Arkib Tag: audi

Audi R8 V10 performance RWD varian asas tetapi lebih kuasa, dilengkapi mod drift

AUDI R8 generasi kedua telah berada di pasaran sejak enam tahun yang lalu dan dalam tempoh itu, entah berapa banyak varian dan versi yang telah dihasilkan.

Kini, Audi memperkenalkan satu lagi versi dan ia merupakan model entry-level yang dikenali sebagai R8 V10 performance RWD. Ini bermakna R8 V10 Quattro dan R8 V10 RWD telah digugurkan daripada barisan model R8.

Bergantung pada pasaran, UK contohnya, setiap varian R8 yang dijual akan menggunakan nama ‘performance’, dengan pilihan bentuk badan coupe dan Spyder, serta pacuan roda belakang (RWD) dan semua-roda (quattro).

Jadi apa yang istimewa mengenai R8 V10 performance RWD? Pertama sekali, ia mendapat kuasa yang lebih tinggi.

Enjin 5.2-liter V10 masih kekal digunakan namun kali ini, unit FSI itu menghasilkan 570PS dan 550Nm, 30PS dan 10Nm lebih tinggi berbanding sebelum ini. Transmisi S-tronic 7-kelajuan ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke gandar belakang.

Atas kertas, model ini memerlukan hanya 3.7saat untuk melakukan pecutan 0-100km/j sebelum mencapai kelajuan maksimum 329km/j. Itu untuk versi coupe.

Versi Spyder pula boleh mencapai 100 km/j dalam 3.8saat, dengan kelajuan maksimum sedikit rendah iaitu 327km/j.

Walaupun enjin kini lebih berkuasa, Audi masih menggunakan formula yang sama untuk pembinaan supercar ini.

Badannya diperbuat daripada aluminium dengan rekaan Audi Space Frame (ASF), diadunkan dengan bahagian-bahagian yang diperbuat daripada CFRP untuk mencapai tahap ketegaran yang diinginkan.

Sistem suspensi pula ditala khas untuk pemanduan roda belakang, manakala Electronic Stability Control (ESC) dikalibrasi semula bagi membolehkan pemandu melakukan aksi drift secara terkawal apabila memandu di dalam mod Sport.

Buat pertama kalinya juga, R8 didatangkan dengan sistem stereng Dynamic yang mampu memberikan maklum balas yang lebih tepat.

Penampilannya tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan versi terdahulu. Di hadapan, terdapat gril berwarna hitam matte, splitter pada bahagian bawah bampar serta tiga bukaan kecil di bawah garisan bonet ala Audi Sport quattro.

Bahagian belakang pula menampilkan muncung ekzos berbentuk bujur Rim didatangkan dalam saiz 19 inci. Audi menawarkan 10 pilihan warna termasuk Ascari Blue Metallic.

Sementara itu, susun atur ruang dalaman juga tidak berubah. Antara kelengkapan yang disertakan adalah kokpit virtual berukuran 12.3 inci, di mana semua maklumat penting dipaparkan, kerusi sport dengan balutan kulit Nappa, stereng multifungsi serta pengecas wayarles.

Di UK, harga R8 V10 performance RWD bermula dari £126,885 (RM722,696) untuk versi coupe dan £135,575 (RM772,191) untuk Spyder.

Audi RS Q e-tron: Jentera elektrik yang direka untuk menakluki Dakar Rally

TIDAK lama selepas mendedahkan R8 LMS GT3 Evo II, divisyen perlumbaan Audi Sport memperkenalkan satu lagi jentera lumba.

RS Q e-tron ialah jentera yang sangat berbeza berbanding supercar berenjin V10 itu, sebaliknya ia kenderaan lumba untuk Dakar Rally yang pertama dari Audi. RS Q akan berentap dalam rali dengan permukaan mencabar dan bukan litar jalanan biasa.

Untuk sukan permotoran elektrik, Audi tidak akan bersaing lagi dalam Formula E untuk musim 2022, sebaliknya akan beralih ke rali dengan RS Q e-tron. Selain dari rupanya yang nampak cukup ganas dan lasak, jentera ini cukup menarik kerana jenis powertrain yang digunakannya.

RS Q ini elektrik sepenuhnya, dikuasakan dua motor elektrik (satu di depan, dan satu di belakang) yang diambil dari jentera Formula E 2021 Audi e-tron FE07.

Walaubagaimanapun, terdapat juga enjin yang diambil dari kereta lumba DTM, berfungsi sebagai sistem penukar tenaga untuk mengecaj bateri sambil bergerak. Enjin ini bertindak sebagai range extender dan berputar sekitar 4,500 hingga 6,000rpm.

Audi berkata enjin 2.0-liter turbo 4-silinder ini ditala supaya mempunyai tahap pelepasan kurang dari 200 gram CO2 untuk setiap kWh dibekal kepada bateri.

Penukar tenaga ini juga mempunyai motor-generator ketiga (MGU) untuk mengecaj bateri semasa RS Q e-tron dilenjan dalam perlumbaan. Audi Sport juga membekalkan pek 50-kWh seberat 370kg yang menyokong sistem energy recovery (KERS) semasa membrek.

Menurut pasukan Audi, sistem elektrik pada RS Q ini menjana kira-kira 670hp dan untuk mematuhi peraturan Dakar Rally, ia perlu mempunyai berat sekurang-kurangnya 2,000kg.

Apa pendapat anda mengenai jentera rali Audi Sport ini? Kami geram melihatnya, nampak rugged macam kereta radio-control!