Arkib Tag: ai

Ujian rintis AWAS guna AI kesan pemandu lebih had laju di PLUS, KLK bermula Jun ini

Ujian perintis Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) menggunakan kaedah ‘point-to-point‘ akan dilaksanakan menjelang Jun ini, lapor Berita Harian.

Kaedah tersebut akan digunakan untuk mengesan pemandu yang melebihi had laju dengan mengukur tempoh dan jarak perjalanan, selain menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Untuk permulaan, dua lokasi laluan lebuh raya akan dipilih untuk projek rintis ini, iaitu di laluan terowong Genting Sempah ke hentian Rehat Gombak (Lebuhraya KL-Karak), dan Plaza Tol Senawang ke Plaza Tol Simpang Ampat (Lebuhraya Utara Selatan).

Sistem ini juga akan dipasang di lokasi yang sering berlaku kemalangan, seperti contoh lokasi Terowong Menora ke Hentian Rehat Sungai Perak.

Dalam temubual bersama Berita Harian, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata, sistem ini dapat mengesan pemandu melanggar had laju sekiranya tiba di destinasi lebih cepat berbanding anggaran tempoh sepatutnya.

“Sistem ini dipasang di plaza tol, akan ambil bacaan masa perjalanan berdasarkan jarak ke jarak.

“Contohnya pemandu dari Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, Perak, tiba lebih awal dari masa sepatutnya, jadi nombor plat kenderaan akan dikesan dan saman dikeluarkan automatik,” katanya.

Dengan bantuan AI, sistem ini dapat mengesan tempoh seorang pemandu berhenti di mana-mana lokasi untuk memanjangkan tempoh perjalanan bagi mengelak dikesan.

Ujarnya lagi, sebuah syarikat telah dilantik untuk mengendalian proses pembuktian konsep (POC) tanpa memberikan impak kewangan kepada kerajaan.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mendedahkan sistem kamera AWAS akan ditambah baik dengan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.

Ini kerana pelaksanaan kamera AWAS pada ketika ini dilihat tidak mencapai objektif mengurangkan kelajuan kenderaan dan mengurangkan risiko kemalangan.

Toyota, Stanford bangunkan kereta drift swapandu untuk tujuan keselamatan

INSTITUT Penyelidikan Toyota (TRI) dan Stanford Engineering mengumumkan mereka telah berjaya melakukan aksi drift seiring atau tandem dengan dua buah Toyota GR Supra swapandu.

Kedua-dua pasukan telah bekerjasama dalam penyelidikan untuk menjadikan pemanduan lebih selamat. Tetapi apa kaitan kereta drift swapandu dengan keselamatan?

Menurut TRI, dengan menggunakan kereta kedua semasa drift, mereka telah mensimulasikan keadaan di mana kereta perlu bertindak balas segera terhad kenderaan lain, pejalan kaki dan penunggang basikal.

Kedua-dua kereta tersebut diprogramkan untuk melakukan aksi drift tandem itu menggunakan teknologi AI. Algoritma pada kereta depan telah dibangunkan di TRI, manakala Stanford membangunkan algoritma untuk kereta yang mengejar.

TRI menumpukan pada membangunkan mekanisme kawalan yang stabil untuk kereta depan bagi membolehkan ia membuat drift berulang kali dengan selamat.

Sementara itu, model AI dan algoritma Stanford pula membolehkan kereta belakang bertindak balas dengan pergerakan kereta depan supaya ia boleh drift tanpa berlanggar.

Kedua-dua GR Supra itu diubahsuai oleh GReddy dan Toyota Racing Development (TRD) dan dibina mengikut spesifikasi Formula D.

Selain itu, TRI dan Stanford juga memasang komputer dan sensor pada kedua-dua kereta yang untuk mengawal stereng, pendikit dan brek, serta mengesan pergerakan.

Kereta-kereta ini berkongsi rangkaian WiFI bagi membolehkan ia berkomunikasi dan bertukar maklumat. Untuk melakukan drift tandem, ia perlu merancang stereng, pendikit dan brek serta trajektori yang hendak diikut menggunakan teknik Nonlinear Model Predictive Control (NMPC).

Sarawak guna lampu isyarat AI di simpang berisiko kemalangan

SARAWAK sedang menguji kamera litar tertutup (CCTV) dengan kecerdasan buatan (AI) pada lampu isyarat di sekitar bandaraya Miri. Inisiatif ini sebagai usaha mengurangkan kesalahan trafik, kesesakan, dan kemalangan jalan raya.

Buat masa ini, CCTV itu dipasang di lampu isyarat Jalan Merbau dan Jalan Pujut-Miri. Dengan penggunaan AI, CCTV ini mampu merakam kelajuan kenderaan, mengenal pasti nombor pendaftara, serta mengenal pasti beberapa kesalahan trafik.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin, projek itu telah menunjukkan hasil positif dalam masa seminggu penggunaannya.

Katanya, seorang pesalah trafik berulang telah dirakam oleh kamera kerana memandu laju sebanyak lapan kali dalam tempoh seminggu.

“Tempoh ujian akan berlangsung selama enam bulan dan keputusannya akan dibentangkan kepada kementerian untuk menentukan langkah seterusnya,” kata Lee.

Beliau menerangkan data yang dikutip akan dianalisis untuk mendapatkan maklumat berkenaan tingkah laku trafik, mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, dan membolehkan keputusan dibuat berdasarkan data untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.

Lee berkata hampir mustahil untuk ‘lari’ dari pengecaman kerana sistem itu mampu mengenal pasti data seperti aliran trafik, warna kenderaan, jenis, model, jenama, kelajuan, nombor pendaftaran, dan terus merekodkan kesalahan pemandu.

Bagi kami, ini satu insiatif yang bagus bagi penggunaan AI untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.

Mungkin aplikasi ini boleh diperluaskan lagi dengan meletakkan juga CCTV AI di lorong kecemasan dan kawasan sesak untuk merekodkan pemandu yang memotong barisan atau menyalah guna lorong kecemasan.

Pastinya banyak lagi penggunaan yang boleh dimanfaatkan dari CCTV AI ini selain dari di simpang lampu isyarat.