Arkib Tag: ae86

Toyota hasilkan semula kepala silinder dan blok enjin 4A-GE, pelancaran Mei 2026

Berita baik untuk pemilik AE86! Toyota Gazoo Racing (TGR) mengumumkan bahawa ia akan menghasilkan semula komponen enjin legenda 4A-GE menerusi projek GR Heritage Parts.

Enjin empat silinder ini cukup ikonik kerana pernah menjadi nadi Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno, yang hingga kini masih menjadi sebutan dalam dunia drift.

Komponen utama enjin 4A-GE yang akan dihasilkan semula adalah kepala silinder dan blok silinder. Walaupun mengekalkan bentuk dan spesifikasi asal, Toyota menggunakan teknologi simulasi moden, bahan lebih kukuh serta proses pembuatan terkini untuk memastikan ia berada dalam keadaan tip top.

Pada bahagian kepala silinder, ruang pembakaran kini diproses dengan lebih teliti bagi mengurangkan perbezaan kecil, sekaligus menjadikan prestasi lebih konsisten.

Saluran kemasukan udara pula dilapisi bagi meratakan permukaan, manakala ‘knock pin’ pada ‘cam cap’ kini dipasang sepenuhnya supaya kerja pemasangan jadi lebih mudah dan tepat.

Blok silinder turut menerima sentuhan moden menerusi proses penggilapan halus (honing) untuk menjadikan dinding silinder lebih tepat. Ia kini dibina menggunakan besi tuang lebih kukuh, manakala struktur ‘crank-cap’ diperkukuh menggunakan teknologi simulasi supaya lebih tahan lama.

Selain itu, beberapa bahagian pada saluran masuk dan ekzos kini dibuat dengan dinding lebih tebal.

Blok enjin baharu ini turut ditambah dengan ‘boss’ dan ‘rib’ yang membolehkan ia dipasang secara melintang (transverse). Ini bermakna, ia bukan saja sesuai untuk jentera pacuan roda belakang, malah boleh digunakan pada model pacuan roda hadapan.

Komponen ini dijangka mula dipasarkan secara rasmi pada Mei 2026. Bagaimanapun, ia akan dipamerkan lebih awal bersama sebuah AE86 yang telah direstorasi sepenuhnya semasa acara Initial D 30th Anniversary 2days di Fuji Speedway, Jepun pada 13 dan 14 September ini.

Pemilik dan peminat boleh membuat pra-tempahan terus di reruai khas sepanjang acara tersebut. Sebagai alternatif, Toyota Gazoo Racing juga akan membuka pra-tempahan menerusi laman web rasmi GR Heritage Parts.

Toyota AE86 versi hidrogen dan elektrik muncul di Tokyo Auto Salon

ACARA Tokyo Auto Salon 2023 yang membuka tirainya hari ini (13 Januari 2023) menyaksikan kemunculan dua Toyota AE86 yang telah diubah suai menjadi kenderaan elektrik.

Seperti yang boleh dilihat, kedua-dua jentera konsep berkenaan tampil dengan livery hitam putih dari siri animasi Initial D yang bertanggungjawab melonjakkan nama AE86.

Bagaimanapun, kedua-duanya mempunyai sumber kuasa yang berbeza. Corolla Levin dengan lampu depan tetap merupakan versi elektrik bateri (BEV) manakala Sprinter Trueno dengan lampu pop-up dikuasakan oleh enjin hidrogen (H2).

Untuk pembangunan AE86 BEV, Toyota menggunakan motor elektrik daripada Tundra HEV dan bateri Prius PHEV, serta mengekalkan sebanyak mungkin elemen asal AE86, termasuk transmisi manual. Toyota mendakwa gabungan ini menjadikan ia lebih seronok dipandu berbanding versi original.

Sementara itu, AE86 H2 pula masih mempunyai 1.6-liter empat silinder dan transmisi manualnya namun ia telah digandingkan dua tangki penyimpanan hidrogen yang diambil daripada Mirai. Modifikasi turut dilakukan pada penyuntik bahan api, paip bahan api dan palam pencucuh namun secara minimum.

Selaras dengan sasaran neutraliti karbonnya, Toyota menggunakan kerusi terpakai yang diperbaharui, serta tali pinggang keledar yang diperbuat daripada bahan kitar semula pada kedua-dua hachiroku ini.

Menurut Toyota, model konsep ini merupakan sebahagian daripada usahanya untuk mempromosikan neutralisasi karbon bukan sahaja pada kenderaan baharu malah untuk kenderaan yang masih digunakan oleh pelanggan.

Tidak diketahui sama ada conversion kepada EV ini akan ditawarkan kepada pelanggan atau tidak, namun ia sekurang-kurangya menunjukkan bahawa pengeluar itu mempunyai teknologi dan kepakaran untuk melakukannya.

Toyota AE86 Sprinter Trueno untuk dijual kepada hati kental sahaja, RM160k dengan penuh ‘jajan’

Jarang-jarang kami naikkan iklan jual kereta, biasanya hanya jentera terpilih yang kami rasa ingin kongsikan dengan anda para pembaca.

Dan untuk hari ini, jentera yang ingin kami kongsikan ialah sebuah Toyota AE86 Sprinter Trueno GT Apex original. Tidak selalu ia timbul di laman jualan, tetapi pastinya ada sahaja tersimpan di garaj-garaj pemilik bertuah negara kita.

Ia sebuah jentera yang cukup ikonik bagi peminat kereta. Terkenal di litar lumba, di litar drift, di skrin filem, anime, malah di lampiran kertas manga. Silap-silap yang bukan kaki kereta pun kenal AE86 ini.

Ya, Toyota AE86 Sprinter Trueno ini untuk dijual lengkap dengan segala ‘jajan’ sekali jalan. Maka, harganya pun kami rasa padan untuk pakej diberikan. Mari kita lihatkan dulu perincian spesifikasi AE86 ini, seperti dikongsi oleh pemiliknya:

ENGINE: 4AGE 16v

  • Upgraded Toda Cam pulley
  • Upgraded NGK Plug Cable
  • SARD Fuel Regulator
  • Upgraded SARD Big Radiator
  • Upgraded 5zigen Exhaust Manifold
  • Upgraded Honda High Torque Starter

BOTTOM PART

  • Upgraded TRD Poly Bushings
  • Upgraded TRD Full lock LSD 4.3 Gear Ratio
  • Upgraded EXEDY Heavy Duty Clutch Pad
  • Federal RSRR semi slick tyre 205/50/15 4 pcs
  • 15″ 9JJ Atara Racing Pisang Wheels
  • (Front) Upgrade Japan JIC HLSF Adjustables
  • (Rear) Upgrade Japan TRD SH Absorbers

BODY PART

  • VARIS Carbon Fiber hood
  • Carbon Fiber headlight cover
  • D-Max Side skirt
  • TRD duck tail

INTERIOR

  • Nardi Deep Dish Steering
  • Stock Kouki Interior
  • Other than steering, all remain stock condition

Extra: Ultra racing front and rear strut bar

Lazat? Ya, hampir meleleh juga air liur penulis membaca spesifikasinya. Sayang sekali tiada bajet untuk menyambar.

Harga ditawarkan ialah RM160,000, boleh dirunding. Jika anda berkemampuan dan berminat, boleh hubungi terus nombor-nombor tertera di bawah:

Brian: 016-210 0628
Winnie: 011-3700 1216

Toyota AE86 Trueno 1986 ini diiklankan di Facebook Group Kereta Turbo untuk dijual, dan anda boleh lihat terus iklannya di sini.