Arkib Tag: Bentley Kuala Lumpur

Bentley Bentayga Speed 2025 – tempahan dibuka, harga jualan dari RM2.8 juta

Inilah dia SUV Bentayga yang paling berkuasa pernah dihasilkan, iaitu Bentayga Speed 2025.

Untuk mereka yang berminat, tempahan bagi model ini sudah pun dibuka menerusi Bentley Kuala Lumpur.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu tentang Bentley Bentayga Speed 2025:

 

1. Kuasa

SUV ini dijana oleh enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar, menghasilkan kuasa 641 hp dan daya kilas 850 Nm.

Ia mampu memecut sepantas 3.6 saat dari pegun ke 100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 310 km/j.

 

2. Mod pemanduan

Terdapat empat mod pemanduan termasuklah Comfort, Bentley, dan Sport yang dipertingkatkan.

Dalam mod Sport itu tadi turut disertakan dengan tetapan ESC Dynamic Mode untuk fungsi tambahan seperti Launch Control dan mod drift.

 

3. Kelengkapan standard

 

Penampilan luar diserikan dengan rim sebesar 22 inci, atau rim 23 inci yang mana anda boleh dapatkan sistem brek seramik karbon berserta angkup 10 omboh untuk roda depan (opsyen untuk rim 22 inci).

Selain sistem ekzos sport standard yang mampu menyalurkan bunyi V8 dengan lebih berkesan, pembeli juga boleh mendapatkan sistem ekzos titanium Akrapovic.

Bentley Bentayga Speed juga kini tersedia dengan penambahan sistem anti-oleng elektronik Bentley Dynamic Ride, dan sistem stereng semua roda untuk memudahkan pengendalian di laluan yang sempit, selain menyumbang kepada kestabilan pada kelajuan tinggi.

 

4. Ciri luaran

Membezakan Bentley Bentayga Speed dengan varian lain adalah kemasan tema gelap bagi menggantikan komponen krom, termasuklah perumah lampu depan dan belakang.

Selain itu, aspek estika luaran diserikan dengan pakej Styling Specification, bumbung berwarna hitam serta pancaran lampu beranimasi oleh Mulliner apabila pintu dibuka.

 

5. Kabin tema kelajuan

Ruang kabin Bentayga Speed mendapat kemasan corak Precision Diamond Quilt, emblem Speed pada tempat duduk, serta pakej Dark Chrome Interior Specification bagi menggantikan warna krom standard.

Skrin paparan kluster instrumen juga turut diberikan grafik khas yang menggambarkan karakter sebenar SUV ini.

Antara ciri lain tersedia termasuklah sokongan Apple CarPlay/Android Auto, slot pengecasan USB, penapis udara kabin PM2.5, paparan keliling 3D, serta fungsi Manoeuvre Assist.

Untuk sistem bunyi pula, Bentayga Speed dibekalkan dengan unit Bentley Signature Audio dengan pilihan naik taraf kepada sistem Bang & Olufsen for Bentley atau Naim for Bentley.

 

6. Harga

Harga jualan anggaran untuk Bentayga Speed 2025 bermula sekitar RM2.8 juta, tidak termasuk kos tambahan untuk pakej pemperibadian.

Pembeli boleh mendapatkan opsyen sehingga lebih 80 palet warna, kemasan Blackline Specification untuk bahagian luar, kemasan papan pemuka yang berbeza, Front Seat Comfort Specification (fungsi urut, ventilasi serta larasan tambahan), pakej Bentley Rear Entertainment (dua skrin 10.1 inci untuk penumpang belakang), serta Touring Specification (paparan head-up, sistem pandangan malam, dan tambahan ciri keselamatan).

Bentley Continental GT Speed rasmi di Malaysia, harga dari RM3.12 juta

Bentley Kuala Lumpur baru-baru ini meraikan ketibaan model grand tourer (GT) yang paling berkuasa pernah dihasilkan, iaitu Bentley Continental GT Speed.

Generasi keempat Continental GT Speed ini dikuasakan oleh nadi V8 plug-in hybrid (PHEV) ‘Ultra Performance Hybrid’ yang mampu menjana kuasa keseluruhan 782 PS dan daya kilas 1,000 Nm.

Enjin V8 turbo berkembar itu sendiri berupaya menghasilkan 600 PS dan 800 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik 190 PS/450 Nm yang dipasang dalam perumah transmisi untuk mengurangkan kesan turbo lag.

Secara keseluruhan, tetapan PHEV ini menawarkan peningkatan kuasa sebanyak 19 peratus serta daya kilas 11 peratus lebih tinggi berbanding Continental GT Speed yang dilengkapi enjin W12.

