MG S5 EV, unik dalam segmennya – pandu uji ringkas

Sedang pening memikirkan EV mana yang sesuai untuk digunakan sebagai kereta basahan?

Bawah julat harga RM150,000, kita sudah dihidangkan dengan bermacam jenis model seperti BYD Atto 3, Proton e.MAS7 dan yang terbaharu MG S5 EV.

Dilancarkan secara rasmi bulan Mei 2025, MG S5 EV ditawarkan dalam tiga varian utama, dengan versi paling asas dijual pada harga bermula RM115,900 dan versi paling premium pula berharga RM135,900.

Engear TV telah dijemput sendiri oleh pihak MG Malaysia dalam satu sesi pandu uji untuk merasai sendiri pengalaman memandu EV ini dari Damansara menuju ke Kuantan, Pahang.

Adakah ia mampu menjadi satu pilihan yang berbaloi di dalam segmennya? Jemput baca ulasan ringkas di bawah:

 

Reka bentuk

Kita mula dengan reka bentuk luaran, di mana MG S5 menggunakan pendekatan yang lebih selamat tanpa garis badan yang agresif dan keterlaluan.

Trend lampu berlapis di bahagian hadapan masih wujud, diikuti lampu LED dengan bar nipis melintang penuh di bahagian belakang.

Terdapat dua pilihan saiz rim, iaitu 17 inci serta 18 inci yang wujud pada varian Lux Long Range yang kami pandu uji ini.

Seperti yang anda lihat, MG S5 merupakan sebuah SUV elektrik saiz kompak, membawakan ukuran sepanjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm, tinggi 1,621 mm dan jarak antara roda 2,730 mm.

Berbanding pesaing, MG S5 kecil sedikit daripada Proton e.MAS7, namun memiliki kelebihan jarak antara roda 10 mm lebih panjang berbanding BYD Atto 3.

Ruang kargo adalah sebesar 453 liter, atau sehingga 1441 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

 

Kabin canggih dan mesra pemandu

Untuk bahagian kabin, MG S5 menyediakan skrin kluster instrumen 10.25 inci dengan tema paparan yang agak ringkas, diikuti skrin tengah 12.8 inci yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Tidak dinafikan, segala macam fungsi kenderaan telah disumbatkan ke dalam skrin tengah, namun paparan menu mudah untuk diakses.

Paling penting, terdapat butang kawalan fizikal yang tersedia di bawah skrin tersebut untuk fungsi penting seperti kawalan suhu dan kelajuan tiupan angin, butang kelantangan audio, serta butang lampu kecemasan.

Kedudukannya mudah untuk dilihat dan dicapai oleh pemandu.

Di bahagian konsol tengah pula menyediakan tombol rotari PRND, ruang meletak cawan, slot untuk peranti pintar serta slot pengecasan tanpa wayar. Ringkas, namun memudahkan.

Ini sekaligus menjadikan MG S5 EV sebuah kereta elektrik moden yang sangat mesra pemandu.

 

Keselesaan

Salah satu perkara yang harus dipuji pada MG S5 ini ialah aspek keselesaan untuk kegunaan keluarga.

Tempat duduk dengan upholsteri kombinasi kulit dan fabrik itu ternyata menawarkan tahap keselesaan yang tersendiri.

Dimensi kusyen yang panjang menyokong bahagian bawah peha menjadikan perjalanan yang tidak memenatkan.

Ruang kepala dan kaki juga bukan satu masalah besar, memandangkan MG S5 ini mempunyai bumbung kaca panorama beralas, serta struktur lantai yang rata.

Sudut sandaran untuk penumpang belakang juga tidak terlalu menegak. Penulis juga tidak mempunyai komen untuk bahagian ruang belakang, memang selesa!

Aspek kebisingan, kekasaran dan gegaran (NVH) juga berada di tahap memuaskan, malah kami sebagai penumpang boleh berehat dengan aman sepanjang menempuh laluan Lebuhraya Pantai Timur yang beralun itu.

Tahap kecekapan sistem pendingin hawa zon tunggal juga diuji sepanjang perjalanan, di mana ia berfungsi dengan baik sepanjang menempuh keadaan cuaca yang panas membahang.

Cuma satu sahaja rungutan kami: corong pendingin hawa yang agak kecil bukaannya, dan ada kalanya sukar untuk dilaras arah tiupan angin sejuk.

 

Pemanduan

Secara standard, MG S5 dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 170 PS dan 250 Nm yang memacu roda belakang – ciri unik dalam segmennya.

Kami tidak sempat untuk menguji prestasi pecutan 0-100 km/j, namun kuasa yang dihasilkan oleh SUV kompak elektrik ini sudah memadai untuk kegunaan harian.

