Arkib Tag: Akio Toyoda

GR Yaris MORIZO RR dapat input daripada Akio Toyoda, 100 unit khas untuk pasaran Jepun

Toyota GR Yaris bukanlah sebuah hot hatch yang ‘sempurna’ sejak dari awal pengenalannya.

Ini kerana sehingga kini masih wujud ruang untuk pembaharuan dan penambahbaikan yang dibuat oleh Toyota Gazoo Racing bagi menjadikan ia lebih sedap untuk dipandu.

Berbekalkan pengalaman berlumba di Nurburgring 24 Hours 2025, Toyota Gazoo Racing memperkenalkan GR Yaris MORIZO RR yang dibangunkan bersama-sama Master Driver Akio Toyota – atau lebih dikenali dengan nama Morizo.

Dari segi luaran, GR Yaris MORIZO RR mendapat kelengkapan seperti sayap belakang kekal yang lebih besar diperbuat daripada gentian karbon, spoiler depan, skirt sisi, hud enjin gentian karbon, angkup brek kuning, rim Matte Broze, emblem MORIZO RR dan tandatangan Morizo pada cermin hadapan.

Ruang kabin pula didatangkan dengan roda stereng eksklusif GR balutan suede dengan dimensi yang lebih kecil.

Jika anda perasan, susun atur butang fungsi juga berlainan dengan apa yang wujud pada GR Yaris sedia ada, tetapan ini lebih mirip kepada apa yang digunakan pada jentera rali GR Yaris Rally2.

Akhir sekali, tombol pemilihan pacuan GR-Four kini mempunyai fungsi khas “PUSH MORIZO” menggantikan mod Gravel pada kereta GR Yaris standard.

Dalam mod yang dibangunkan khas bersama MORIZO ini, ia akan menetapkan agihan kuasa sebanyak 50:50 untuk roda depan dan belakang.

Aspek pemanduan pula ditambah baik dengan tetapan suspensi yang telah ditala semula berdasarkan permukaan jalan di Nurburgring supaya wujud keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian yang sporti.

Sistem stereng kuasa elektrik (EPS) juga turut ditala semula oleh pihak GAZOO Racing.

Toyota GR Yaris MORIZO RR akan diproduksikan sebanyak 100 unit terhad untuk pasaran Jepun, di mana permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi rasmi TGR iaitu GR App.

Sebanyak 100 unit lagi akan turut ditawarkan di beberapa pasaran terpilih di Eropah.

Selepas GR Yaris, giliran GR Corolla dapat pakej naik taraf di Jepun

Sebagai seorang peminat kereta berprestasi tinggi buatan Jepun, anda seharusnya berterima kasih kepada orang kuat Toyota, iaitu Akio Toyoda.

Akio atau lebih mesra dipanggil Morizo percaya sukan permotoran merupakan pentas paling ideal untuk menghasilkan kereta jalanan yang terbaik.

Disebabkan itu, kita dapat melihat model penting Gazoo Racing termasuklah hot hatch GR Corolla kini menerima penambahbaikan demi penambahbaikan tanpa perlu menunggu masa yang panjang.

Berikut merupakan perubahan yang dibawakan pada GR Corolla:

1. Penambahan perekat struktur casis sebanyak 13.9 meter kepada 32.7 meter untuk casis yang lebih tegar dan stabil bagi menampung tekanan G menegak dan sisi.

2. Saluran penyejukan baharu ditambah pada liang kemasukan kedua bertujuan untuk menstabilkan output enjin pada keadaan pemanduan bersuhu tinggi.

3. Sistem audio JBL Premium telah ditambah baik dengan kehadiran subwoofer pada ruang kargo, diikuti dengan sistem Active Noise Control (ANC).

4. Tidak ketinggalan, sistem Active Sound Control (ASC) untuk penghasilan runut bunyi yang lebih sporti sewaktu pecutan, nyahpecutan. Malah ketika pendikit minyak dilepaskan, sistem ini akan menjana bunyi letupan ekzos.

Dari segi kuasa, GR Corolla 2026 masih kekal dengan enjin G16E-GTS yang mampu menghasilkan 300 hp dan 400 Nm yang dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan.

Untuk pemilik GR Corolla sedia ada, Toyota Gazoo Racing akan memperkenalkan program naik taraf yang mampu meningkatkan angka daya kilas daripada 370 Nm kepada 400 Nm.

