Ini merupakan satu perkembangan menarik yang datang daripada jenama motosikal nasional kedua, AFAZ.
Hujung minggu lalu, pihak AFAZ mendedahkan beberapa info tentang perkembangan terbaharu sebuah lagi model yang bakal dilancarkan tahun ini, iaitu supermoped 150 cc.
Ya, nampaknya Modenas Z15GT bakal ada pesaing sebenar tak lama lagi!
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Supermoped AFAZ ini akan menggunakan enjin 147 cc daripada GSX-R150.
Difahamkan, enjin yang mampu menghasilkan kuasa 19 hp @ 10,500 rpm dan daya kilas 14 Nm @ 9,000 rpm ini akan ditala semula oleh pihak AFAZ.
2. Ketika acara berlangsung, kami tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang gambar rupa sebenar supermoped tersebut.
Unit prototaip yang dipamerkan selepas itu didapati mengguna pakai komponen daripada Raider 150.
Namun usah risau kerana menurut AFAZ, casis bagi supermoped ini akan dibangunkan serba baharu, dan segala komponen lain turut dibuat sendiri oleh pihak AFAZ.
3. Supermoped AFAZ ini dikategorikan sebagai sebuah model premium yang setanding dengan model Yamaha Y16ZR.
Antara ciri yang boleh kita jangkakan termasuklah skrin paparan TFT dengan sokongan arahan suara, ABS dua-saluran, lampu LED dan ciri yang lebih sesuai untuk sebuah motosikal pantas.
4. Satu lagi benda menarik yang dikongsikan ialah supermoped ini bakal menggunakan sistem auto clutch yang dibangunkan oleh Amitech, sebuah sub-syarikat di bawah AFY Mobilities.
Sistem auto clutch ini akan debut pada model Raider pasaran Vietnam, sebelum ditawarkan pada model supermoped AFAZ ini.
5. Sedang berkira-kira untuk mencari supermoped selain Yamaha, Honda dan Modenas?
Anda boleh menantikan kemunculan model ini tidak lama lagi, jangkaan pelancaran mungkin dalam separuh kedua tahun ini (H2 2026).
Bersempena dengan tahun baru, SYM Malaysia mengumumkan empat warna baharu untuk skuter SYM Husky 150 SE.
Empat warna yang dimaksudkan itu ialah Indigo Blue, White, Matt Grey dan Glossy Green.
Skuter ini boleh didapati di semuap pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia pada harga RM10,598 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).
SYM Husky 150 SE dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 14.5 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 14.5 Nm @ 6,000 rpm dengan padanan transmisi CVT.
Antara ciri yang ada pada Husky 150 SE ialah:
fork teleskopik depan/penyerap hentak tunggal belakang
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan kemaskini penawaran bagi model kapcai Yamaha Y15ZR dengan tiga warna baharu.
Warna yang dimaksudkan ialah Blue Spark, Aqua Violet dan Mecha Green.
Yamaha Y15ZR dengan warna baharu ini sudah tersedia di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 6 November lalu, dengan harga jualan dari RM8,998 tidak termasuk pendaftaran dan insurans.
Spesifikasi asas Yamaha Y15ZR masih kekal dengan nadi silinder tunggal 150 cc sejukan cecair SOHC menghasilkan 15.2 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 13.8 Nm @ 7,000 rpm.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan diikuti dengan lengan ayun di belakang, manakala sistem brek pula menggunakan tetapan rotor tunggal untuk kedua-dua roda.
Y15ZR menawarkan tangki sebesar 4.2 liter dengan tinggi pelana 780 mm.
MODENAS hari ini secara rasmi melancarkan model supermoped yang ditunggu-tunggu ramai – MODENAS Z15GT 2025 untuk pasaran Malaysia.
Ia mendapat enjin silinder tunggal sejukan cecair 149.5 cc yang mampu menjana kuasa 16.8 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 13.5 Nm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi enam-kelajuan.
Z15GT membawakan ukuran sepanjang 1,980 mm, lebar 670 mm, tinggi 1,100 mm dengan jarak antara roda 1,315 mm dan berat sekitar 128 kg.
Kapasiti tangki bahan api pula sebesar 5.7 liter, sementara tinggi pelana pula 780 mm.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, sementara brek pula menggunakan tetapan cakera depan dan belakang.
Cuma sayang sekali, ia hanya hadir dengan bantuan ABS saluran tunggal.
Antara ciri yang dimuatkan termasuklah:
sistem pencahayaan LED depan dan belakang termasuk DRL dan lampu membelok
lampu kecemasan
sistem kunci pintar
panel meter instrumen LCD
soket pengecasan jenis USB Type-A
Untuk info, MODENAS Z15GT menampilkan DNA Kawasaki dalam rekaannya, terutama elemen Sugomi daripada model Z yang boleh dilihat pada lampu depan serta lampu belakang.
