Sebuah lagi skuter sesaran 250 cc jenama ARIIC bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada tahun depan, iaitu ARIIC XGobi 250.
Skuter kembara ini berkongsi nadi silinder tunggal 249 cc yang sama dengan Touch 250, namun hadir dengan tangki bahan api 12.5 liter dan kadar penggunaan bahan api sekitar 2.9 liter/100 km.
Secara fizikalnya, XGobi 250 dilengkapi dengan beberapa ciri dan penampilan yang lebih lasak.
Antaranya ialah padanan crash bar secara standard, fork hadapan jenis terbalik (USD), skrin penghadang angin larasan manual, serta rim lidi aloi aluminium.
Ciri lain yang tersedia termasuklah unit lampu LED, sistem permulaan tanpa kunci, sistem brek cakera depan belakang, serta skrin paparan TFT saiz 7-inci.
Aspek keselamatan pula terdiri daripada ciri seperti ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS), serta kamera perakam tunggangan (depan).
Sama seperti ARIIC Touch 250, ARIIC XGobi 250 juga bakal memasuki pasaran Malaysia selewat-lewatnya Mei 2026, dengan harga anggaran RM14,388.