Sistem pacuan GR-Four juga akan dinaik taraf, di mana nisbah agihan 30:70 akan digantikan dengan mod Gravel (50:50), sementara mod Track (50:50) boleh ditetapkan kepada 60:40 dan 30:70.

Di Jepun, Toyota GR Corolla 2026 dijual pada harga bermula dari 5,680,000 yen (RM161 ribu) untuk versi manual, dan 5,980,000 yen (RM169 ribu) untuk versi automatik.

 

Lexus LBX adalah sepasang ‘kasut’ kasual yang sesuai dipakai hujung minggu – Pandu Uji

Siapa sangka, crossover cilik lincah berlencanakan Lexus ini datangnya daripada permintaan orang kuat Toyota itu sendiri, iaitu Akio Toyoda.

Ketika awal pembangunan, Akio atau lebih dikenali dengan nama Morizo meminta pasukan R&D untuk menghasilkan sebuah kereta kasual yang boleh dipandu pada hujung minggu persis kasut kegemaran.

Hasilnya, sebuah crossover saiz kompak mewah dengan penampilan menarik dan seronok untuk dipandu – Lexus Breakthrough Cross(X)- over atau LBX.

Lexus LBX merupakan kereta produksi yang paling kecil pernah dihasilkan oleh Lexus dan diposisikan di bawah Lexus UX.

Walaupun dibina berdasarkan platform GA-B yang menjadi tunjang untuk model Yaris Cross pasaran Eropah, LBX bukanlah sekadar sebuah produk kejuruteraan tukar lencana semata-mata.

 

Rekaan

Berbanding Yaris Cross spesifikasi Eropah, LBX mempunyai penampilan yang lebih gagah.

Ia disumbangkan oleh rekaan gerbang roda yang lebih bulat, fender yang lebih lebar dan menonjol, serta saiz tayar yang lebih besar.

Malah, garis bahu LBX lebih rendah jika dibandingkan dengan Yaris Cross, mewujudkan penampilan seakan orang salji dua-bebola dari sudut pandang depan, sisi dan belakang.

Masahiro Sasaki, seorang pelumba yang turut merangkap pemandu uji Toyota menjelaskan rekaan sebegini menampakkan LBX lebih seimbang dan mempunyai titik graviti yang lebih rendah.

Disebabkan itu, penampilan LBX nampak gagah walaupun hanya duduk diam di tempat parkir, apatah lagi apabila dipandu di atas jalan raya.

 

Ruang kabin

Bagi penulis, Lexus LBX lebih sesuai disifatkan sebagai sebuah kereta kasual untuk dipandu pada hujung minggu tanpa mengorbankan aspek praktikaliti.

Ya, ruang penumpang belakang mungkin nampak kecil, dan ianya lebih sesuai digunakan oleh kanak-kanak atau orang dewasa bersaiz kerdil.

Ruang kargo? Adalah dalam 315 liter untuk memuatkan barangan dapur. Atau lipat sahaja kerusi baris kedua, dan anda akan dapat ruang barangan sebesar 992 liter.

Fokus Lexus nampaknya lebih tertumpu kepada konsep Tazuna terutama untuk bahagian kokpit pemandu.

Tidak banyak butang fungsi fizikal disediakan, hanya fungsi-fungsi penting sahaja dikekalkan.

Tujuannya? Untuk memastikan tumpuan pemandu kekal fokus di atas jalan raya.

Butang kawalan pada stereng pula nampak macam kosong tanpa sebarang fungsi, tapi sebenarnya anda boleh tetapkan butang fungsi pintas untuk beberapa operasi dengan mudah.

Cuma, anda kena perhati pada skrin paparan head-up untuk melihat operasi apa yang akan diaktif atau nyahaktif seperti naik atau turunkan kelajuan tiupan angin, atau menukar alunan muzik yang sedang dimainkan.

Untuk permulaan, mungkin agak sukar untuk membiasakan diri, namun lama kelamaan penulis lebih suka cara ini yang dapat meminimumkan pergerakan mata semasa sedang memandu.

Selain itu, Lexus LBX menawarkan tempat duduk yang cukup empuk, selesa dan memegang erat pemandu – ciri yang sukar didapati pada mana-mana kereta dalam segmen serupa.

Skrin tengah 9.8 inci itu memaparkan menu yang mudah untuk diakses, selain menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Skrin kluster digital 12.3 inci itu juga amat menyenangkan mata pemandu, paling penting masih lagi wujud tema meter analog!