Tiada lagi fungsi penyahaktifan silinder diperlukan, kerana sistem hibrid pada Continental GT Speed ini boleh menghentikan terus fungsi enjin ketika motor elektrik sedang beroperasi.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda menerusi transmisi klac berkembar lapan nisbah kelajuan, dibantu dengan pembeza gelincir terhad elektronik (eLSD).


Disebabkan itu, pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 335 km/j.

Pek bateri 25.9 kWh pula membenarkan GT ini dipandu dalam mod sifar emisi sejauh 80 km pada kelajuan sehingga 140 km/j.

Continental GT Speed ini turut dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda aktif, sistem stereng semua roda, torque vectoring, Bentley Dynamic Ride dan perisian kawalan ESC generasi baharu.

Untuk memastikan jentera GT ini berhenti dengan cemerlang, Bentley memadankan sistem brek terdiri daripada angkup 10 omboh dan rotor bersaiz 420 mm di depan, diikuti angkup empat omboh dan rotor 380 mm di belakang.

Terdapat juga opsyen untuk memadankan sistem brek carbon-silicon-carbide dengan rotor bersaiz 440 mm depan dan 410 mm di belakang.

Bentley Continental GT generasi keempat ini merupakan model Bentley pertama yang menampilkan tetapan lampu utama tunggal bagi menggantikan tetapan lampu bulat berkembar.

Unit lampu matriks LED itu menampilkan 120 unit LED berasingan yang boleh dikawal secara digital untuk memaksimumkan pencahayaan.

Sementara unit lampu belakang pula mempunyai corak berlian tiga dimensi yang membawakan efek seakan lava cair apabila bernyala.

Keempat-empat sudut gerbang roda dihiasi dengan rim rekaan baharu saiz 22 inci yang diinspirasikan daripada harimau.

Ruang kokpit Bentley Continental GT Speed ini menyediakan tempat duduk boleh laras sehingga 20 tahap yang cukup selesa untuk perjalanan jauh, gugusan butang fungsi untuk HVAC pada konsol tengah, serta kehadiran jam analog di tengah-tengah corong pendingin hawa.

Untuk pemandu disediakan skrin kluster digital, manakala di bahagian tengah pula terdapat Bentley Rotating Display yang menyediakan tiga sisi berbeza: skrin infohibur 12.3 inci, tiga dial analog atau panel kosong sekiranya anda tidak mahu pemanduan terganggu sepanjang perjalanan.

Terdapat tiga pilihan sistem audio ditawarkan untuk Continental GT:
– Standard 650W dengan 10 pembesar suara
– Bang & Olufsen 1,500W dengan 16 pembesar suara dan jeriji bercahaya
– Naim 2,200W, 18 pembesar suara, Active Bass Transducers dan sehingga lapan mod disediakan untuk golongan audiophile

Aspek keselesaan dalam kabin dipertingkatkan dengan penggunaan kaca akustik berlamina yang menawarkan sehingga 9 dB lebih senyap berbanding kaca bukan akustik.

GT Bentley ini juga turut dilengkapi dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kemas kini over-the-air (OTA), sistem pencahayaan ambien, serta ciri Intelligent Park Assist.

Untuk pasaran Malaysia, Bentley Continental GT Speed dijual pada harga bermula dari RM3,120,000 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran, serta opsyen penyesuaian bersifat peribadi.

Bentley Continental Le Mans Collection, 1 unit dibeli orang Malaysia

BAGI meraikan ulang tahun ke-20 sejak ia mencapai kejayaan keenamnya di 24 Hours of Le Mans, Bentley telah mengeluarkan model edisi terhad Continental GT dan Continental GTC yang digelar sebagai Le Mans Collection.

Untuk pengetahuan anda, hanya 48 unit dihasilkan untuk pasaran global dan satu daripadanya akan tiba di Malaysia pada suku ketiga atau keempat tahun ini. Ia akan dipamerkan di bilik pameran Bentley Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pemiliknya.

Apa yang menarik mengenai model edisi terhad ini? Dari segi penampilan, ia hadir dengan perincian luaran dan dalaman yang diinspirasikan daripada jentera lumba Speed 8 #7 yang memenangi Le Mans pada 2003.

Sebagai contoh, Continental Le Mans ini didatangkan dalam warna hijau Verdant, dengan jalur Moonbeam pada bahagian bonet serta kemasan hitam Beluga pada bahagian bampar, cermin sisi dan tailgate.

