Mforce Bike Holdings menerusi Voge Malaysia melancarkan skuter 250 cc terbaharu Voge SR3 untuk pasaran tempatan.
Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 244.3 cc SOHC sejukan cecair menghasilkan kuasa maksimum 26 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 23 Nm @ 6,500 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi CVT berserta sistem pacuan akhir jenis V-belt.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik yang menawarkan jarak pergerakan roda depan 103 mm, diikuti penyerap hentak berkembar dengan jarak pergerakan roda belakang 130 mm.
Brek pula menggunakan sistem cakera depan dan belakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran dan fungsi brek parkir tersedia.
Antara ciri yang dimuatkan termasuklah sistem kunci pintar dengan sandaran kunci mekanikal, sistem pencahayaan LED penuh, skrin penghadang angin boleh laras, fungsi pemanas hendal, serta port pengecasan USB Type-A.
Skrin paparan TFT tujuh inci turut menyediakan fungsi sambungan Bluetooth untuk notifikasi panggilan masuk dan kawalan suara.
Ciri keselamatan tambahan termasuklah sistem kawalan cengkaman (TCS) yang boleh diubah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kamera perakam tunggangan hadapan, serta suis keselamatan topang sisi.
Voge SR3 2025 boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu putih, perak dan kelabu, dengan harga jualan dari RM15,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
