Arkib Tag: AOS 2025

Art of Speed 2025 bawakan tema “Kustom Ada Gaya”

Acara tahunan terbesar Kustom & Counter Culture Malaysia, Art of Speed bakal menggegarkan kembali Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) pada 26-27 Julai tahun ini dengan membawakan tema “Kustom Ada Gaya”.

Seperti biasa, AOS akan membariskan beberapa tetamu istimewa termasuklah Shige Suganuma, Hiro “Wildman” Ishii dan Hey Murakamii (Mooneyes), Brendon Vetuskey (Hot Wheels), Mark Hawwa (The Distinguished Gentleman’s Ride Australia), serta barisan pembina motosikal kustom dari pelbagai negara.

Turut dipamerkan nanti ialah tiga buah motosikal yang telah diubahsuai dari luar negara, iaitu BMW R18 “Ground 0” oleh Yuichi Yoshizawa dari Custom Works Zon, chopper Harley-Davidson Knuclehead oleh Masa Sugihara (Luck MC), serta Harley-Davidson Flathead oleh Ben Forster (Benflathead).

Selain daripada itu, lima kolaborasi baharu diumumkan oleh AOS iaitu:
AOS x Hot Wheels Collection – koleksi kereta konvensyen Porsche 911 kiri & kanan pertama di Asia Tenggara
AOS x FK – rekaan kasut terbaharu
AOS x High Cultured – jenama streetwear tempatan
AOS x XOCKS
AOS x Mooneyes – meraikan satu dekad kecemerlangan

AOS turut memperkenalkan World of Wheels (WOW), sebuah segmen istimewa Show & Shine yang dapat memberikan pengalaman fotografi berkualiti tinggi kepada para pemilik kenderaan yang akan dikendalikan oleh pihak NoEqual.co.

Difahamkan, lebih banyak penyertaan kereta dan motosikal akan dimuatkan untuk AOS 2025 dari kategori klasik hingga kontemporari.

Pemenang Best of Show bagi kategori kereta dan motosikal masing-masing layak untuk menyertai acara The 33rd Annual Yokohama Hod Rod Custom Show pada bulan Disember 2025.

Seperti biasa, tidak lengkap AOS tanpa penglibatan Hot Wheels, di mana Dewan C akan dimeriahkan dengan Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) edisi ke-3 yang akan menghimpunkan peminat Hot Wheels dari seluruh negara.

Pelbagai aktiviti menarik termasuklah pameran koleksi Hot Wheels, Swap Buy & Sell, sesi perkongsian dan juga pertandaingan HW kustom.

Tidak ketinggalan, barisan artis hebat yang bakal mewarnai SoundCircus Takeover 2025 termasuklah Noh Salleh, Ruffedge, Romantic Echoes, serta Restore Iboe yang akan berlangsung di dalam Dewan A.

Maklumat lanjut serta pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman web www.artofspeedmy.com.

Untuk masa terhad, AOS menawarkan tiket Early Bird berharga RM35.00 (Weekend Pass) dan RM40.00 (Sunday Pass) sementara stok masih ada. Pengunjung boleh mendapatkan tiket valet VIP Parking berharga RM30.00 yang membolehkan mereka meletakkan kereta di Aras Bumi, Dewan D, sah untuk satu hari kemasukan.