Arkib Tag: Aion Hyptec HT

GAC Aion Hyptec HT muncul dengan pintu gullwing di Malaysia Autoshow 2025, bakal lancar Q3 2025

Selain daripada GAC M8 PHEV, satu lagi model yang mencuri perhatian di ruang pameran WTC Automotif semasa Malaysia Autoshow 2025 ialah GAC Aion Hyptec HT, sebuah SUV elektrik sepenuhnya yang menampilkan pintu belakang gaya gullwing yang unik.

Model ini dipamerkan dalam konfigurasi pemanduan sebelah kanan, memberi petanda bahawa pelancarannya di pasaran tempatan semakin hampir iaitu sekitar suku ketiga 2025.

Spesifikasi untuk pasaran Malaysia masih belum diumumkan, namun besar kemungkinan ia akan menyerupai model pasaran Thailand.

Di negara gajah putih itu, Hyptec HT ditawarkan dalam dua varian iaitu Luxury dengan pintu gullwing, dan Premium dengan pintu biasa.

Kedua-dua varian ini dilengkapi motor elektrik pacuan belakang yang menghasilkan 340 PS dan 430 Nm tork, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam 5.8 saat.

Ia dipadankan dengan bateri LFP berkapasiti 83.3 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 620 km berdasarkan kitaran NEDC)

Kemudahan pengecasan termasuk pengecasan AC 11 kW dan DC sehingga 280 kW. Dengan pengecasan pantas, bateri tersebut boleh dicas dari 10% ke 70% dalam hanya 15 minit.

Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) turut disediakan, dengan kuasa maksimum 3.3 kW untuk menguasakan peranti luaran.

Ciri dalaman termasuk skrin sentuh 14.6 inci, panel instrumen digital 8.8 inci, tempat duduk balutan kulit Nappa dengan fungsi urut, sistem bunyi Dolby Atmos dengan 22 pembesar suara dan tempat duduk belakang dengan mod VIP serta meja lipat.

Di Thailand, harga Hyptec HT bermula sekitar RM189,000, sekaligus meletakkannya sebagai pesaing serius kepada model-model seperti Tesla Model Y dan Zeekr 7X dalam segmen SUV elektrik premium.