Bersempena dengan pembukaan Mforce Smartshop Shun Yue Motor Sdn Bhd, QJMotor Malaysia turut melancarkan model cruiser SRV600V 2025 untuk pasaran tempatan.
Terdapat tiga pilihan warna disediakan, iaitu perak, Sky Black (matte) dan Night Black.
Cruiser ini dijana dengan enjin empat silinder sebaris 561 cc DOHC sejukan cecair, menghasilkan kuasa 67 hp @ 10,500 rpm dan daya kilas 54 Nm @ 8,000 rpm.
SRV600V turut dilengkapi dengan transmisi enam-kelajuan, klac jenis basah berbilang plat, dan sistem pacuan akhir tali sawat.
Aspek tunggangan dibantu dengan fork hadapan jenis terbalik Marzocchi, sistem suspensi gegelung teleskopik dengan redaman minyak di belakang, serta sistem brek cakera bersaiz 300 mm di depan dan 260 mm di belakang.
Secara standard, SRV600V ini hadir dengan sistem ABS dua saluran, kawalan cengkaman (TCS) yang boleh dimatikan, serta sistem pemantauan tekanan tayar.
Antara ciri yang dimuatkan termasuklah lampu LED depan dan belakang, ekzos berkembar kiri dan kanan, slot pengecasan USB Type-A dan Type C.
Terdapat skrin digital berbentuk bulat yang turut menyokong sambungan Bluetooth serta sambungan kepada aplikasi pihak ketiga seperti Carbit Ride.
Cruiser ini menyediakan tangki bahan api sebesar 16.5 liter, sementara tinggi pelana pula sekitar 720 mm.
Untuk pasaran Malaysia, QJMotor SRV600V dijual pada harga bermula RM33,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Setiap pembelian QJMotor SRV600V akan disertakan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun tanpa had perbatuan, selain perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian.