Selain itu, motif ikan arowana juga turut mempengaruhi rekaan Z15GT yang agresif dan aerodinamik, dan dalam masa yang sama mempunyai personaliti yang tersendiri.
Terdapat tiga warna pilihan iaitu Graphite Grey, Nardo Grey dan juga Rosso Red.
Untuk pasaran Malaysia, MODENAS Z15GT 2025 dijual pada harga bermula dari RM8,288.
Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) mengumumkan ketibaan model skuter 150 cc, iaitu Modenas Elit 150S bersempena sambutan ulang tahun yang ke-30.
Skuter tersebut dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 14 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 13.5 Nm @ 6,750 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi V-belt automatik.
Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan, diikuti tetapan penyerap hentak berkembar di belakang.
Antara ciri yang wujud pada skuter ini termasuklah lampu utama berkembar, lampu nyalaan siang DRL, sistem kekunci pintar, skrin LCD, ruang storan bawah pelana sebesar 23 liter dan rim sebesar 13 inci.
Modenas Elit 150S menawarkan tangki bahan api sebesar 12 liter yang menawarkan jarak tunggangan sehingga 480 km, berat sekitar 137 kg dan tinggi pelana 770 mm.
Terdapat dua warna pilihan iaitu Riviera Blue dan Quantum Grey. Harga jualan bermula dari RM7,877.
Boon Siew Honda Sdn Bhd mengumumkan kemunculan penawaran edisi terhad Honda CBR150R Special Edition untuk pasaran tempatan.
Uniknya, ia kini menampilkan liveri harimau garang lengkap dengan tema warna CyberRoar yang menambahkan lagi imej agresif pada sportsbike 150 cc itu.
Setiap pembelian model edisi istimewa ini akan mendapat hadiah berupa kamera sport, peranti komunikasi intercom, dan juga beg reflektif LED.
Honda CBR150R Special Edition ini akan ditawarkan dalam 250 unit terhad menerusi pusat pameran Impian X bermula 15 Julai, setiap satu berharga RM14,399 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Sekiranya terlepas peluang, anda masih boleh dapatkan Honda CBR150R standard dengan pilihan warna Honda Tricolor dan Silver, setiap satu berharga RM13,399.
Spesifikasi asas jentera ini masih sama, ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 150 cc menghasilkan 16 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.7 Nm @ 7,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan serta klac assist & slipper.
Antara ciri lain termasuklah fork hadapan jenis terbalik, sistem brek cakera depan dan belakang, sistem ABS dua saluran, tangki bahan api 12 liter, sistem pencahayaan LED, dan meter digital penuh.
Untuk makluman, Honda CBR150R telah menerima penarafan keselamatan lima bintang daripada MyMAP.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan model Yamaha Y15ZR edisi khas (SE) yang tersedia dalam warna Bronze Fury.
Setiap pembelian Yamaha Y15ZR SE akan disertakan dengan visor sporti, serta bakul premium Yamaha yang lengkap dengan slot pengecas USB C.
Yamaha Y15ZR SE ini boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 7 April 2025, dengan harga bermula RM9,498 tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran.
Pemilik Yamaha Y15ZR SE akan turut mendapat pakej kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.
Untuk spesifikasi, ia masih lagi kekal dengan enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair menghasilkan 15.2 hp @ 8,500 rpm dan 13.8 Nm @ 7,000 rpm.
Boon Siew Honda mengumumkan penawaran CBR150R dengan warna baharu Honda Tricolor yang diinspirasikan daripada DNA Honda Racing yang wujud pada CBR1000RR-R, CBR650R dan CBR250RR.
Selain daripada Honda Tricolor, CBR150R juga boleh didapati dalam pilihan warna Silver yang dikemaskan dengan aksen warna kuning terang.
Dari segi spesifikasi, Honda CBR150R dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149.2 cc, menghasilkan kuasa 16 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.7 Nm @ 7,000 rpm yang digandingkan dengan transmisi enam-kelajuan dan klac assist & slipper.
Ia juga masih mengekalkan tetapan suspensi fork hadapan jenis terbalik, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, rim 17 inci, brek cakera depan dan belakang, sistem ABS dua saluran, panel meter digital dan lampu LED.
Ciri lain termasuklah tangki bahan api sebesar 12 liter, serta tinggi pelana 788 mm.
Honda CBR150R 2025 boleh didapati bermula 19 Mac di semua pengedar sah Honda dan IMPIAN X di seluruh negara, dengan tanda harga RM13,399 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).
