Lexus LBX adalah sepasang ‘kasut’ kasual yang sesuai dipakai hujung minggu – Pandu Uji

Siapa sangka, crossover cilik lincah berlencanakan Lexus ini datangnya daripada permintaan orang kuat Toyota itu sendiri, iaitu Akio Toyoda.

Ketika awal pembangunan, Akio atau lebih dikenali dengan nama Morizo meminta pasukan R&D untuk menghasilkan sebuah kereta kasual yang boleh dipandu pada hujung minggu persis kasut kegemaran.

Hasilnya, sebuah crossover saiz kompak mewah dengan penampilan menarik dan seronok untuk dipandu – Lexus Breakthrough Cross(X)- over atau LBX.

Lexus LBX merupakan kereta produksi yang paling kecil pernah dihasilkan oleh Lexus dan diposisikan di bawah Lexus UX.

Walaupun dibina berdasarkan platform GA-B yang menjadi tunjang untuk model Yaris Cross pasaran Eropah, LBX bukanlah sekadar sebuah produk kejuruteraan tukar lencana semata-mata.

 

Rekaan

Berbanding Yaris Cross spesifikasi Eropah, LBX mempunyai penampilan yang lebih gagah.

Ia disumbangkan oleh rekaan gerbang roda yang lebih bulat, fender yang lebih lebar dan menonjol, serta saiz tayar yang lebih besar.

Malah, garis bahu LBX lebih rendah jika dibandingkan dengan Yaris Cross, mewujudkan penampilan seakan orang salji dua-bebola dari sudut pandang depan, sisi dan belakang.

Masahiro Sasaki, seorang pelumba yang turut merangkap pemandu uji Toyota menjelaskan rekaan sebegini menampakkan LBX lebih seimbang dan mempunyai titik graviti yang lebih rendah.

Disebabkan itu, penampilan LBX nampak gagah walaupun hanya duduk diam di tempat parkir, apatah lagi apabila dipandu di atas jalan raya.

 

Ruang kabin

Bagi penulis, Lexus LBX lebih sesuai disifatkan sebagai sebuah kereta kasual untuk dipandu pada hujung minggu tanpa mengorbankan aspek praktikaliti.

Ya, ruang penumpang belakang mungkin nampak kecil, dan ianya lebih sesuai digunakan oleh kanak-kanak atau orang dewasa bersaiz kerdil.

Ruang kargo? Adalah dalam 315 liter untuk memuatkan barangan dapur. Atau lipat sahaja kerusi baris kedua, dan anda akan dapat ruang barangan sebesar 992 liter.

Fokus Lexus nampaknya lebih tertumpu kepada konsep Tazuna terutama untuk bahagian kokpit pemandu.

Tidak banyak butang fungsi fizikal disediakan, hanya fungsi-fungsi penting sahaja dikekalkan.

Tujuannya? Untuk memastikan tumpuan pemandu kekal fokus di atas jalan raya.

Butang kawalan pada stereng pula nampak macam kosong tanpa sebarang fungsi, tapi sebenarnya anda boleh tetapkan butang fungsi pintas untuk beberapa operasi dengan mudah.

Cuma, anda kena perhati pada skrin paparan head-up untuk melihat operasi apa yang akan diaktif atau nyahaktif seperti naik atau turunkan kelajuan tiupan angin, atau menukar alunan muzik yang sedang dimainkan.

Untuk permulaan, mungkin agak sukar untuk membiasakan diri, namun lama kelamaan penulis lebih suka cara ini yang dapat meminimumkan pergerakan mata semasa sedang memandu.

Selain itu, Lexus LBX menawarkan tempat duduk yang cukup empuk, selesa dan memegang erat pemandu – ciri yang sukar didapati pada mana-mana kereta dalam segmen serupa.

Skrin tengah 9.8 inci itu memaparkan menu yang mudah untuk diakses, selain menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Skrin kluster digital 12.3 inci itu juga amat menyenangkan mata pemandu, paling penting masih lagi wujud tema meter analog!

Butang pandu mula juga diposisikan agak tinggi bersebelahan dengan meter kluster yang amat mudah dilihat dan dicapai oleh pemandu.

Secara jujurnya, inilah apa yang penulis harapkan daripada sebuah Lexus, sebuah kereta mewah yang masih mengutamakan keperluan seseorang pemandu.

 

Ciri moden yang memudahkan

Dalam ruang kabin LBX, terdapat sehingga empat port pengecasan USB Type C, dan tidak ketinggalan slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar Qi yang turut disediakan.

Sistem audio Mark Levinson dengan 13 pembesar suara sedia untuk menemani anda sepanjang pemanduan bersemangat di hujung minggu.

