Arkib Tag: 500 cc

Brixton Storr 500 2026 rasmi di Malaysia – harga RM29,888

Mforce Bike Holdings selaku pengedar rasmi motosikal jenama Brixton melancarkan model adventure terbaharu Brixton Storr 500 2026 untuk pasaran tempatan.

Terdapat dalam tiga pilihan warna (hitam, hijau dan kuning), Storr 500 dijual pada harga RM29,888.

 

Spesifikasi

Storr 500 dikuasakan oleh enjin 2-silinder 486 cc sejukan cecair yang dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan.

Kuasa dihasilkan sekitar 47.6 PS @ 8,500 rpm dan daya kilas 43 Nm @ 6,750 rpm.

Ia turut dilengkapi dengan sistem penyerap hentak KYB boleh laras dengan jarak pergerakan roda 180 mm depan/175 mm belakang.

Brek pula menggunakan tetapan cakera tunggal dengan angkup 4-omboh dan rotor 320 mm di depan, serta angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Secara standard, Brixton Storr 500 dilengkapi dengan ciri seperti:

  • lampu LED depan belakang
  • lampu kabus
  • port pengecasan USB
  • sistem ABS dua-saluran Bosch
  • skrin paparan 7-inci
  • sokongan Bluetooth dan aplikasi mudah alih
  • tangki bahan api 16 liter
  • tinggi pelana 839 mm

Morbidelli T502X 2026 rasmi – harga dari RM28,888

Morbidelli Malaysia melancarkan sebuah lagi motosikal jenis adventure sesaran pertengahan, iaitu Morbidelli T502X 2026.

T502X ini dilengkapi dengan enjin parallel-twin 486 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 47 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 45 Nm @ 6,750 rpm.

Transmisi pula adalah jenis enam-kelajuan dibantu dengan klac slipper.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) saiz 43 mm (jarak pergerakan 180 mm), diikuti penyerap hentak tunggal Pro-Link dengan larasan pra-beban (jarak pergerakan 69 mm).

Sistem brek pula menggunakan angkup dua omboh J.Juan dengan rotor berkembar saiz 300 mm di depan, serta angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, skrin paparan TFT tujuh inci menegak, dua mod tunggangan, sokongan Bluetooth dan navigasi, suis bar hendal yang bercahaya dan port pengecasan USB Type-A dan Type-C.

T502X turut dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) dan sistm pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Tangki bahan api adalah sebesar 18 liter sementara tinggi pelana 840 mm.

Morbidelli T502X bakal tiba di pasaran Malaysia dengan harga jualan dari RM28,888.

Dua warna baharu untuk Honda Rebel 500 2025 – harga RM33,899

Boon Siew Honda mengumumkan penawaran warna baharu untuk model cruiser Honda Rebel 2025, iaitu Pearl Sugarcane Beige dan Matte Dim Grey Metallic.

Jentera ini boleh didapati di semua pengedar sah Honda BigWing bermula 18 Jun 2025 dengan harga jualan RM33,899 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).

Spesifikasi asas Honda Rebel tidak berubah, di mana ia masih lagi dikuasakan oleh enjin parallel-twin 471 cc sejukan cecair dengan hamburan kuasa 45.6 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 43 Nm @ 6,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan dibantu dengan klac Assist/Slipper.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik 41 mm di hadapan, dan penyerap hentak berkembar di bahagian belakang, menawarkan pelana setinggi 690 mm.

Ciri lain termasuklah rim 16 inci, sistem brek angkup dua omboh depan/omboh tunggal belakang, tangki bahan api 11.2 liter, sistem ABS dua saluran, sistem pencahayaan LED penuh, serta skrin paparan LCD negatif.

 

Cruiser Benda Chincilla 500 rasmi di Malaysia – RM27,888

MForce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar sah motosikal jenama Benda melancarkan cruiser terbaharu Chinchilla 500, menyertai dua model cruiser yang sudah tersedia ada di sini.

Berbeza dengan Napoleon Bob 500 yang telah dilancarkan sebelum ini, Chincilla 500 membawakan rupa cruiser yang lebih konvensional, lengkap dengan tempat duduk untuk memuatkan pembonceng.

Benda Chinchilla 500 dikuasakan oleh enjin V-twin SOHC sejukan cecair bersesaran 475.6 cc yang mampu menjana kuasa 47 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 42 Nm @ 7,200 rpm.

Enjin itu tadi dipadankan dengan transmisi enam nisbah kelajuan, sistem pacuan akhir tali sawat serta klac slipper.

Casis cruiser ini disokong dengan sistem gantungan yang terdiri daripada fork 41 mm jenis terbalik di depan (jarak pergerakan roda 129 mm) dan penyerap hentak berkembar di belakang dengan larasan pra-muatan (jarak pergerakan roda 65 mm).

Sistem brek pula menggunakan angkup empat omboh dan rotor brek terapung tunggal saiz 320 mm di depan, sementara bahagian belakang pula menggunakan angkup dua omboh dan rotor bersaiz 260 mm.

Secara standard, Chinchilla 500 ini hadir dengan unit pencahayaan LED, serta ciri keselamatan seperti ABS dua saluran dan kawalan cengkaman.

Selain itu, terdapat skrin kluster berbentuk bulat yang ringkas bertenggek di atas bar hendal, tangki bahan api sebesar 16 liter dan pelana berketinggian 705 mm.

Untuk pasaran Malaysia, Benda Chincilla 500 dijual pada harga RM27,888.

 

MODENAS lancar cruiser Eliminator 500, dari RM30,100

Bersempena dengan penganjuran MotoGP Malaysia, MODENAS turut sama melancarkan model motosikal cruiser terbaharu Modenas Eliminator 500 2025 dengan harga jualan bermula dari RM30,100 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Ia merupakan model terbaharu yang dijenamakan semula daripada Kawasaki, selaras dengan pendekatan yang dibuat untuk model motosikal bawah 750 cc terdahulu.

Modenas Eliminator dikuasakan oleh enjin kembar selari 451 cc yang mampu menghasilkan 44.7 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 43 Nm @ 6,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi manual enam-kelajuan yang dipadankan dengan klac assist-slipper.

Modenas Eliminator dilengkapi dengan fork teleskopik hadapan 41 mm diikuti dengan penyerap hentak berkembar yang datang dengan larasan pra-beban, masing-masing menawarkan jarak gerak 120 mm dan 90 mm.

Sementara aspek pemberhentian pula menggunakan khidmat brek cakera berkembar 310 mm dengan angkup dua-omboh di depan, diikuti brek cakera tunggal dan angkup omboh tunggal di belakang. Tidak ketinggalan, ia juga hadir dengan sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran.

Eliminator 500 ini menggunakan rim bersaiz 18 inci dengan balutan tayar 130/70 di depan, serta rim aloi 16 inci dengan balutan tayar 150/80 di belakang.

Ciri lain termasuklah lampu LED depan dan belakang, skrin kluster LCD dengan sokongan aplikasi Rideology, kapasiti tangki bahan api  sebesar 13 liter dan tinggi pelana 735 mm.