Lima perkara anda perlu tahu tentang Proton e.MAS 5 – pandu uji ringkas

Proton E-mas Camo-5

Terus terang dan jujur kami cakap, Proton e.MAS 5 kini merupakan antara kereta kecil berkuasa elektrik yang cukup menarik untuk dipertimbangkan pada ketika ini.

Dengan harga jualan anggaran dari RM60,000 hingga RM80,000, e.MAS 5 ini sangat sesuai untuk dijadikan sebagai kereta basahan setiap hari.

Sesi pandu uji ringkas yang dibuat tempoh hari mendedahkan serba sedikit apa yang anda boleh jangkakan pada e.MAS 5.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami:

 

1. Kereta kecil, tapi ruang besar

Ya, jika e.MAS 5 ini berada di depan mata, anda akan bersetuju bahawa dimensi EV ini sememangnya kecil. Lebih kecil berbanding BYD Dolphin.

Namun, disebabkan ia sebuah EV, e.MAS 5 menawarkan pakej ruang simpanan yang memadai, dengan frunk sebesar 70 liter, diikuti ruang kargo sebesar 375 liter (atau sehingga 1,320 liter) apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Tidak cukup? Terdapat sehingga 32 ruang storan tersedia di sekitar kabin termasuklah laci sebesar 28 liter bawah tempat duduk baris kedua dan ruang 20 liter bawah konsol tengah.

 

2. Posisi pemanduan yang cukup selesa

Saat mula masuk dan duduk di dalam kabin, penulis dapat rasa tempat duduk yang ditawarkan oleh e.MAS 5 ini cukup selesa.

Dimensi kusyen tempat duduk pemandu mampu menyokong bahagian bawah peha, menjadikan pemanduan lebih selesa dan tidak memenatkan. Tidak seperti Proton X50.

Untuk makluman, e.MAS 5 hanya diberikan tempat duduk larasan manual. Bagi penulis, tidak menjadi masalah. Kurang kebergantungan terhadap sistem elektronik.

Roda stereng pula hanya diberikan larasan atas dan bawah tanpa larasan teleskopik.

Untuk penulis, posisi pemanduan yang ditawarkan cukup selesa, namun mungkin tidak bagi mereka yang mempunyai fizikal yang besar dan tinggi.

 

3. Prestasi

Varian yang kami pandu uji merupakan e.MAS 5 Premium yang dilengkapi dengan motor elektrik 114 hp/150 Nm.

Ia bukanlah sebuah EV yang berkuasa, namun sudah memadai untuk bergerak dengan selesa dan dalam masa yang sama, lincah!

e.MAS 5 menawarkan pecutan sepantas 3.9 saat, tapi dari 0-50 km/j sahaja. Berdasarkan pengalaman ringkas, boleh dirasakan e.MAS 5 mengambil masa yang sedikit lama untuk mencapai kelajuan 100 km/j.

Apa yang kami boleh puji ialah kecekapan sistem brek yang mampu memberhentikan EV ini pada jarak 36.9 meter dari 100-0 km/j tanpa membuatkan pemandu berpeluh.

 

4. Pengendalian

Sesi seterusnya, kami diberikan ujian pengendalian slalom dan pusingan lapan.

Dengan radius putaran sekecil 4.95 meter, tetapan suspensi multi-link dan sistem pacuan roda belakang, e.MAS 5 menunjukkan karakter yang lincah dan mudah untuk dikawal.

Ia turut dibantu dengan talaan stereng yang cukup rasa, tepat dan tidak terlalu ringan.

Untuk mengubah haluan secara tiba-tiba juga tidak menjadi masalah di mana respons stereng e.MAS 5 ini cukup meyakinkan.

Penulis juga tidak perlu membuat pembetulan stereng dengan lebih kerap ketika melalui kawasan berselekoh.

 

5. Bagaimana pemanduan di lebuh raya?

Sesi seterusnya, penulis dibawa merasai pemanduan e.MAS 5 di litar berkelajuan tinggi.

Apa yang boleh penulis simpulkan, e.MAS 5 cukup stabil ketika pemanduan mencapai kelajuan tiga angka.

Lebih mengejutkan penulis apabila talaan suspensi e.MAS 5 ini dirasakan lebih baik jika dibandingkan dengan abangnya e.MAS 7 – kurang olengan badan yang ketara ketika di selekoh.

Selain itu, talaan stereng cukup meyakinkan ketika e.MAS 5 mencapai kelajuan tinggi, dan tidak banyak pembetulan yang perlu dibuat untuk memastikan EV ini kekal di laluannya.

Cuma kekurangan yang kami perasan ialah bunyi bising angin menerjah masuk pada kelajuan 110 km/j, dan anda perlu berpuas hati kerana had laju maksimum dihadkan kepada 140 km/j sahaja.

Proton e.MAS 5 bakal dilancarkan tidak lama lagi, jadi apa pendapat anda tentang EV Malaysia pertama mampu milik ini?

 

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved