Arkib Tag: Bangkok International Motor Show

Felo TOOZ dilancarkan di Thailand – tawar jarak pergerakan 720km

Jenama motosikal elektrik dari China, Felo telah melancarkan TOOZ ketika di Bangkok International Motor Show yang berlangsung ketika ini.

Ditawarkan sebagai motosikal kembara (tourer), Felo TOOZ ini hadir dengan reka bentuk yang besar mirip Honda GL1800 Goldwing. 

Rupa bentuk yang besar itu berpunca daripada penggunaan bateri yang lebih besar. Menurut Felo, TOOZ ini menawarkan jarak pergerakan 720 kilometer di samping mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 200km/j. 

Berdasarkan angka itu, tidak hairanlah TOOZ ini bersaiz besar bagi memuatkan kapasiti bateri yang agak besar. 

Selain itu, turut mencuri tumpuan adalah kelengkapan yang ditawarkan termasuk panel meter TFT 12-inci dan sistem pembesar suara 6-saluran. 

Menurut Felo, panel meter TFT itu (selain boleh disambungkan ke telefon pintar) turut menawarkan fungsi navigasi dan sistem kamera 360-darjah. Selain itu, turut ditawarkan fungsi TPMS, ABS dan sistem ‘traction control’. 

Felo TOOZ ini juga menyokong pengecasan TYPE2 (hanya memerlukan masa 20 minit untuk cas dari 20 hingga 80 peratus). Felo turut menawarkan ‘cooling box’ berkapasiti 8-liter yang boleh dipasang pada salah satu ‘panniers’.

 

Tidak cukup dengan itu, TOOZ juga menawarkan teknologi V2L yang bermakna anda boleh menggunakan bateri pada motosikal tersebut untuk menyalur kuasa pada kelengkapan elektrik lain. 

Berdasarkan info dikongsikan, kami jangkakan bateri yang diguna pakai adalah cukup berkuasa meskipun tidak dinyatakan secara spesifik. 

Isuzu D-Max BEV Concept bakal muncul di Bangkok hujung bulan ini

Isuzu bakal memeriahkan acara pameran tahunan Bangkok International Motor Show yang ke-45 tahun ini dengan kehadiran model konsep berkuasa elektrik, iaitu D-Max BEV Concept.

Sama seperti model trak pikap satu tan berkuasa diesel, D-Max BEV ini juga telah dibangun untuk memenuhi keperluan yang lebih meluas dalam segmen kenderaan penumpang dan juga komersial.

Menurut Isuzu, D-Max BEV Concept ini menampilkan sistem pacuan empat roda sepenuh masa yang terdiri daripada dua e-Axle.

 

 

Sistem gandar elektronik itu dikatakan mampu menawarkan prestasi yang cemerlang di atas laluan kasar, pecutan linear tipikal sebuah EV, dan dalam masa yang sama mampu meminimumkan gegaran dan bunyi bising.

Menggerakkan trak pikap ini ialah gandingan dua motor elektrik berkuasa 174 hp dan 325 Nm, terdiri daripada motor elektrik 53.6 hp/108 Nm untuk gandar depan, diikuti motor elektrik 121 hp/217 Nm untuk gandar belakang.

Kedua-dua motor elektrik itu memperoleh kuasa daripada pek bateri lithium-ion 66.9 kWh, dan dikatakan mampu mencapai kelajuan tertinggi ‘melebihi 130 km/j’.

 

 

Sama seperti trak D-Max diesel, D-Max BEV mempunyai keupayaan membawa muatan sekitar 1,000 kg, dan kapasiti menunda muatan maksimum seberat 3,500 kg.

Dari segi luaran, D-Max BEV Concept ini membawakan rekaan yang hampir sama dengan model facelift yang dilancarkan tahun lepas, namun dengan sedikit perbezaan seperti jeriji tertutup yang dikemaskan dengan aksen warna biru, serta bampar depan yang telah direka semula.

Menurut Isuzu, trak pikap D-Max BEV ini akan dilancarkan buat kali pertama di Eropah pada tahun 2025, diikuti pasaran Australia, Thailand dan beberapa pasaran utama dunia.

 

Isuzu D-Max 2024 (facelift)