Arkib Tag: AFY Mobility Industries

AFAZ sahkan kehadiran supermoped buatan tempatan, enjin GSX-R150

Ini merupakan satu perkembangan menarik yang datang daripada jenama motosikal nasional kedua, AFAZ.

Hujung minggu lalu, pihak AFAZ mendedahkan beberapa info tentang perkembangan terbaharu sebuah lagi model yang bakal dilancarkan tahun ini, iaitu supermoped 150 cc.

Ya, nampaknya Modenas Z15GT bakal ada pesaing sebenar tak lama lagi!

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

1. Supermoped AFAZ ini akan menggunakan enjin 147 cc daripada GSX-R150.

Difahamkan, enjin yang mampu menghasilkan kuasa 19 hp @ 10,500 rpm dan daya kilas 14 Nm @ 9,000 rpm ini akan ditala semula oleh pihak AFAZ.

 

2. Ketika acara berlangsung, kami tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang gambar rupa sebenar supermoped tersebut.

Unit prototaip yang dipamerkan selepas itu didapati mengguna pakai komponen daripada Raider 150.

Namun usah risau kerana menurut AFAZ, casis bagi supermoped ini akan dibangunkan serba baharu, dan segala komponen lain turut dibuat sendiri oleh pihak AFAZ.

 

 

3. Supermoped AFAZ ini dikategorikan sebagai sebuah model premium yang setanding dengan model Yamaha Y16ZR.

Antara ciri yang boleh kita jangkakan termasuklah skrin paparan TFT dengan sokongan arahan suara, ABS dua-saluran, lampu LED dan ciri yang lebih sesuai untuk sebuah motosikal pantas.

 

4. Satu lagi benda menarik yang dikongsikan ialah supermoped ini bakal menggunakan sistem auto clutch yang dibangunkan oleh Amitech, sebuah sub-syarikat di bawah AFY Mobilities.

Sistem auto clutch ini akan debut pada model Raider pasaran Vietnam, sebelum ditawarkan pada model supermoped AFAZ ini.

5. Sedang berkira-kira untuk mencari supermoped selain Yamaha, Honda dan Modenas?

Anda boleh menantikan kemunculan model ini tidak lama lagi, jangkaan pelancaran mungkin dalam separuh kedua tahun ini (H2 2026).

AFAZ Kencana Sport 115 rasmi di Malaysia – harga RM5,799

Malaysia kini mempunyai sebuah lagi jenama motosikal baharu, iaitu AFAZ yang merupakan kerjasama antara pihak AFY Mobility Industries dan Suzuki.

Model pertama yang dilancarkan untuk tahun ini ialah AFAZ Kencana Sport 115, sebuah kapcai bersesaran 115 cc dengan harga jualan RM5,799.

Ia hadir dengan enjin silinder tunggal SOHC piawaian Euro4 yang mampu menjana kuasa setinggi 9.1 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 9.0 Nm @ 6,500 rpm yang dipadankan dengan kotak gear empat-kelajuan.

Enjin itu tadi turut mendapat sistem sejukan minyak Suzuki (SOCS).

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik depan diikuti penyerap hentak berkembar KYB di belakang.

Brek pula menggunakan rotor tunggal bersaiz 220 mm di depan, dibantu dengan brek gelendong di belakang.

Antara ciri yang tersedia termasuklah unit lampu LED depan belakang, paparan meter analog yang mudah untuk dibaca, tangki bahan api sebesar 4.2 liter dan tinggi pelana 760 mm.

Dua warna menarik ditawarkan iaitu Delima Red dan Laguna Blue.

Indian Motorcycle Scout 2025 rasmi di Malaysia – lima varian, harga dari RM103,900

Spirit Lake Motor Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif Indian Motorcycle di Malaysia melancarkan barisan model Scout 2025 untuk pasaran tempatan.

Terdapat lima varian utama yang ditawarkan seperti berikut:

101 Scout

  • Sunset Red Metallic Limited+Tech: RM139,600
  • Ghost White Metallic Limited+Tech: RM139,600

Super Scout

  • Black Smoke Limited+Tech: RM134,500

Scout Classic

  • Sunset Red Metallic Limited+Tech: RM128,800

Scout Bobber

  • Black Metallic Standard: RM103,900
  • Sunset Red Smoke Limited+Tech: RM121,100
  • Spirit Blue Metallic Limited+Tech: RM124,300

Sport Scout

  • Black Metallic Standard: RM106,800
  • Storm Blue Limited+Tech: RM113,500
  • Nara Bronze Metallic Limited+Tech: RM117,300

Kesemua varian dikuasakan oleh enjin V-Twin 1,250 cc Speedplus sejukan cecair yang mampu menjana kuasa setinggi 105 hp dan 108 Nm (111 hp/111 Nm untuk varian 101 Scout).

