Skuter elektrik retro Yadea RS20 2025 kini di Malaysia – dari RM4,998

Yadea Malaysia mengumumkan ketibaan sebuah lagi skuter elektrik untuk pasaran tempatan, iaitu Yadea RS20 2025 bersempena pelancaran Mforce SmartShop di Banting, tempoh hari.

Skuter elektrik RS20 ini dijual pada harga dari RM4,998 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), dan layak untuk rebat MARiiCas.

Yadea RS20 boleh didapati dalam tiga pilihan warna, iaitu Khaki Grey, Roman Grey dan Grey.

Motor elektrik tunggal mampu menjana kuasa 3.29 hp dengan daya kilas maksimum 107 Nm, dengan keupayaan mendaki sudut curam 13 darjah dan boleh mencapai kelajuan maksimum 51 km/j.

Bateri Graphene 72V 22Ah menyokong jarak tunggangan sejauh 105 km untuk sekali cas penuh, selain boleh dicas penuh 0-100 peratus dalam tempoh lapan jam.

Sistem suspensi skuter ini menggunakan fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar di belakang, sementara brek pula menggunakan gandingan cakera dan dram yang dibantu dengan sistem CBS untuk hentian yang lebih stabil.

Ciri lain termasuklah sistem lampu LED, rim 12 inci, paparan meter digital, port pengecasan USB Type-A, fungsi gear undur, dua mod tunggangan (Sport/Eco), ruang simpanan depan dan bawah pelana, rak barangan di belakang, serta tiga kaedah kunci (mekanikal, kawalan jauh serta aplikasi Yadea).

Berat keseluruhan skuter elektrik ini cuma 114 kg (dengan bateri) sementara tinggi pelana pula sekitar 765 mm.

Yadea Velax 2025 rasmi di Malaysia – harga RM4,699 selepas rebat MARiiCas

Yadea Malaysia mengumumkan penawaran skuter elektrik baharu Velax 2025 bersempena dengan pembukaan Mforce SmartShop yang ke-17 di Johor, tempoh hari.

Dijual pada harga asas RM7,099, skuter elektrik ini turut layak mendapat rebat RM2,400 di bawah program MARiiCas.

Ini bermakna, rakyat Malaysia boleh mendapatkan Velax pada harga serendah RM4,699 selepas rebat.

Dari segi kuasa, ia mendapat motor elektrik 2.68 hp (kuasa maksimum 4.3 hp) dan daya kilas 172 Nm, kelajuan maksimum sehingga 62 km/j dan dua mod tunggangan yang boleh dipilih, iaitu S (Sport) dan E (Eco).

Pek bateri LFP 72V 30Ah menawarkan jarak tunggangan sejauh 105 km untuk sekali cas penuh, selain memerlukan masa hanya enam jam dari 0-80 peratus.

Yadea Velax turut dilengkapi dengan penarafan kalis air IPX7 yang membolehkannya kekal beroperasi walaupun berada di dalam air sedalam 1 meter selama 30 minit.

Ciri lain termasuklah sistem brek cakera CBS depan dan belakang, fork teleskopik hadapan, penyerap hentak berkembar di belakang, rim 14 inci, dan fungsi gear undur.

Selain itu, terdapat juga sistem pencahayaan LED, lampu kecemasan, suis keselamatan tongkat sisi, ruang penyimpanan hadapan dan bawah pelana, paparan meter digital, serta sokongan sambungan kepada aplikasi mudah alih.

Berat keseluruhan dengan muatan bateri adalah sekitar 110 kg, sementara tinggi pelana pula 760 mm yang sesuai untuk pelbagai fizikal penunggang.

Yadea GT20 2025 rasmi di Malaysia, jarak gerak 105 km, harga RM4,998

Yadea Malaysia baru sahaja melancarkan skuter elektrik GT20 untuk pasaran tempatan.

Ia boleh didapati dengan tiga pilihan warna, iaitu Metal Grey, Dark/Orange serta Green/Gold, dengan tag harga bermula dari RM4,998 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Yadea GT20 dikuasakan oleh motor elektrik yang dipasang dalam hab roda, menghasilkan kuasa puncak 4.3 hp dan daya kilas 160 Nm.

Ia berkeupayaan untuk mendaki laluan condong sehingga 15 darjah, dan boleh gerak sejauh 105 km untuk sekali cas penuh.

GT20 dilengkapi dengan bateri jenis graphene 38 Ah 72 V yang boleh dicas dalam masa enam hingga lapan jam dan mempunyai kitaran hayat bateri sehingga 500 kali pengecasan.

Antara ciri yang dibawakan pada GT20 termasuklah lampu LED dengan kadar kecerahan sehingga 22,000 CD, ruang bawah pelana 28 liter, paparan digital, slot pengecasan USB Type-A, tempat penyandar dan pemegang untuk pembonceng belakang, serta cangkuk barang tersembunyi.

Selain itu, GT20 hadir dengan fungsi pemotongan kuasa secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan, selain fungsi paparan sistem tenaga dan amaran kerosakan.

Ia juga mempunyai pelana setinggi 768 mm yang sangat sesuai digunakan oleh kebanyakan penunggang.

Yadea GT20 menggunakan sistem brek cakera depan dan belakang yang digabungkan dengan teknologi CBS untuk tahap keselamatan yang lebih baik, serta sistem penjanaan semula tenaga semasa membrek atau menurun cerun.