Selain itu, terdapat juga lakaran nombor 7 dalam warna putih Arctica pada gril sebagai tanda hormat kepada kereta lumba tersebut. Melengkapkan imejnya adalah rim berukuran 22 inci yang menyelindungi brek cakera karbon seramik dan angkup merah.

Ruang dalaman pula diserlahkan menerusi penggunaan upholsteri kulit Beluga, fabrik Dynamica serta jahitan kontras Hotspur. Turut disertakan adalah trim kayu Piano Black dan gentian karbon berkilat.

Semua model Le Mans Collection didatangkan dengan paparan berputar (Bentley Rotating Display) yang menampilkan skrin sentuh, veneer dan dail analog. Tidak cukup dengan itu, terdapat injap sebenar daripada enjin Speed 8 yang dipaparkan di dalam salah satu dial analog tersebut.

Menurut Bentley, enjin 4.0-liter twin-turbo V8 daripada kereta lumba itu telah dikeluarkan selepas perlumbaan untuk disimpan, namun 24 daripada 32 injapnya telah diambil bagi menghasilkan 48 artefak untuk setiap satu model Le Mans Collection.

Satu lagi sentuhan unik adalah jam digital dalam format 24 jam yang menggantikan jam analog 12 jam tradisional Bentley.

Kedua-dua Continental GT dan GTC Le Mans Collection dikuasakan oleh enjin TSI 6.0-liter W12 dengan kuasa mencecah 659 PS dan 900 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 335 km/j.

Untuk sistem suspensi, model ini menggunakan gabungan Bentley Dynamic Ride dan sistem suspensi udara dengan redaman adaptif yang memberikan prestasi pengendalian yang seimbang.

Sebagai tambahan, pelanggan juga boleh mendapatkan opsyen seperti brek karbon seramik, Variable Electronic Stability Control, All Wheel Steering dan Electronic Limited Slip Differential.

Bentley Continental GT S V8 – RM1.06 juta, 0-100 km/j dalam 4.0 saat

SERENTAK dengan pelancaran Bentayga EWB Azure, Bentley Kuala Lumpur turut memperkenalkan model coupe dua pintu berprestasi tinggi iaitu Continental GT S V8.

Seperti yang tertera pada namanya, ia mempunyai ‘nadi’ 4.0-liter twin-turbo V8 yang mampu menjana 550 PS pada 6,000 rpm dan 770 Nm dari 2,000 hingga 4,500 rpm.

Enjin berkenaan digandingkan bersama transmisi ZF klac berkembar lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD) yang menyalurkan 38 peratus tork ke roda hadapan dalam mod Comfort, dan 17 peratus dalam mod Sport.

Dari segi prestasi, Continental GT S V8 mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.0 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 318 km/j.

Casis terdiri daripada sistem suspensi udara dengan Continuous Damping Control, berserta Active Anti-Roll Bar 48V pada gandar hadapan dan belakang.

Untuk brek, jentera ini dilengkapi dengan cakera 42o mm dengan angkup 10 piston di hadapan, dan cakera 380 mm dengan angkup empat piston di belakang.

Unit ini didatangkan dalam warna hijau British Racing Green 4, iaitu versi yang lebih gelap kepada British Racing Green 2. Ia juga memakai rim berukuran 22 inci dengan kemasan Pale Brodgar Satin dan pakej Styling Specification.

Di dalam, terdapat upholsteri dua tona Cumbrian Green dan Portland, serta trim Piano Black yang menghiasi papan pemuka dan konsol tengah.

Kelengkapan yang disertakan termasuklah Bentley Rotating Display dengan skrin sentuh 12.3 inci, sistem audio Naim, serta ciri-ciri bantuan pemandu seperti Head-Up Display, Night Vision, Lane Assist, Traffic Sign Recognition dan banyak lagi.

Harga jualan Continental GT S V8 bermula dari RM1,059,000 tidak termasuk cukai, insurans dan pendaftaran.

Bentley Bentayga EWB Azure kini di Malaysia – harga dari RM1.09 juta

BENTLEY Kuala Lumpur telah melancarkan model SUV terbarunya iaitu Bentayga Extended Wheelbase (EWB) Azure ke pasaran tempatan. Secara asasnya, ia adalah versi tapak roda lebih panjang kepada Bentayga.

Oleh itu, Bentayga EWB Azure mempunyai ukuran tapak roda sepanjang 3,175 mm, iaitu 180 mm lebih panjang berbanding model standard. Ukuran panjang keseluruhan pula adalah 5,322 mm.