Butang pandu mula juga diposisikan agak tinggi bersebelahan dengan meter kluster yang amat mudah dilihat dan dicapai oleh pemandu.

Secara jujurnya, inilah apa yang penulis harapkan daripada sebuah Lexus, sebuah kereta mewah yang masih mengutamakan keperluan seseorang pemandu.

 

Ciri moden yang memudahkan

Dalam ruang kabin LBX, terdapat sehingga empat port pengecasan USB Type C, dan tidak ketinggalan slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar Qi yang turut disediakan.

Sistem audio Mark Levinson dengan 13 pembesar suara sedia untuk menemani anda sepanjang pemanduan bersemangat di hujung minggu.

Urusan bukaan pintu dimudahkan dengan operasi e-Latch, hanya tekan tuil pada panel pintu (dan pemegang pintu di luar) dengan hanya satu jari dan pintu akan terus terbuka.

Meskipun konsol tengah nampak agak sempit untuk memuatkan dua lengan pada satu-satu masa, ia masih lagi dilengkapi dengan butang operasi yang diperlukan oleh pemandu.

 

Enjin hibrid, tapi perangai macam EV

Salah satu perkara yang membuatkan penulis teruja ya amat bila dapat pandu Lexus LBX ialah prestasi enjin hibrid yang cukup bertenaga.

Tidak seperti tipikal kereta hibrid China yang menggunakan enjin turbo, LBX hanya tampil dengan tetapan enjin hibrid aspirasi semula jadi (NA) 1.5 liter kod M15A-FXE.

Nadi berkuasa 90 hp/120 Nm itu dipadankan dengan motor elektrik 93 hp/185 Nm, menghasilkan output keseluruhan sekitar 136 hp.

Sistem transmisi eCVT yang cekap itu memastikan setiap pecutan lincah LBX dapat dinikmati sepenuhnya oleh pemandu, terutama sewaktu ‘berlepas’ dari persimpangan lampu isyarat atau plaza tol.

Setelah puas melayan selekoh, penulis kembali bertenang membawa LBX melalui jalan sekitar ibu kota, dan kebanyakan masa ia akan mengutamakan mod pemanduan EV, menjadikan suasana yang lebih senyap dan selesa.

Malah, ada ketikanya penulis mencatatkan nisbah pemanduan sifar emisi sebanyak 50 peratus untuk perjalanan sejauh 78 km.

Jimat minyak? Itu sudah pasti!

 

Pengendalian dan keselesaan, seimbang!

Secara standard, Lexus LBX dilengkapi dengan tetapan topang MacPherson di depan diikuti sistem torsion beam yang lebih ringkas di belakang.

Atas kertas, memang nampak biasa. Sama macam SUV segmen B yang ada di pasaran pada ketika ini.

Namun, apa yang pasti talaan pengendalian yang diberikan oleh Lexus mampu membezakan prestasi LBX dengan SUV lain.

Sukar untuk penulis merungut negatif sepanjang memandu uji LBX ini, ia rasa stabil dan melekat di setiap selekoh, dan bekerja dengan baik untuk menyerap segala ketidakrataan jalan yang muncul.

Pendek kata, ia memberikan keseimbangan antara kestabilan pengendalian serta keselesaan pemanduan, ditambah pula dengan fungsi Vehicle Braking Posture Control untuk mengurangkan kesan pitch & roll.

Selain itu, respons stereng juga cukup rasa dan input, patuh pada setiap arahan pemandu tanpa rasa ringan yang melampau.

Gandingan harmoni antara casis dengan jarak antara roda yang pendek, enjin bertenaga, transmisi dan sistem gantungan yang cekap itu membuatkan Lexus LBX ini sebuah produk yang istimewa dalam segmennya.

Sukar untuk digambarkan perasaan ini dengan kata-kata, anda perlu masuk dan rasa sendiri pengalaman pemanduan LBX ini jika diberikan peluang.

Deruman enjin tiga silinder tersebut juga kurang kedengaran, hanya sayup-sayup di telinga terutama ketika pedal pendikit ditekan rapat. Namun kebanyakan masa suasana dalam kabin kekal senyap dan selesa.

