Arkib Tag: Belanjawan 2024

Tiada keperluan laksana dasar tamatkan hayat kenderaan lama – Menteri Pengangkutan

LANGKAH melaksanakan dasar untuk menamatkan hayat kenderaan lama adalah tidak praktikal, maka Malaysia tidak akan melaksanakannya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata dasar itu tidak boleh dilaksanakan kerana mengambil kira faktor sosio-ekonomi negara dan keperluan hidup rakyat terhadap pergantungan kepada kenderaan persendirian.

Perodua EMO EV Concept yang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2023 pada Mei lalu

Namun kerajaan tetap menggalakkan rakyat untuk memiliki kenderaan elektrik (EV) atau menggunakan pengangkutan awam.

“Kerajaan tidak mempunyai dasar untuk menamatkan hayat kenderaan seperti beberapa negara (lain). Kalau buat satu dasar untuk scrap (hapuskan) kereta lama, ia akan beri kesusahan kepada rakyat,” katanya.

“Data penjualan kereta juga meningkat, sekali gus menunjukkan keadaan ekonomi yang baik. Itu (ialah) indikator (yang menunjukkan) bahawa kita masih bergantung kepada penggunaan kenderaan persendirian, belum ada dasar menghalang pemilikan kenderaan (lama),” katanya.

Bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke arah negara bebas pelepasan karbon menjelang 2030, Loke berkata kerajaan akan terus membangunkan dan melabur dalam sistem pengangkutan awam bagi menjadikan perkhidmatan itu lebih baik.

“Dari segi nisbah pengangkutan awam kepada kenderaan persendirian, penggunaan sistem pengangkutan awam masih sangat rendah iaitu kira-kira kurang daripada 20 peratus,” katanya dan menambah usaha sedang diambil untuk menggalakkan industri EV di Malaysia.

Loke berkata 15 juta daripada 30 juta kenderaan di Malaysia ialah motosikal yang menyumbang kepada pelepasan karbon yang besar.

Justeru katanya sebagai permulaan kerajaan akan memberikan rebat hingga RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini.

Belanjawan 2024: Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik diperkenalkan

Kerajaan telah memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dalam usahanya untuk menggalakkan orang ramai menggunakan motosikal elektrik di negara ini.

Di bawah skim berkenaan, rakyat berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah akan menikmati rebat bernilai sehingga RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus melonjak pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV.

Justeru itu, kerajaan mengalu-alukan pelaburan melebihi RM170 juta oleh syarikat terkemuka seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Gentari dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan EV, katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.

Belanjawan 2024: Subsidi bersasar diesel akan dilaksanakan secara berfasa

DALAM pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar diesel secara berfasa bagi mengelakkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan.

Menurut Anwar, harga diesel bersubsidi semasa ditetapkan pada RM2.15 berbanding harga pasaran RM3.75 seliter, bermakna kerajaan menanggung RM1.60 sen bagi setiap liter diesel atau sekitar RM1.5 bilion keseluruhannya.

Menurut data penggunaan, jualan diesel bersubsidi meningkat sehingga 40 peratus sejak 2019, tetapi kenderaan menggunakan diesel hanya meningkat kurang tiga peratus.

Ia menunjukkan kemungkinan terdapat ketirisan dan aktiviti penyeludupan susulan harga diesel yang murah, kata Anwar.

“Secara konsepnya, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan.

“Sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi. Dengan pendekatan tersebut, ia dapat mengurangkan ketirisan subsidi tetapi pada masa yang sama, mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat,” katanya lagi.