Pengedar sah jenama Kamax, KTNS Holdings Sdn Bhd dijangka akan menawarkan sebuah lagi model kapcai untuk pasaran Malaysia, iaitu KAMAX Cub X 150.
Perkara tersebut diumumkan sewaktu lawatan media automotif Malaysia ke pusat pameran KAMAX yang terletak di Jiulongpo, Chongqing, baru-baru ini.
Berbeza dengan kapcai Super Pro yang telah dilancarkan sebelum ini, Cub X membawakan enjin dengan sesaran 150 cc menghasilkan kuasa 9.1 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 10.5 Nm @ 5,000 rpm.
Untuk sebuah jentera cubcross, Cub X ini membawakan spesifikasi yang lebih agresif, seperti tayar off-road tanpa tiub, rim lidi 17 inci, tempat duduk tunggal balutan kulit serta rak barang menggantikan tempat duduk pembonceng.
Sistem suspensi Cub X terdiri daripada fork teleskopik 26 mm di depan, diikuti dengan penyerap hentak berkembar di belakang, masing-masing menawarkan jarak pergerakan tayar 88.9 mm dan 91.4 mm.
Antara ciri lain termasuklah:
-sistem pencahayaan LED
-skrin kluster LCD
-tangki bahan api sebesar 3.8 liter
-cermin sisi krom
-pelindung enjin
-sistem ABS dua saluran
-tinggi pelana 790 mm
-sistem kunci pintar
Menurut pihak KTNS, model ini dijangka masuk pasaran Malaysia sekitar bulan Ogos atau September, membawakan tanda harga bawah RM10,000.
Ini menjadikan KAMAX Cub X mampu memberikan saingan kepada model-model di dalam kelasnya, seperti Yamaha PG-1 dan Aveta Ranger Max 130.
Tidak seperti segmen motosikal dan skuter elektrik, kita mungkin sukar untuk mencari jentera dua roda yang dipacu oleh enjin hibrid.
Kawasaki sebelum ini pernah mendedahkan dua buah model hibrid, iaitu Ninja 7 Hybrid dan Z7 Hybrid.
Bagaimana pula dengan Yamaha?
Bertempat di Bharat Mobility Expo 2025 yang berlangsung pada bulan lepas, Yamaha Motor India tampil dengan sebuah motosikal naked yang pernah popular di Malaysia suatu ketika dahulu – FZ.
Lebih tepat lagi, Yamaha FZ-S Hybrid serba baharu yang dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149 cc sejukan udara dengan kuasa 12.4 hp dan 13.3 Nm.
Tidak seperti sistem hibrid yang wujud pada jentera Kawasaki, FZ-S Hybrid ini bergantung kepada sistem hibrid ringan (mild-hybrid), di mana tujahan kuasa ekstra dibekalkan oleh komponen Integrated Starter Generator (ISG).
Biarpun tiada kelebihan dari segi tunggangan sifar emisi yang lebih jauh, bantuan daripada motor elektrik tersebut boleh mengubah karakteristik enjin 150 cc menjadi seakan 200 cc terutama ketika pecutan atau memotong kenderaan.
Dengan sistem hibrid ringan ini, tidak mustahil setangki penuh 13 liter boleh mencapai jarak tunggangan sejauh lebih 480 km.
Ciri lain termasuklah:
fork teleskopik hadapan 41 mm
penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban 7 tahap
rim aloi 17 inci
tinggi pelana 790 mm
kawalan cengkaman (TCS)
rotor brek 282 mm depan, 220 mm belakang
sistem brek ABS saluran tunggal
Di pasaran India, Yamaha FZ-S Hybrid dijual pada harga INR130,700 (RM6.6 ribu).
Bermula 1 Januari 2025, semua motosikal baharu berkapasiti 150 cc dan ke atas perlu dilengkapi dengan sistem brek anti kunci (ABS), lapor Bernama.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Malaysia Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Lalu Lintas berkata ABS boleh mengurangkan kematian dalam kalangan penunggang motosikal sebanyak 31 peratus semasa kemalangan berdasarkan kepada laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
“Saya yakin inisiatif ini akan mengurangkan kematian pengguna jalan raya di Malaysia dan memberi inspirasi kepada negara ASEAN lain untuk melaksanakan langkah yang sama, menjadikan motosikal lebih selamat di seluruh rantau ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS).
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya sistem penarafan Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP) dapat diperluaskan ke luar Malaysia untuk meningkatkan keselamatan motosikal di seluruh benua.
“Dengan ini kita boleh tahu motosikal dari syarikat mana yang lebih selamat dan mana yang sebaliknya,” katanya.