari RM148,500.

Motosikal adventure tersebut diperlihatkan buat kali pertama di acara Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung tempoh hari.

Dari segi kuasa, R 1300 GS Adventure ini dijana dengan enjin boxer dua silinder 1,300 cc menghasilkan 145 hp dan 149 Nm yang dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi melebihi 200 km/j.

BMW R 1300 GS Adventure ini menampilkan penggayaan serba baharu termasuklah struktur casis yang direka semula yang dibantu sistem suspensi Dynamic Suspension Adjustment (DSA).

Terdapat empat mod tunggangan iaitu Rain, Road, Eco dan Enduro, serta pilihan Riding Modes Pro untuk prestasi yang lebih diperibadikan.

Selain itu, R 1300 GS Adventure ini turut dilengkapi dengan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Dynamic Traction Control (DTC), Hill Start Control (HSC), Front Collision Warning (FCW), Lane Change Warning, kawalan jelajah (DCC), Engine Drag Torque Control (MSR), serta Dynamic Brake Control (DBC).

Terdapat pilihan untuk menambah fungsi Shift Assist Pro untuk varian standard, serta Automated Shift Assistant untuk tiga varian yang lain (Style GS Trophy, Triple Black dan Option 719).

Secara standard, BMW R 1300 GS Adventure ini dilengkapi dengan pakej Touring yang menambah kelengkapan seperti manifold krom, peranti navigasi, serta cagak untuk kotak simpanan aluminium.

Antara ciri lain termasuklah skrin paparan TFT 6.5 inci, slot pengecasan USB, tangki bahan api sebesar 30 liter, kotak storan atas 37 liter, kotak sisi aluminium berkapasiti 73 liter, serta sistem lampu LED.

Harga jualan adalah seperti berikut:
BMW R 1300 GS Adventure Standard – RM148,500
BMW R 1300 GS Adventure Triple Black – RM153,500
BMW R 1300 GS Adventure GS Trophy – RM153,500
BMW R 1300 GS Adventure Option 719 Karakorum – RM164,500