Aliran kuasanya lancar dan tidak terlalu menyentak, malah respons stereng juga boleh dilaras sedikit berat mengikut kehendak.

Selain pacuan belakang, ia juga mempunyai ciri sebuah kereta sports, iaitu nisbah agihan berat 47:53 yang menjadikan pemanduan rasa sporti, namun tidaklah sama tahap dengan kereta sports di luar sana.

Tapi untuk mereka yang mendambakan sebuah SUV keluarga yang sedap dipandu, MG S5 ini salah satu calon yang sesuai.

Talaan pada suspensi topang MacPherson dan tetapan multi-link di belakang menyediakan keseimbangan antara keselesaan dan dinamik pemanduan yang mampu membuatkan kita tersenyum.

Tiada masalah untuk SUV ini melayan selekoh di Litar Antarabangsa Karak, atau dibawa menempuh permukaan jalan yang tidak rata, seperti contoh memasuki kawasan kebun durian (dah musim kan?).

MG S5 turut menawarkan sistem brek pemulihan tenaga dan ciri pemanduan pedal tunggal dengan tetapan yang boleh dilaras mengikut kemahuan.

 

Sesuai untuk jalan jauh?

Dengan pek bateri berkapasiti 62 kWh, MG S5 ini boleh mencapai jarak sejauh 430 km (data WLTP).

Ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, cuma sayang sekali pengecasan AC hanyalah serendah 7 kW sahaja.

Bagi kami, tiada masalah untuk anda pandu MG S5 ini merentas sempadan negeri untuk pulang ke kampung.

Dengan kehadiran beberapa kemudahan pengecasan pantas di sepanjang laluan utama, anda kini boleh merancang perjalanan dengan lebih baik.

Untuk perjalanan pulang semula, kami memandu MG S5 ini dari Kuantan dengan kapasiti bateri 96 peratus, mengekalkan corak pemanduan pada kelajuan yang sekata sepanjang perjalanan dan tiba di Kuala Lumpur dengan kapasiti bateri tinggal 16 peratus.

Dengan kemudahan pengecasan pantas DC Handal di Bamboo Hills, kami mengambil kesempatan untuk berehat seketika dan menambah jarak dalam tempoh masa kurang 15 minit untuk memastikan kami sempat tiba di majlis pelancaran sebuah lagi model baharu di Shah Alam.

 

Keselamatan

Secara standard, MG S5 EV mempunyai kelengkapan keselamatan yang panjang, termasuklah 7 beg udara, kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan kekal lorong (LKA), bantuan kesesakan trafik (TJA) serta brek kecemasan autonomi (AEB).

Ia juga mempunyai sistem kamera keliling 360 darjah yang sangat membantu terutama ketika kelajuan rendah dan menghadapi kesesakan trafik.

Sekiranya anda mahu mengubah laluan, hidupkan sahaja lampu isyarat membelok, dan sistem kamera akan memaparkan imej jelas di luar medan titik buta.

MG S5 EV juga merupakan sebuah kereta yang mahu anda pandu dengan selamat.

Sistem amaran had kelajuan akan berbunyi sekiranya EV ini dipandu melebihi had yang dibenarkan, dan boleh membuatkan anda rasa terganggu sepanjang perjalanan.

Berita baik, tahap kelantangan bunyi amaran ini boleh direndahkan. Usah risau dan nikmati sahaja alunan muzik daripada enam pembesar suara tanpa gangguan.

 

Kesimpulan

Berdasarkan pemanduan ringkas, MG S5 EV ini boleh dipertimbangkan sebagai satu pilihan untuk mereka yang mahukan sebuah SUV elektrik yang unik.

Ciri yang biasanya wujud pada SUV segmen yang lebih besar seperti nisbah agihan berat serta pacuan roda belakang kini sudah didapati pada SUV ini.

Sudah pasti tiada ciri yang terlebih canggih dan ‘fancy’, namun pada harga yang lebih mampu milik, MG S5 menyediakan pakej praktikaliti, keselesaan dan pemanduan yang boleh buatkan anda tersenyum.

Usah tertipu dengan rupanya yang biasa-biasa itu, kami sarankan anda cuba sendiri pandu uji MG S5 ini sebelum membuat keputusan.

 

Spesifikasi MG S5 EV (harga RM135,900)

Nadi penggerak: motor elektrik tunggal
Pacuan: roda belakang (RWD)
Kuasa: 170 PS, 250 Nm
Bateri: LFP, kapasiti 69 kWh
Pengecasan AC: 7 kW
Pengecasan DC: 150 kW
Jarak gerak: 430 km (data WLTP)
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link
Kargo: 453 – 1441 liter