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi enam-kelajuan.

Trim Standard mendapat kelengkapan seperti sistem brek ABS, sistem pencahayaan LED serta tolok meter analog.

Sementara trim Limited pula menawarkan fungsi seperti kawalan jelajah dan cengkaman, tiga mod pemanduan serta slot pengecasan USB.

Trim Limited+Tech pula menambah ciri ekstra seperti sistem pencucuhan tanpa kunci, skrin paparan digital empat inci serta Ride Command+ untuk akses kepada informasi penting serta penjejak lokasi motosikal.

 

Indian Motorcycle 101 Scout 2025

Indian Motorcycle Super Scout 2025

Indian Motorcycle Scout Classic 2025

Indian Motorcycle Scout Bobber 2025

Indian Motorcycle Sport Scout 2025

Jenama Indian Motorcycle di Malaysia kini dikendalikan oleh Spirit Lake Motor Sdn Bhd

Jenama motosikal pertama dari Amerika Syarikat, Indian Motorcycle kini kembali semula ke pasaran Malaysia.

Ia kini dikendalikan oleh pengurusan baharu Spirit Lake Motor Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah kumpulan AFY Mobility Industries (AMI).

Nama Spirit Lake Motor itu diambil sebagai satu rujukan kepada kilang Indian Motorcycle di Spirit Lake, Iowa, Amerika Syarikat.

Ia juga merupakan satu penghormatan terhadap warisan dan komitmen jenama ini terhadap mutu kerja dan seni pembuatan motosikal lagenda.

Sebagai pengedar eksklusif, Spirit Lake Motor bukan sahaja menawarkan rangkaian produk premium, malah turut menyediakan manfaat pemilikan menyeluruh termasuklah perkhidmatan selepas jualan, alat ganti, sokongan teknikal, jaminan dan perlesenan barangan aksesori rasmi.

Semua ini demi memastikan pengalaman pemilikan penuh yang lancar dan sempurna buat semua pemilik Indian Motorcycle di Malaysia.

Turut dipamerkan ialah barisan penuh model-model ikonik seperti:
• Chieftain Dark Horse
• Springfield Dark Horse
• Scout
• Scout Bobber Twenty
• Scout Rogue
• Scout Bobber

Buat masa terdekat, Indian Motorcycle Malaysia beroperasi secara rasmi di ruang pameran AMI Showroom di PJ222, Petaling Jaya.

Spirit Lake Motor turut merancang untuk membuka pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) serba baharu menjelang hujung tahun ini.

AMI pengedar rasmi jenama Indian Motorcycle di Malaysia

AFY Mobility Industries (AMI) mengumumkan kemunculan semula jenama motosikal premium Indian Motorcycle untuk pasaran tempatan.

Pengedaran model Indian Motorcycle ini dikendalikan oleh subsidiari AMI, iaitu Spirit Lake Sdn Bhd.

Serentak dengan itu, AMI turut mengumumkan pembukaan pusat pameran yang terletak di Jalan PJ222, Petaling Jaya.

Anda boleh datang berkunjung dan melihat dengan lebih dekat barisan model seperti Scout ABS Icon, Scout Bobber dan Scout Rouge ABS.

Jenama Indian Motorcycle ini juga akan membuat kemunculan di acara pameran Malaysia Autoshow 2025 bertempat di MAEPS, Serdang pada 9-15 Mei ini.

Suzuki Malaysia lancar kempen keselamatan, tema “Kongsi Jalanraya, Tunggang Berhemah”

Suzuki Malaysia Sdn Bhd semalam (14 Januari) melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya AMI-Suzuki 2025 di Dataran Ilmu, Stadium Selayang.

Kempen tersebut dilancarkan dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA) dan disempurnakan oleh YB Datuk Haji Hasbi Haji Habibollah selaku Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia.

Kempen bertemakan “Kongsi Jalanraya, Tunggang Berhemah” ini dianjurkan buat kali ke-2 oleh pihak Suzuki Malaysia, dan kali ke-8 oleh AFY Mobility Industries (AMI).

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya di kalangan penunggang motosikal, pemandu kenderaan dan masyarakat umum.

Selain itu, kempen ini diharap dapat menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan selain membentuk budaya jalan raya yang lebih selamat.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang disediakan kepada pengunjung, termasuklah pemeriksaan motosikal 16 poin secara percuma, penukaran topi keledar baharu (400 unit), pemberian topi keledar kanak-kanak, serta pameran motosikal dan aksesori keselamatan.