 

Keselamatan

Secara standard, LBX hadir dengan kelengkapan keselamatan termasuklah lapan beg udara, serta Lexus Safety System+ yang merangkumi fungsi seperti:
• brek kecemasan autonomi
• kawalan jelajah adaptif dengan fungsi berhenti dan pergi
• bantuan kekal korong
• bantuan membelok aktif
• sistem pengecaman papan tanda trafik
• sistem pemantauan titik buta
• amaran bukaan pintu
• bantuan suluhan tinggi automatik

 

Kesimpulan

Dengan tanda harga RM268,888, penulis terpaksa akui LBX bukanlah sebuah kereta mewah yang direka untuk semua orang, dan tidak juga sesuai dijadikan sebagai calon kereta pertama.

Ia mempunyai kelemahan yang mungkin sukar untuk dikompromi, namun hadir dengan pakej yang mampu membuatkan pemandu tersenyum gembira di hujung minggu setelah lima hari bekerja memandu SUV atau MPV.

Ibarat kasut kegemaran, ia amat sesuai dipakai bila mana anda memerlukannya.

 

Spesifikasi Lexus LBX (RM268,888)

Enjin: tiga silinder sebaris, 1.5 liter NA (kod M15A-FXE)
Kuasa: 90 hp/120 Nm
Motor elektrik: 93 hp/185 Nm
Kuasa keseluruhan: 136 hp
Transmisi: eCVT
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson/torsion beam

Jam tangan G-Shock edisi Morizo mula dijual – dari RM654 di Jepun

Toyota Gazoo Racing kini menawarkan jam tangan G-Shock edisi terhad bersempena dengan perlumbaan Fuji Super TEC 24 Jam di Fuji Speedway (31 Mei-1 Jun).

Morizo x G-Shock DW-5600 itu akan dijual dalam kuantiti terhad, selain boleh didapati di kedai dalam talian rasmi Toyota Gazoo Racing di Rakuten JP.

Menggunakan model G-Shock DW-5600 sebagai asas, jam tangan edisi istimewa ini direka sendiri oleh Morizo, nama samaran bagi orang besar Toyota, iaitu Akio Toyoda.

Ia menampilkan perincian seperti skema warna kuning, logo G-Shock berwarna kuning, tanda tangan MORIZO yang akan muncul apabila lampu dinyalakan, serta ilustrasi karikatur muka Morizo pada penutup belakang.

Selain itu, ia juga turut mempunyai logo Morizo pada muka jam, serta logo Morizo RR pada tali jam.

Jam tangan Morizo x G-Shock DW-5600 ini dijual dengan harga bermula dari JPY 22,000 (RM654) di laman web Rakuten.

 

Toyota rancang produksi Century SUV GRMN

Genre SUV berprestasi tinggi kini bukan lagi satu keanehan, memandangkan sudah banyak pengeluar berlumba-lumba menghasilkan produk yang tersendiri.

Tidak terhad kepada pengeluar seperti Audi RS, Mercedes-AMG dan BMW M, malah terdapat juga SUV pantas daripada jenama automotif premium seperti Aston Martin, Bentley dan Lotus.

Bagaimana pula dengan Toyota?

Untuk makluman, Toyota masih lagi belum mempunyai barisan SUV berprestasi tinggi, namun pengeluar itu dikatakan merancang ntuk menghasilkan sebuah model berlencana Gazoo Racing dalam masa terdekat.

Ketika melakukan lawatan ke China untuk berjumpa sendiri dengan para pemilik Century SUV, pengerusi Toyota Akio Toyoda mendedahkan perancangan untuk menghasilkan model Century SUV GRMN supaya “lebih ramai orang dari seluruh dunia dapat menikmati model tersebut.”

Dibina berdasarkan platform TNGA-K, Century SUV dibekalkan dengan enjin bentangan V6 3.5 liter plug-in hybrid menghasilkan kuasa setinggi 406 hp.

Ketika pelancaran model Century SUV, Toyota turut memperlihatkan sebuah model binaan khas Century SUV GRMN dengan penampilan yang lebih sporti, serta rekaan pintu belakang jenis gelangsar.

Untuk model Century SUV varian Gazoo Racing Meister of Nurburgring ini, kita boleh jangkakan naik taraf spesifikasi yang jauh lebih tinggi berbanding model standard GR Sport dan model-model GR (GR Yaris, GR Corolla, GR Supra).

Model Century SUV GRMN tersebut dimiliki oleh Akio Toyoda, di mana beliau juga turut mempunyai sebuah model sedan Century GRMN dengan penampilan yang jauh lebih radikal berbanding sedan Century standard di luar sana.

Akio Toyoda kongsi pengalaman terbabas dalam GR Yaris di fasiliti R&D Shimoyama

Tidak salah untuk penulis sifatkan Toyota sebagai sebuah syarikat automotif yang paling ‘cool‘ di atas muka bumi.

