Aveta Malaysia mengumumkan penawaran warna baharu Twilight Blue untuk skuter maxi Vanguard 250 varian SE sebagai pelengkap kepada warna Majestic Green dan Titanium Grey sedia ada.
Selain warna baharu, Aveta Malaysia turut mengesahkan Vanguard 250 versi Standard tidak lagi ditawarkan secara rasmi.
Vanguard 250 ini didatangkan dengan enjin silinder tunggal 244.2 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 24.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 6,500 rpm, serta dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api Bosch.
Merujuk kepada spesifikasi yang diumumkan sebelum ini, Vanguard 250 SE hadir dengan kelengkapan seperti fork teleskopik 37 mm, penyerap hentak berkembar gas di belakang, angkup brek empat omboh di depan dan dua omboh di belakang, diikuti dengan padanan rim 15 inci depan dan 14 inci belakang.
Ciri lain termasuklah kamera perakam tunggangan, skrin paparan TFT tujuh inci, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), sistem brek ABS dua saluran, serta kawalan cengkaman (TCS).
Harga jualan kekal tidak berubah, bermula dari RM16,388 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Dalam perkembangan terbaharu, Aveta Malaysia telah diiktiraf oleh syarikat TARO Motor (pengeluar China) sebagai Rakan Jualan Terbaik Global atas kejayaan mencatatkan prestasi jualan luar biasa bagi model Vanguard 250.
Pencapaian ini sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran dalam jaringan global TARO.
