Arkib Tag: 660 cc

Generasi ketujuh Daihatsu Move 2025 rasmi dilancarkan di Jepun

Inilah dia generasi baharu kei car popular Daihatsu Move yang sepatutnya dilancarkan dua tahun lepas, namun perancangan tersebut tertangguh disebabkan skandal isu keselamatan yang melibatkan jenama itu.

Daihatsu Move 2025 dibekalkan dengan enjin tiga silinder 658 cc yang boleh didapati dalam dua versi.

Unit aspirasi semula jadi (NA) mampu menghasilkan kuasa 51 hp @ 6,900 rpm dan daya kilas 60 Nm @ 3,600 rpm, sementara unit pengecas turbo pula menghasilkan 63 hp @ 6,400 rpm dan daya kilas 100 Nm @ 3,600 rpm.

Sayang sekali, tiada pilihan transmisi manual disediakan, pembeli hanya boleh mendapatkan kotak gear CVT, namun dengan pilihan pacuan roda depan atau semua roda (AWD).

Dari segi ukuran, Move mengekalkan panjang 3,395 mm, namun dengan jarak antara roda 5 mm lebih panjang (2,460 mm).

Ia juga kini menggunakan platform DNGA (sama platform dengan Hijet & Atrai), menampilkan rekaan luaran yang lebih moden dan praktikal.

Seperti contoh, unit lampu dan jeriji hadapan yang lebih kemas, bampar hadapan yang lebih sporti, serta bukaan pintu penumpang belakang jenis gelangsar.

Di bahagian belakang, perumah lampu utama kini memiliki dimensi yang lebih kecil.

Untuk ruang kabin, antara kelengkapan yang wujud termasuklah meter analog dengan skrin MID di tengah, pilihan saiz skrin infohibur 7,9 atau 10 inci, kawalan iklim dengan skrin digital, slot pengecas peranti tanpa wayar, serta kehadiran beberapa ruang penyimpanan kecil.

Seperti biasa, susun atur tempat duduk Move boleh diubah mengikut keperluan, sama ada untuk tujuan istirehat atau memuatkan barangan yang lebih besar dimensinya.

Di Jepun, pembeli boleh mendapatkan pakej luaran Dandy Sport atau Noble Chic, serta varian Move RS (enjin turbo) yang menambah pakej suspensi sport dan rekaan rim 15 inci.

Harga jualan bermula dari ¥1,358,500 (RM39,919) hingga ¥2,044,000 (RM60,108).

EV ultra kompak BYD dikesan sedang diuji, sasar pasaran kei car Jepun

Laman CarNewsChina melaporkan BYD kini sedang membangunkan sebuah prototaip kenderaan saiz mini berkuasa elektrik dengan satu matlamat: untuk menawan pasaran kei car Jepun.

Walaupun masih sarat dengan pelekat samaran, kereta tersebut mempamerkan ciri-ciri seperti pintu belakang jenis gelangsar, tiang A berkembar, serta struktur perumah kaca tingkap yang agak tinggi.

Ini membuktikan BYD serius untuk menghasilkan sebuah produk yang mematuhi peraturan dimensi yang dikenakan untuk segmen kei car di sana.

Untuk makluman, segmen kei car merupakan kategori kereta saiz ultra-kompak di Jepun, dengan dimensi panjang tidak melebihi 3.4 meter, lebar 1.48 meter dan tinggi 2 meter.

Sementara kuasa enjin pula tidak melebihi 64 hp mengikut perjanjian ahli Persatuan Pengilang Automobil Jepun (JAMA).

Biarpun BYD kini mempunyai model Seagull selaku EV yang paling kecil, saiznya masih terlalu besar untuk dikategorikan sebagai kei car.

Menurut laporan dari China, ‘kei car’ elektrik BYD tersebut akan dilengkapi dengan bateri 20 kWh yang menawrakan jarak gerak sejauh 180 km (data WLTC), serta sokongan pengecasan pantas 100 kW.

BYD merancang untuk menghasilkan kei car elektrik ini di China untuk eksport ke pasaran Jepun bermula lewat 2026, dan berazam untuk menguasai 40 peratus pasaran kei car elektrik dalam tempoh beberapa tahun berikutnya.

Buat masa ini, pasaran kei car di Jepun menawarkan dua buah model EV, iaitu Nissan Sakura dan kembarnya Mitsubishi eK X EV.

Kedua-dua model tersebut dilancarkan pada tahun 2022, menawarkan motor elektrik berkuasa 64 hp dan 195 Nm, serta pek bateri 20 kWh dengan jarak gerak sejauh 180 km.