Jika dibandingkan dengan rakan pesaing, ia mempunyai barisan model kereta sports yang cukup menarik seperti GR Yaris, GR Corolla dan GR86, serta beberapa model yang sedang dibangunkan kelak.

Tidak cukup dengan itu, Toyota juga dipimpin oleh seorang insan yang tidak langsung takut untuk mengotorkan tangan memandu uji dan bergiat aktif dalam sukan perlumbaan, iaitu Akio Toyoda selaku pengerusinya.

 

 

Bulan April yang lalu, Akio Toyoda telah merasmikan pembukaan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Toyota Technical Center Shimoyama, Toyota City.

Dalam masa yang sama beliau turut berkongsi pengalaman pernah terbabit dalam satu insiden kemalangan di fasiliti tersebut.

Insiden kemalangan tersebut berlaku pada Disember 2023, di mana Akio Toyoda pada ketika itu memandu sebuah jentera rali GR Yaris bersama-sama juara rali Jepun sembilan kali, Norihiko Katsuta sebagai jurupandu arah.

 

 

Berdasarkan rakaman yang disiarkan, jentera yang dipandu Akio Toyoda itu terbalik dengan keempat-empat tayar menghala ke langit setelah terlanggar satu longgokan batu di salah sebuah selekoh laluan batu kerikil.

Mujur kedua-dua pemandu dan jurupandu arah terselamat tanpa sebarang kecederaan, dan mengambil kesempatan untuk menyampaikan sendiri kisah pengalaman tersebut semasa pembukaan pusat R&D tersebut.

 

 

Jentera rali GR Yaris yang terbabas itu turut sama dipamerkan dalam acara tersebut, di mana idea di sebalik keputusan ini adalah untuk memperlihatkan mantera yang Toyoda mahu semua pekerja di Shimoyama amalkan, iaitu “Pandu, Rosak, Baiki” (Drive, Break, Fix).

Ini adalah bertepatan dengan apa yang diungkapkan sendiri oleh Akio Toyoda yang menyifatkan pusat R&D baharu ini sebagai lokasi terbaik untuk memandu, merosakkan dan menambahbaik kereta yang sedang dibangunkan.

Pusat R&D Shimoyama ini turut mempunyai sebuah litar ujian yang diinspirasikan daripada Litar Nurburgring sepanjang 5.3 km serta rekaan ruang pit yang turut menepati tema litar Neraka Hijau yang terkenal itu.

 

Toyota Technical Center Shimoyama kini lengkap, fasiliti seakan Litar Nurburgring

“Mari terus hasilkan enjin” – Pengerusi Toyota

PENGELUAR kereta terbesar dunia, Toyota, tidak mahu menyerah kalah dalam enjin pembakaran dalaman. Mereka ingin meneruskan komitmen itu dan ianya hasil dari hala tuju oleh pengerusinya yang juga ‘kaki kereta’, Akio Toyoda.

Beliau mahu melindungi jutaan pekerjaan di Jepun dan pada masa yang sama menawarkan pilihan kepada pembeli-pembeli kereta masa depan.

“Kepada mereka yang telah membuat enjin dari dulu hingga sekarang, mari terus hasilkan enjin,” kata Toyoda semasa acara Tokyo Auto Salon 2024 (TAS2024).

“Disebabkan kita pencinta kereta kitab oleh membentuk masa depan. Keinginan saya untuk menikmati kereta membuatkan saya mahu mencuba pelbagai teknologi. Ini satu perkara yang saya serius,” katanya.

Tambahnya, seramai lebih 5.5 juta pekerja terlibat dalam pembuatan enjin di Jepun. “Kita jangan kehilangan mereka ini,” kata Toyoda.

Beliau menggariskan pelan pelbagai hala Toyota dalam mobiliti masa depan.

“Bagaimana cara mencapai neutraliti karbon bergantung kepada negara dan rantau. Walaubagaimanapun, bukankah keinginan kereta yang kita perlukan?”

“Saya mendapati bahawa, di luar negara, kami mempunyai ramai rakan sekerja yang mempunyai minat dan keinginan sama.”

Menurutnya, kenderaan BEV (elektrik bateri) bukanlah satu-satunya cara mencapai neutraliti karbon, Toyota juga sedang menjalankan pembangunan hidrogen sejak tiga tahun lepas.

