Proton X50 2025 versi facelift padam kelemahan model terdahulu – pandu uji pertama
Penulis masih teringat saat kali pertama memandu uji SUV segmen B Proton X50 beberapa tahun yang lepas – pada ketika itu musim COVID mula melanda.
Teruja dengan anjakan rekaan yang dibawakan, namun dalam masa yang sama kecewa dek beberapa kelemahan kesan daripada proses ubah lencana dan perubahan daripada format pemanduan sebelah kiri kepada sebelah kanan.
Proton juga tidak berdiam diri.
Beberapa penambahbaikan telah dibuat menerusi pengenalan model MC dan RC menjadikan kelemahan-kelemahan tersebut kian tenggelam.
Namun, dengan pengenalan model facelift besar beberapa bulan yang lepas, Proton akhirnya berjaya menawarkan sebuah SUV segmen B yang mampu menjadi pilihan yang lebih bernilai.
Namun, adakah ia jauh lebih baik dan mampu memadamkan kelemahan model terdahulu? Proton baru-baru ini menjemput kami untuk memandu uji X50 facelift untuk membolehkan kami merasai dan menilai apa yang terkandung di sebalik muka yang lebih garang itu.
Berikut merupakan pandangan awal kami:
1. Rupa
Berdasarkan komen-komen di laman media sosial, tidak kurang netizen yang melontarkan pandangan masing-masing tentang rupa bentuk agresif X50 facelift baru ini.
X50 terlebih garang? Mungkin ramai yang bersetuju. Lihat saja bampar depan, rim rekaan baru, serta sayap belakang yang agresif.
Penulis pula berpendapat ia satu perubahan yang lebih segar, memandangkan sudah beberapa tahun X50 ditawarkan tanpa perubahan yang besar.
Malah sepanjang perjalanan tadi banyak juga mata-mata yang memerhati SUV yang kami pandu ini ketika sedang meluncur atas jalan.
2. Enjin baharu
Ya, perubahan yang ketara dibawakan selain rupa paras ialah unit pacuan serba baharu.
Hilang sudah nadi tiga silinder sebaris, ucapkan selamat datang kepada enjin empat silinder sebaris.
Nadi 1.5 liter turbo itu kini berupaya menjana kuasa setinggi 181 PS dan 290 Nm.
Menurut Proton, enjin baharu ini dikatakan lebih jimat bahan api, dan berdasarkan pemanduan seharian yang dibuat dari Proton CEO hingga ke Ipoh, kami berjaya mencatatkan bacaan penggunaan bahan api sekitar 7.4 liter/100 km.
Setelah pemanduan sejauh lebih 250 km (pola pemanduan yang bercampur-campur), anggaran jarak yang tersisa adalah sekitar 440 km.
Yang pasti, X50 facelift ini jauh lebih jimat berbanding model X50 terdahulu.
3. Pemanduan Proton yang sebenar?
Perjalanan kami kali ini tidaklah tertumpu kepada pemanduan di atas lebuh raya semata-mata.
Tidak terlalu bergantung kepada Waze, kami lebih gemar melalui jalan lama untuk menilai dengan lebih teliti tahap pengendalian SUV popular ini.
Sejujurnya, apa yang ditawarkan pada X50 facelift kali ini benar-benar diluar jangkaan.
Input stereng yang jauh lebih hidup, dan tidak banyak pembetulan yang perlu dibuat oleh pemandu ketika sedang melayan selekoh.
Talaan suspensi juga rasa lebih dekat dengan apa yang penulis cuba harapkan daripada sebuah model Proton.
Selesa, tidak terlalu membuai-buai, dan pengendalian yang lebih meyakinkan.
Walaupun sesi ujian kali ini agak singkat, namun ia benar-benar membuatkan penulis kagum dengan Proton X50 facelift ini.
4. Kabin macam EV, tapi…
Ruang kabin X50 kali ini membawakan susun atur yang lebih mirip kepada Proton e.MAS 7.
Nampak lebih kemas dan ringkas tanpa kehadiran butang fungsi fizikal, malah tombol penukaran gear PRDN juga telah dialihkan kepada kolum stereng bagi menjadikan ruang tengah nampak luas.
Cuma, bila terlalu ringkas menyebabkan beberapa fungsi penting dialihkan ke dalam skrin infohibur.
Sejujurnya, penulis lebih harapkan fungsi seperti kawalan suhu, dan pemilihan mod pemanduan dikekalkan dalam bentuk butang fizikal yang mudah dicapai.
Ia bukanlah satu masalah besar sekiranya anda seorang yang tidak kisah langsung tentang semua itu.
Sebab segalanya boleh dikawal menerusi arahan suara dwi-bahasa, iaitu Inggeris dan Melayu!
Cuma ada kalanya, sistem akan mengambil masa yang sedikit lama untuk memahami apa yang cuba dituturkan oleh pengguna.
Tidak ketinggalan, aspek NVH yang jauh lebih baik berbanding model terdahulu. Masih terdapat bunyi bising angin pada kelajuan tertentu, namun tidaklah terlalu ketara.
Terdapat juga bunyi bising tayar yang wujud disebabkan oleh kualiti permukaan jalan yang berbeza mengikut daerah.
5. Ciri yang amat dihargai dan perkara yang boleh ditambah baik
Untuk X50 facelift, terdapat beberapa ciri baharu yang amat dihargai terutama ketika melakukan pemanduan jarak jauh, seperti:
- Sokongan Apple CarPlay tanpa wayar
- Corong pendingin hawa tengah yang boleh digunakan untuk sejukkan peranti pintar yang sedang dicas
- Visor penghadang cahaya matahari
- Tempat meletak beg pada terowong konsol tengah
Perkara yang boleh ditambah baik untuk X50 facelift:
- Kusyen tempat duduk pemandu boleh ditambah baik terutama sokongan pada bahagian bawah peha untuk kurangkan rasa penat selepas pemanduan jarak jauh
Kesimpulan
Berdasarkan pemanduan ringkas dari Lembah Klang ke Ipoh, apa yang kami boleh simpulkan ialah Proton X50 2025 kali ini mampu memadamkan kelemahan yang wujud pada model terdahulu.
Penulis akui ia juga bukanlah sebuah SUV yang serba sempurna, namun penawaran kali ini dilihat jauh lebih baik dan kena pada tekak para peminat Proton.
Lebih banyak ulasan dan pendapat akan kami kongsikan pada masa akan datang.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.






























