Jaecoo J8 tawar pengalaman off-road “Kelas Pertama”, betul ke? – pandu uji
Setelah lebih setahun sejak pertama kali dipertontonkan, Omoda | Jaecoo Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model SUV kedua mereka, iaitu Jaecoo J8 pada bulan lepas.
Masih lagi dengan tema off-road, namun Jaecoo J8 membawakan imej yang lebih elegan dan mewah berbanding adiknya J7.
Malah semasa pelancaran, J8 ini disifatkan sebagai sebuah kenderaan lasak dengan pengalaman penumpang kelas pertama.
Untuk membuktikan kemampuan sebenar SUV ini di laluan yang lebih mencabar, pihak Omoda | Jaecoo Malaysia menganjurkan satu sesi pengalaman pemanduan off-road bertempat di Sepang Bay 13.
Terdapat beberapa halangan yang disediakan, dimulakan dengan seksyen Rock Crawl, Side Slope dengan curam bersudut 30 darjah, Log Run yang mensimulasikan laluan atas kayu balak, serta seksyen Water Wading.
Cuaca yang hujan sejak awal pagi menyediakan permukaan laluan yang lebih mencabar berbanding hari sebelumnya.
Biarpun hanya dilengkapi dengan tayar standard Michelin e-Premacy, tidak menjadi masalah besar bagi Jaecoo J8 ini untuk meredah cabaran yang disebutkan tadi.
Jadi, apakah rahsia yang membuatkan Jaecoo J8 ini tidak membuatkan pemandu berpeluh-peluh?
1. Enjin yang bertenaga
Nadi empat silinder sebaris 2.0L turbo yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 249 PS dan 385 Nm itu tidak memerlukan sela masa yang agak lama untuk bertindak.
Hanya perlukan kawalan pendikit yang konsisten, SUV ini berjaya meredah kesemua seksyen cabaran yang diberikan.
Paling penting, sukar untuk kami rasakan gelinciran tayar berlaku melihatkan kepada kecekapan sistem yang ditawarkan.
2. Sistem AWD dengan Torque Vectoring Control
Untuk cabaran kali ini, kami diberikan peluang memandu Jaecoo J8 versi AWD yang turut dilengkapi dengan fungsi Dynamic Torque Vectoring Control.
Menurut Jaecoo, sistem AWD ini mempunyai tetapan dua klac yang dapat mengagihkan daya kilas secara bebas, membolehkan kuasa enjin dihantar 100 peratus kepada roda belakang yang mempunyai tahap cengkaman yang lebih baik.
3. Suspensi adaptif CDC
Secara standard, Jaecoo J8 dilengkapi dengan tetapan suspensi topang MacPherson di hadapan, dibantu dengan tetapan multi-link di belakang.
Ia turut dibantu dengan ciri CDC, atau nama penuhnya Continuous Damping Control.
Ciri CDC ini akan melaraskan tetapan redaman suspensi sepantas 0.002 saat bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih serta keadaan jalan semasa.
Terdapat tiga tahap iaitu Soft, Medium dan Hard.
Apa yang kami perasan, ruang kabin ternyata tidak menghasilkan gegaran dan bunyi bising yang ketara akibat hentakan permukaan jalan yang tidak rata, terutama ketika meredah seksyen Rock Crawl.
Rasa macam tiada apa-apa yang berlaku di dalam kabin walaupun pada hakikatnya di luar kami melihat sendiri casis Jaecoo J8 sedang beroleng dan meloncat cuba melepasi laluan berbatu yang agak besar itu.
Pemandu masih lagi boleh mengawal kenderaan dengan tenang, yakin dan lancar, dalam masa yang sama aspek keselesaan tidak dikorbankan.
4. Senjata ampuh untuk redah banjir kilat di ibu kota
Jaecoo J8 menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 170 mm, boleh dikatakan biasa-biasa sahaja berbanding SUV off-road lain.
Namun, dengan berkeupayaan untuk meredah air pada kedalaman sehingga 450 mm, ia merupakan satu ciri yang sangat berguna untuk rakyat Malaysia sekali sekala menempuh laluan banjir kilat di ibu kota.
Atau mungkin sekali terpaksa menempuh jalan kampung pedalaman untuk menyelesaikan tugas di sana.
Atau sekali sekala jika anda mahu merehatkan minda di kawasan perkhemahan yang rata-rata jauh dari akses jalan utama, dengan permukaan jalan yang tidak begitu manis dipandang mata.
Kesimpulan
Anda kini tidak perlu berbelanja besar sampai RM400k-RM500k untuk menikmati pengalaman off-road yang menyeronokkan.
Cukup dengan bajet cuma bermula dari RM198,800 untuk versi AWD, anda akan dapat merasai sendiri sebuah pakej SUV urban premium yang cukup bergaya dan selesa.
Dalam masa yang sama, ia juga menawarkan keyakinan untuk menawan apa jua bentuk permukaan bumi yang perlu ditempuh.
Tidak ada pengalaman off-road? Usah risau, kerana dengan teknologi moden yang disebutkan tadi anda sebenarnya boleh mengendalikan pemanduan Jaecoo J8 ini dengan baik.
Jaecoo J8 AWD
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.














































