BYD Seal 6 EV: Sedan elektrik ‘sporti’ mampu beli – pandu uji ringkas
Sporti.
Sekurang-kurangnya, itulah ciri yang cuba BYD ketengahkan untuk model sedan elektrik terbaharu BYD Seal 6 yang dilancarkan dua bulan lepas.
Dengan pakej harga yang berdaya saing (bermula dari RM100 ribu), BYD Seal 6 berjaya mencatatkan jualan lebih 100 unit hanya dalam tempoh minggu pertama selepas pelancaran.
Beberapa minggu yang lepas, kami dijemput oleh BYD Malaysia untuk sesi pandu uji ringkas menuju ke Janda Baik dan Genting Highlands untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan BYD Seal 6 varian Premium.
Berikut merupakan nota ringkas kami:
Dimensi dan bentuk
BYD Seal 6 diposisikan sebagai sebuah sedan segmen C, dengan ukuran yang jauh lebih besar berbanding model pesaing seperti Toyota Corolla dan Honda Civic.
Bentuk badan Seal 6 yang tidak begitu sporti berbanding model Seal yang lebih premium itu mengingatkan penulis pada model sedan elektrik buatan Mercedes, iaitu EQE dan EQS.
Namun, kelebihan yang nyata pada Seal 6 ialah kapasiti kargo sebesar 525 liter yang terdiri daripada ruang belakang sebesar 460 liter dan frunk 65 liter.
Selain itu, dengan jarak antara roda sepanjang 2,820 mm menjadikan kabin Seal 6 dirasakan lebih luas dan selesa ditambah pula dengan struktur lantai belakang yang rata.
Prestasi atas jalan
Varian Premium yang kami pandu uji ini dibekalkan dengan motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 215 hp dan 330 Nm.
Aspek pemanduan dibantu dengan tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan tetapan multi-link di belakang yang ditala sesuai untuk kegunaan di Malaysia.
Pecutan yang diberikan agak linear dan tiada aksi kejutan yang mampu membuatkan leher pemandu terkehel.
Dengan kawalan pendikit yang baik, Seal 6 boleh mencapai kelajuan yang diinginkan tanpa gangguan.
Talaan suspensi juga agak berkesan untuk mengurangkan gegaran dan ketidakrataan jalan daripada mengganggu kesejahteraan penumpang.
Walaupun ia hadir dengan tetapan RWD, Seal 6 tidak menunjukkan karakter yang sporti ketika dipandu sedikit agresif.
Ini kerana selain daripada talaan stereng Seal 6 tidak mengujakan penulis, sedan ini juga didatangkan dengan balutan getah pada keempat-empat sudut yang dirasakan kurang meyakinkan terutama di selekoh.
Kelebihan talaan suspensi yang disebutkan tadi itu juga lenyap tatkala Seal 6 dibawa naik ke atas Genting Highlands.
Di kebanyakan selekoh, sedan ini dirasakan agak membuai.
Pengalaman dalam kabin
Mungkin sedan ini kurang sesuai untuk mereka yang mahukan pemanduan berprestasi.
Tapi untuk kebanyakan lapisan pengguna, ia sudah lebih daripada memadai.
Tempat duduk balutan kulit sintetik itu cukup selesa dan memegang erat pemandu sepanjang masa, dan dimensi kusyen yang cukup menyokong bahagian bawah peha.
Tempat duduk belakang juga cukup luas dan selesa, ditambah dengan rekaan lantai yang rata. Aspek NVH juga tidak mengecewakan sepanjang perjalanan.
Susun atur papan pemuka yang minimalis itu menempatkan skrin tengah sebesar 12 inci yang tidak boleh diputar, namun menyumbatkan segala macam fungsi penting kenderaan.
Paling penting, ada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Itu perkara wajib yang patut ada pada mana-mana kereta moden.
Masih lagi terdapat beberapa butang fungsi fizikal pada konsol tengah, lengkap dengan tempat meletakkan peranti pintar dengan fungsi pengecasan tanpa wayar disertakan.
Mujur fungsi larasan cermin sisi masih lagi dikekalkan pada panel pintu.
Cuma sayang sekali, walaupun hadir dengan kelengkapan keselamatan yang canggih seperti AEB, FCW, LDW dan kamera 360 darjah, sedan ini tidak langsung mempunyai ciri pemantauan titik buta (BSM) walaupun untuk varian yang lebih tinggi.
Alternatif kepada sedan segmen C di luar sana?
Ya, dengan harga di bawah julat RM120 ribu BYD Seal 6 boleh jadi satu alternatif yang baik jika anda perlukan sebuah kereta sedan yang besar, selesa, moden.
Tambah pula jika anda kini terkesan kerana tidak lagi mendapat bantuan subsidi Budi95.
Apapun, tepuk dada, tanyalah selera. Seperti yang pernah kami tekankan sebelum ini, pandu uji terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

