Unit yang dipertontonkan di bilik pameran Bentley Kuala Lumpur ini didatangkan dalam warna hitam Onyx dan rim 22 inci. Ruang dalaman pula dihiasi dengan upholsteri kulit dua tona Camel dan Beluga, serta trim kayu Koa.

Apa yang lebih menarik, ia dispesifikasikan dengan kerusi belakang Airlines Seat yang mempunyai pelarasan 22 cara, sistem pengesan suhu dan teknologi pelarasan postur badan automatik.

Sistem infotainment pula terdiri daripada skrin sentuh 10.9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, dan sistem audio Naim dengan 20 pembesar suara.

Turut disertakan adalah Touring Specification yang merangkumi ciri-ciri bantuan pemandu termaju termasuk Adaptive Cruise Control, Lane Assist, Night Vision dan paparan Head-Up.

Bentayga EWB Azure dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang mampu menghasilkan 550 PS pada 6,000 rpm dan 770 Nm dari 2,000 hingga 4,5000 rpm.

Dengan transmisi ZF automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 4.6 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j. Kelajuan maksimum adalah 290 km/j.

Untuk sistem suspensi, SUV seberat 3.2 tan ini menggunakan suspensi udara dengan Continuous Damping Control. Ia juga didatangkan dengan Bentley Dynamic Ride yang merupakan teknologi Active Anti-Roll Bar 48V pada bahagian depan dan belakang.

Di Malaysia, harga Bentayga EWB Azure bermula dari RM1,091,000 tidak termasuk cukai insurans dan pendaftaran.

Bentley Flying Spur Hybrid kini di Malaysia – jarak pemanduan 800 km, harga RM945k tidak termasuk cukai

SEMPENA dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-25 di Malaysia, Bentley Kuala Lumpur hari ini melancarkan Bentley Flying Spur Hybrid ke pasaran tempatan.

Diperkenalkan di peringkat global pada Julai tahun lalu, ia dicanangkan sebagai model paling efisien pernah dihasilkan jenama itu.

Ini kerana Flying Spur Hybrid dikuasakan ia dikuasakan oleh enjin 2.9-liter biturbo V6 yang dipadankan dengan sebuah motor elektrik, serta transmisi klac berkembar automatik lapan kelajuan.

Gandingan ini memberikan output keseleruhan berjumlah 536 hp (544 PS) dan 750 Nm, membolehkan sedan mewah itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.3 saat, tidak jauh berbeza dengan model W12 dan V8. . Kelajuan maksimum pula adalah 285 km/j.

Menurut Bentley, Flying Spur Hybrid menawarkan jarak pemanduan sejauh lebih 800 km dengan satu tangki penuh. Sebahagian daripada prestasi ini disumbangkan oleh pek bateri lithium-ion berkapasiti 18 kWh, yang boleh dicas dalam masa 2 jam 30 minit menggunakan pengecas pantas.

Di dalam, suis Start-Stop telah digantikan dengan butang kawalan untuk tiga mod pemanduan yang disediakan iaitu EV Drive, Hybrid Mode dan Hold Mode.

Maklumat seperti aliran tenaga dan statisik dipaparkan pada kluster instrumen digital yang boleh juga digunakan untuk menetapkan pemasa untuk pengecasan boleh ditetapkan.

Selain itu, maklumat lain seperti jarak pemanduan, tahap bateri dan info pengecasan boleh dilihat menerusi Head-up Display dan skrin sentuh 12.3-inci pada papan pemuka.

Dari segi penampilan, Flying Spur Hybrid boleh dikenali menerusi lencana ‘Hybrid’ pada fender depan, tailpipe bujur quad dan poin pengecas universal bertutup pada bahagian kiri fender belakang.

Rim didatangkan dalam tiga saiz iaitu 20, 21 dan 22 inci. Apa yang menarik, pelanggan boleh memilih daripada tujuh warna luaran standard dan 60 pilihan warna tambahan.

Untuk ruang kabin pula, Bentley menawarkan spesifikasi yang meluas dengan 15 pilihan (lima standard dan 10 opsyen) warna upholsteri kulit dan lapan pilihan veneer. Piping pada tempat duduk, serta sulaman dan logo boleh didapati dalam warna kontras.

Dipasang di Crewe, England, Flying Spur Hybrid djiual pada harga bermula dari RM945,000 (tidak termasuk duti, cukai dan pendaftaran). Ia juga ditawarkan dalam varian Azure dan S.

Menurut Bentley Kuala Lumpur, kesemua unit Flying Spur Hybrid yang tersedia telah pun mempunyai pemilik masing-masing.