Sebuah lagi model motosikal dilancarkan oleh MForce Bike Holdings bersempena dengan pembukaan Best Shop Bukit Mertajam, iaitu QJMotor SRV 250 AMT.
Cruiser ini tampil unik kerana ia dilengkapi dengan sistem Automatic Manual Transmission, membolehkan penukaran gear tanpa operasi klac.
SRV 250 ini dikuasakan oleh nadi V-twin 249 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 27 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 23 Nm @ 8,000 rpm yang disalurkan kepada roda belakang menerusi pacuan rantai.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik (USD) di depan, diikuti penyerap hentak gegelung berkembar di belakang.
Aspek pemberhentian pula diserahkan kepada sistem brek yang terdiri daripada rotor tunggal 280 mm di depan, serta rotor 240 mm di belakang yang dibantu dengan sistem ABS dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS) yang boleh dimatikan.
Ia membawakan ciri seperti lampu depan dan belakang LED gaya retro, skrin paparan digital, slot pengecasan USB, serta tempat pemijak kaki yang lebar.
Selain itu, SRV 250 ini mempunyai tangki bahan api sebesar 13.5 liter, dengan tinggi pelana 700 mm yang sangat sesuai untuk pelbagai ketinggian penunggang.
Terdapat dua pilihan warna iaitu Matt Black dan perak, dengan harga jualan bermula dari RM17,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
