Arkib Tag: Afeela

Afeela Prototype 2026: Sony Honda Mobility dedah model EV kedua di CES

Sony Honda Mobility (SHM), usaha sama di sebalik jenama kenderaan elektrik Afeela, telah memperkenalkan model keduanya di Consumer Electronics Show (CES) di Las Vegas.

Model baharu ini buat masa ini dikenali sebagai Afeela Prototype 2026 dan tampil dalam bentuk SUV elektrik dengan gaya fastback.

Walaupun spesifikasi teknikal masih belum didedahkan, SHM menyatakan bahawa Afeela Prototype 2026 dibangunkan berasaskan teknologi yang diperkenalkan menerusi model pertamanya iaitu sedan elektrik Afeela 1.

Ini menunjukkan bahawa model baharu ini berkemungkinan menggunakan platform dan seni bina elektronik yang sama, dengan penekanan kuat terhadap perisian, ketersambungan, hiburan digital serta sistem bantuan pemandu termaju.

Jika dibandingkan dengan Afeela 1 yang lebih rendah, bentuk SUV ini dijangka menawarkan ruang kabin yang lebih luas serta akses keluar masuk yang lebih mudah, sekali gus menjadikannya lebih mesra pengguna untuk pasaran yang lebih besar.

Seperti model Afeela yang pertama, tumpuan utama bukan sekadar pada prestasi, tetapi pada pengalaman di dalam kenderaan itu sendiri. SHM membayangkan kereta-keretanya sebagai ruang mobiliti interaktif, lengkap dengan pembantu berasaskan AI, sistem infotainmen imersif, dan pelbagai ciri bantuan pemanduan.

Buat masa ini, syarikat itu mengesahkan bahawa versi produksi model ini disasarkan untuk dilancarkan di pasaran Amerika Syarikat pada tahun 2028.

Strategi ini selari dengan pendekatan biasa dalam industri EV, iaitu memulakan langkah dengan model sedan terlebih dahulu sebelum memperkenalkan SUV yang lazimnya mempunyai tarikan pasaran lebih luas. Jenama seperti Tesla, Porsche, Rivian dan Lucid turut mengikuti laluan yang sama dalam membina barisan EV masing-masing.

Dalam pada itu, tempahan untuk Afeela 1 telah dibuka di California, dengan penyerahan kepada pelanggan dijadualkan bermula tahun ini, sebelum jualan diperluaskan ke negeri Arizona menjelang 2027.

Di luar AS, penghantaran di Jepun dijangka bermula pada separuh pertama tahun hadapan. Bagi pasaran lain, termasuk Asia Tenggara dan Malaysia, setakat ini masih belum ada sebarang pengumuman rasmi.

Sony Honda Mobility bakal lancar 3 EV menjelang 2030

Syarikat kerjasama antara Sony dan Honda dijangka bakal melancarkan sehingga tiga model kenderaan elektrik (EV) menjelang penghujung dekad ini.

Menurut laporan Nikkei Asia, Sony Honda Mobility akan melancarkan sebuah sedan pada tahun 2025, diikuti SUV pada tahun 2027, serta sebuah model kompak ‘mampu milik’ selepas tahun 2028.

Ketiga-tiga model tersebut dijangka akan menggunakan jenama Afeela, dan bakal memberikan saingan secara terus kepada barisan model EV Tesla.

Selain berkongsi satu platform kenderaan yang sama, model kompak Sony Honda Mobility itu akan berkongsi komponen yang sama untuk menjimatkan kos pembangunan.

Sony Honda Mobility sebelum ini memperlihatkan dua buah model konsep, iaitu Vision S-01 dan SUV elektrik Vision S-02.

Namun pada awal tahun 2024, kerjasama dua syarikat itu memperlihatkan sedan elektrik Afeela dengan spesifikasi dan rupa yang lebih mirip kepada versi produksi sebenar.

 

 

Afeela EV yang bakal dilancarkan pada tahun 2025 itu menampilkan tetapan motor elektrik berkembar dengan kuasa keseluruhan 483 hp.

Pek bateri lithium-ion berkapasiti 91.0 kWh itu turut menyokong pengecasan pantas 150 kW, selain pengecasan Tahap 2 11 kW.

 

Sony Vision S-01 Concept

Sony Vision S-02 Concept

Sony Afeela EV Concept @ CES 2024