Urusan bukaan pintu dimudahkan dengan operasi e-Latch, hanya tekan tuil pada panel pintu (dan pemegang pintu di luar) dengan hanya satu jari dan pintu akan terus terbuka.

Meskipun konsol tengah nampak agak sempit untuk memuatkan dua lengan pada satu-satu masa, ia masih lagi dilengkapi dengan butang operasi yang diperlukan oleh pemandu.

 

Enjin hibrid, tapi perangai macam EV

Salah satu perkara yang membuatkan penulis teruja ya amat bila dapat pandu Lexus LBX ialah prestasi enjin hibrid yang cukup bertenaga.

Tidak seperti tipikal kereta hibrid China yang menggunakan enjin turbo, LBX hanya tampil dengan tetapan enjin hibrid aspirasi semula jadi (NA) 1.5 liter kod M15A-FXE.

Nadi berkuasa 90 hp/120 Nm itu dipadankan dengan motor elektrik 93 hp/185 Nm, menghasilkan output keseluruhan sekitar 136 hp.

Sistem transmisi eCVT yang cekap itu memastikan setiap pecutan lincah LBX dapat dinikmati sepenuhnya oleh pemandu, terutama sewaktu ‘berlepas’ dari persimpangan lampu isyarat atau plaza tol.

Setelah puas melayan selekoh, penulis kembali bertenang membawa LBX melalui jalan sekitar ibu kota, dan kebanyakan masa ia akan mengutamakan mod pemanduan EV, menjadikan suasana yang lebih senyap dan selesa.

Malah, ada ketikanya penulis mencatatkan nisbah pemanduan sifar emisi sebanyak 50 peratus untuk perjalanan sejauh 78 km.

Jimat minyak? Itu sudah pasti!

 

Pengendalian dan keselesaan, seimbang!

Secara standard, Lexus LBX dilengkapi dengan tetapan topang MacPherson di depan diikuti sistem torsion beam yang lebih ringkas di belakang.

Atas kertas, memang nampak biasa. Sama macam SUV segmen B yang ada di pasaran pada ketika ini.

Namun, apa yang pasti talaan pengendalian yang diberikan oleh Lexus mampu membezakan prestasi LBX dengan SUV lain.

Sukar untuk penulis merungut negatif sepanjang memandu uji LBX ini, ia rasa stabil dan melekat di setiap selekoh, dan bekerja dengan baik untuk menyerap segala ketidakrataan jalan yang muncul.

Pendek kata, ia memberikan keseimbangan antara kestabilan pengendalian serta keselesaan pemanduan, ditambah pula dengan fungsi Vehicle Braking Posture Control untuk mengurangkan kesan pitch & roll.

Selain itu, respons stereng juga cukup rasa dan input, patuh pada setiap arahan pemandu tanpa rasa ringan yang melampau.

Gandingan harmoni antara casis dengan jarak antara roda yang pendek, enjin bertenaga, transmisi dan sistem gantungan yang cekap itu membuatkan Lexus LBX ini sebuah produk yang istimewa dalam segmennya.

Sukar untuk digambarkan perasaan ini dengan kata-kata, anda perlu masuk dan rasa sendiri pengalaman pemanduan LBX ini jika diberikan peluang.

Deruman enjin tiga silinder tersebut juga kurang kedengaran, hanya sayup-sayup di telinga terutama ketika pedal pendikit ditekan rapat. Namun kebanyakan masa suasana dalam kabin kekal senyap dan selesa.

 

Keselamatan

Secara standard, LBX hadir dengan kelengkapan keselamatan termasuklah lapan beg udara, serta Lexus Safety System+ yang merangkumi fungsi seperti:
• brek kecemasan autonomi
• kawalan jelajah adaptif dengan fungsi berhenti dan pergi
• bantuan kekal korong
• bantuan membelok aktif
• sistem pengecaman papan tanda trafik
• sistem pemantauan titik buta
• amaran bukaan pintu
• bantuan suluhan tinggi automatik

 

Kesimpulan

Dengan tanda harga RM268,888, penulis terpaksa akui LBX bukanlah sebuah kereta mewah yang direka untuk semua orang, dan tidak juga sesuai dijadikan sebagai calon kereta pertama.

Ia mempunyai kelemahan yang mungkin sukar untuk dikompromi, namun hadir dengan pakej yang mampu membuatkan pemandu tersenyum gembira di hujung minggu setelah lima hari bekerja memandu SUV atau MPV.

Ibarat kasut kegemaran, ia amat sesuai dipakai bila mana anda memerlukannya.

 

Spesifikasi Lexus LBX (RM268,888)

Enjin: tiga silinder sebaris, 1.5 liter NA (kod M15A-FXE)
Kuasa: 90 hp/120 Nm
Motor elektrik: 93 hp/185 Nm
Kuasa keseluruhan: 136 hp
Transmisi: eCVT
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson/torsion beam