“Tahun lepas, kami mencuba hidrogen cecair dan memandunya di Le Mans. Masih terdapat tugas untuk enjin dalam mencapai neutraliti karbon. Jadi, mari perhalusi teknologi enjin. Mari mulakan projek itu.”

Permintaan EV berkurang, Akio Toyoda buktikan beliau di pihak yang betul

TOYOTA merupakan antara syarikat paling lambat beralih ke arah kenderaan elektrik (EV), mereka diibaratkan hanya duduk melihat pengeluar-pengeluar lain membelanjakan jutaan dolar untuk teknologi baharu ini.

Daripada terus beralih ke EV, Toyota masih tetap melabur dalam teknologi hibrid dan hidrogen, kerana merasakan ada beberapa cara bagi mengurangkan pelepasan kea lam sekitar.

Dan dengan jualan EV menurun untuk 2023, permintaan berkurang, dan kadar faedah berkemungkinan meningkat, pengeluar-pengeluar lain mula memahami apa yang Toyota telah perkatakan selama ini.

“Terdapat banyak cara lain ‘mendaki gunung’ untuk neutralisasi karbon,” kata bekas CEO Toyota itu kepada wartawan semasa Japan Mobility Show baru-baru ini.

Kereta elektrik sudah pun lebih mahal dari model petrol atau hibrid. Ditambah dengan kos tinggi serta halangan dari segi jarak dan pengecasan, pelanggan kini seolah-olah kurang berminat dengan kenderaan EV sepenuhnya.

“Permintaan EV boleh menjadi lebih rendah dari yang dijangkakan,” kata Lee Chang-sil, Ketua Pegawai Kewangan bagi pembekal bateri LG Energy Solutions.

GM yang telah banyak memberi pelaburant terhadap platform EV Ultium, baru-baru ini menurunkan sasaran jualan 400,000 mereka menjelang 2024, dalam membangunkan EV yang lebih berdaya saing.

GM dan Honda juga baru-baru ini mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing bagi EV mampu-milik, selepas mengumumkan kerjasama pembangunan lebih setahun lalu.

Sementara itu, Toyota tidak pernah hilang keyakinan terhadap hibrid mereka, termasuk PHEV. Jack Hollis, ketua bahagian jualan Toyota di Amerika Utara baru-baru ini berkata permintaan hibrid mereka menjadi hangat.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna Toyota membatalkan terus pelaburan terhadap EV. Mereka mendedahkan dua konsep EV semasa Japan Mobility Show baru-baru ini, termasuklah pengganti MR2. Mereka juga menayangkan konsep Land Cruiser EV dan trak pikap elektrik.

Jadi, Toyota masih berminat dengan EV, cuma mereka menganggap EV hanya sebahagian dari cara-cara mencapai neutralisasi karbon.

Akio Toyoda letak jawatan sebagai presiden dan CEO Toyota bermula 1 April

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda akan melepaskan jawatannya bermula 1 April ini dan akan digantikan oleh Ketua Pegawai Penjenamaan Toyota, Presiden Lexus International Co. dan GAZOO Racing Company, Kaji Sato.

Sato, 53, telah mengetuai divisyen Toyota Lexus dan GAZOO Racing Company sejak 2020.

Dari kiri: Akio Toyoda, Koji Sato dan Takeshi Uchiyamada

Toyoda masih akan kekal bersama TMC namun akan menyandang jawatan pengerusi lembaga, manakala pengerusi sedia ada iaitu Takeshi Uchiyamada akan meneruskan tugas sebagai ahli lembaga.

Kini berusia 66 tahun, Toyoda merupakan cucu kepada pengasas Toyota, Kiichiro Toyoda dan telah berkhidmat sebagai ketua eksekutif sejak Jun 2009.

“Saya fikir cara terbaik untuk meneruskan transformasi Toyota ialah dengan saya menjadi pengerusi bagi menyokong presiden baharu, dan ini telah membawa kepada keputusan hari ini. Pengerusi Uchiyamada telah lama menyokong saya dalam semua cara yang boleh dibayangkan,” kata Toyoda.

“Jika diimbas kembali, 13 tahun ini adalah tempoh bergelut untuk bertahan satu hari selepas yang berikutnya, dan itulah perasaan jujur ​​saya,” tambah beliau.

Sementara itu, Uchiyamada pula berkata peletakan jawatannya telah mencetuskan perubahan struktur dalam Toyota, sambil menambah bahawa beliau telah lama mempertimbangkan untuk bersara bagi memberi ruang kepada generasi baharu.