Nissan memperkenalkan generasi baharu sedan segmen C Sentra 2026 untuk pasaran Amerika Syarikat.
Tidak seperti model terdahulu, Nissan Sentra baharu ini tampil dengan rekaan yang lebih segar, mengingatkan kita kepada SUV elektrik Nissan Ariya terutama pada muka hadapan.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Casis
Sentra baharu masih mengekalkan platform CMF-CD seperti model lama, namun dengan dimensi yang lebih besar.
Ia berukuran sepanjang 4,656 mm (+15 mm), lebar 1,825 mm (+10 mm), tinggi 1,448 mm (kurang 2 mm) dengan jarak antara roda kekal 2,712 mm.
Biarpun dengan platform lama, Nissan menambah baik aspek ketegaran casis di mana ia kini lebih tegar 6 peratus, diikuti peredam dinamik pada sistem stereng untuk mengurangkan kesan gegaran.
Sistem suspensi kini menampilkan penyerap hentak baharu.
2. Enjin
Tiada perubahan dari segi aspek mekanikal, bermakna Sentra 2026 masih kekal dengan enjin 2.0 liter (kod MR20DD) dengan janaan kuasa 149 hp dan 198 Nm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT Xtronic.
3. Rupa
Seperti yang disebutkan tadi, Sentra 2026 membawakan evolusi rekaan V-motion yang lebih mirip kepada model moden Nissan seperti Ariya, Note dan Qashqai.
Unit lampu depan projektor LED lebih nipis, manakala lampu nyalaan siang LED akan kelihatan gelap apabila dipadamkan.
Unit pencahayaan Sentra ini juga akan memancarkan cahaya berentak apabila kereta dinyahkunci.
Bahagian sisi tidak lagi menampilkan elemen bumbung terapung, sementara belakang pula menampilkan rekaan lampu baharu yang melintang penuh.
Bergantung kepada varian, Sentra boleh dilengkapi dengan rim saiz 16-18 inci, serta layangan warna dua tona dengan bumbung Super Black.
4. Ruang kabin
Bahagian dalam Sentra menampilkan susun atur yang lebih kemas dan minimalis, dengan skrin paparan 12.3 inci berkembar, panel kawalan iklim sensitif sentuhan, serta sokongan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.
Ciri lain termasuklah sistem pencahayaan ambien 64-warna, pemanas roda stereng, slot pengecasan tanpa wayar, serta upholsteri TailorFit.
Bergantung kepada varian, Sentra boleh dilengkapi dengan ciri seperti sambungan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, dan sistem audio Bose dengan lapan pembesar suara.
5. Keselamatan
Nissan Sentra 2026 menawarkan ciri keselamatan standard seperti kawalan jelajah pintar, intervensi titik buta, brek kecemasan autonomi, amaran pelanggaran hadapan, pengelakan keluar lorong, dan tidak ketinggalan 10 beg udara.
Terdapat juga tambahan ciri seperti sistem ProPILOT, serta sistem pemantauan keliling pintar (IAVM) dengan fungsi pengesanan objek bergerak yang sangat berguna di kawasan parkir.
